DALAM filem Hollywood, Night at the Museum lakonan Ben Stiller, semua
bahan pameran dalam muzium tiba-tiba menjadi hidup pada waktu malam sekali gus menukar tempat itu menjadi sebuah taman fantasi.
Peminat filem tersebut sudah tentunya masih mengingati watak dinosaur bernama Rexy yang gemar bermain kejar-kejar dan patung monolit dari Pulau Easter yang suka makan gula-gula getah.
Turut mencuri tumpuan dalam filem tersebut seekor monyet bernama Dexter yang pakar mencuri kunci selain watak panglima Rom dan koboi yang bermusuhan antara satu sama lain.
Walaupun filem arahan Shawn Levy itu berasaskan imaginasi semata-mata, namun ia tetap menggambarkan daya tarikan Muzium Sejarah Semula Jadi Amerika Syarikat (AS).
Berhampiran dengan Central Park iaitu taman awam terkenal di New York, muzium yang diasaskan sejak 1869 ini turut menempatkan makmal penyelidikan dan perpustakaan.
Muzium ini bukan sahaja tempat bersantai untuk pelancong tetapi juga berperanan sebagai gedung ilmu. Setiap hari ramai pelajar berkunjung ke situ mencari maklumat bagi menyiapkan tugasan sekolah.
Sememangnya muzium ini menyembunyikan pelbagai khazanah alam yang perlu 'dicari gali' oleh setiap orang yang bertandang ke bangunan yang menjadi kebanggaan warga New York ini.
Muzium Sejarah Semula Jadi Amerika Syarikat adalah antara yang terbesar di dunia dengan mempamerkan kira-kira 32 juta artifak dan spesimen yang melambangkan sejarah perubahan alam dan perkembangan tamadun manusia di seluruh dunia.
Pengunjung perlu menghabiskan sehari suntuk sekiranya mahu melawat lebih 40 dewan pameran yang ada, itu pun mungkin tidak cukup masa untuk meneliti setiap artifak yang dipamerkan.
Dewan pameran dinosaur merupakan antara daya tarikan utama muzium ini yang bukan sahaja memukau pengunjung kanak-kanak bahkan orang dewasa yang mahu mengintai kehidupan binatang yang telah pupus ini.
Pengunjung yang meminati dunia haiwan boleh meneruskan perjalanan ke bilik pameran yang memaparkan cara hidup primat, katak, kupu-kupu, burung dan mamalia.
Di Muzium Sejarah Semula Jadi Amerika Syarikat, kandungan dalam buku sejarah di sekolah seakan-akan menjadi hidup apabila pengunjung berpeluang melihat replika figur Peking Man dan Neanderthals yang dipercayai sebagai manusia terawal.
Tidak kurang menariknya replika Kod Hammurabi iatu Kod Undang-undang Babylon yang dipercayai sebagai undang-undang bertulis tertua di dunia.
Tugu batu berwajah manusia yang berasal dari Pulau Easter dan topeng pelbagai corak dan warna daripada pelbagai etnik Pasifik turut dipamerkan di muzium ini.
Muzium ini turut menyimpan replika bahan seni zaman ais yang ditemui di Perancis selain fosil-fosil yang menjadi bahan penting dalam kajian sejarah.
Dalam pada itu, ia juga mengumpulkan khazanah antropologi dan alam sekitar di bawah satu bumbung untuk ditinjau keunikan budaya dunia oleh pengunjung.
Misteri
Gurun panas di Sahara, kedinginan kutub di Siberia, padang rumput di Mongolia, laut biru di pasifik, hutan hujan di Amazon sehinggalah gunung salji di Himalaya, segalanya ditunjukkan melalui pengadunan ilustrasi artis, foto, pameran spesimen dan artifak.
Pameran budaya pula terbahagi kepada beberapa dewan mengikut rantau termasuk India, Afrika, Asia, Amerika Tengah, Pasifik serta Amerika Selatan.
Sementara dewan-dewan budaya ini mempamerkan hasil kajian ahli antropologi terkenal dunia, muzium ini menyajikan keunikan adat resam manusia dalam bentuk artifak, foto dan juga pelbagai bahan yang digunakan dalam kehidupan kumpulan etnik berkenaan.
Muzium Sejarah Semula Jadi AS turut memperuntukkan ruang yang agak signifikan untuk mempamerkan kebudayaan dan sejarah suku-suku kaum Red Indian yang mendiami bumi Amerika sebelum kedatangan kaum Eropah.
Tidak kira dari segi pakaian, tarian, kesenian mahupun kehidupan harian Red Indian, muzium ini menawarkan peluang kepada pengunjungnya untuk merungkai sendiri misteri yang masih menyelubung puak ini.
Dengan lambakan bahan pameran, setiap pengunjung wajar merancang lawatan lebih awal untuk memastikan cukup masa bagi menikmati muzium penuh fantasi ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: