Monday, January 2, 2012

Eina tolak adegan ranjang


SELAIN sibuk berlakon Eina juga akan muncul dengan album single pertamanya berjudul Bahagia Bersamanya.


MELIHATKAN susuk tubuh dan kematangan Nur Eina Azman, pelakon remaja ini seakan-akan tidak sepadan dengan usianya. Pada usia 16 tahun, Eina kelihatan seperti pelakon wanita yang matang bukan sahaja daripada segi penampilan diri, tetapi juga tutur katanya.

Status masih di bangku sekolah juga tidak menghalangnya untuk aktif dalam bidang lakonan filem dan drama tempatan. Malah, pada usia yang masih setahun jagung itu, Eina turut mendapat peluang melakonkan pelbagai watak, sama ada dalam drama ataupun filem.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan USJ4, Subang Jaya, Selangor ini tidak semberono menerima tawaran berlakon yang diberikan kepadanya. Sebaliknya kata Eina, dia akan cuba menjauhi watak-watak atau adegan-adegan panas yang memerlukannya beraksi di atas ranjang.

“Saya masih di bawah umur. Sebab itu, saya tidak akan terima apa juga watak yang memerlukan saya beraksi seksi di atas ranjang. Ia tidak sesuai dengan umur saya sekarang. Saya akan meneliti sesuatu tawaran sebelum menerimanya.

“Keluarga pula sentiasa memantau dan menemani setiapkali saya berada di lokasi penggambaran filem atau drama. Mereka banyak memberi nasihat dalam apa juga watak yang saya lakonkan,” katanya kepada Hits.

Anak saudara penyanyi tahun 1980-an, Juliza Adlizan yang kini sedang mempromosikan filem terbarunya, Sesuatu Yang Tertinggal yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 5 Januari ini juga, semakin matang dalam memilih watak-watak yang sesuai dengannya.

Menurut Eina, filem terbitan Grand Brilliance itu bukanlah yang pertama dilakonkannya, tetapi pada 2009 dia telah membintangi filem Ratu The Movie arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara sekitar Mac yang lalu.

“Sewaktu saya berlakon dalam Ratu The Movie kira-kira dua tahun lalu, umur saya baru 14 tahun. Itu adalah filem pertama lakonan saya. Saya banyak belajar daripada filem itu dan ia banyak membantu mematangkan diri saya. Sekali lagi, keluarga saya banyak membantu saya dalam melalui ranjau dalam bidang ini.

“Apatah lagi, kebanyakan ahli-ahli keluarga saya terbabit dalam bidang nyanyian terutamanya Juliza Adlizan yang banyak memberi dorongan. Malah, sebelum berlakon filem, saya terlebih dulu berlakon drama sewaktu berusia 13 tahun iaitu dalam drama yang berjudul 5 Jingga,” ujarnya.

Menerusi Sesuatu Yang Tertinggal arahan pengarah Black dan skrip tulisan Ienas Mokhtar, Eina yang melakonkan watak Bella dalam filem itu bukan setakat belum bersedia melakonkan adegan-adegan panas di atas ranjang, tetapi dia turut realistik dengan statusnya sebagai pelajar.

Dia yang kini berlakon kerana mahu memenuhi minatnya dalam dunia lakonan tidak menafikan pembabitannya itu sedikit sebanyak membantu menambahkan lagi duit poketnya. Ia secara tidak langsung mengajarnya erti berdikari selain meringankan beban keluarganya.

“Buat masa ini, saya berlakon kerana minat dan mengisi masa lapang sewaktu cuti panjang persekolahan baru-baru ini. Soal duit perkara nombor dua kerana keluarga saya banyak membantu kalau saya memerlukannya. Tetapi sekarang saya sudah mula cari duit sendiri.

“Itu pun sewaktu cuti sekolah. Pada tahun depan saya akan menghadapi peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di mana saya akan mengurangkan aktiviti lakonan. Saya mahu fokus dalam bidang pelajaran pada sepanjang tahun depan bagi menghadapi SPM.

“Sebab itu, dalam tahun ini saya akan menghabiskan penggambaran semua drama atau filem lakonan saya,” jelasnya yang baru selesai menjalani penggambaran drama berjudul Mistik Alam Hitam, Demi Masa dan Jatuh Cinta di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Selain terbabit dalam dunia lakonan, Eina juga tidak mahu mengabaikan minat serta bakatnya dalam bidang nyanyian. Jika boleh kata pelakon tinggi lampai ini, dia mahu bidang lakonan dan nyanyian yang diminati sejak dari kecil itu berjalan seiringan pada masa depan.

Justeru, tidak hairanlah sebagai permulaan Eina kini baru sahaja menghasilkan album singlenya pertama berjudul Bahagia Bersamanya. Album single itu yang diterbit sendiri akan diedar di pasaran selewat-lewatnya pada bulan Februari tahun depan.

“Lagu Bahagia Bersamanya dicipta oleh Adnan Abu Hassan di mana ia berentak pop dan balada. Itu adalah taruhan pertama saya untuk mencuba bakat dalam bidang nyanyian pada tahun depan. Bagaimanapun saya mahu jadikan nyanyian kerjaya kedua selepas berlakon.

“Ini kerana, saya paling minat berlakon. Walaupun keluarga lebih suka saya menyanyi kerana ia lebih mudah berbanding berlakon tetapi saya tetap akan mengutamakan bidang lakonan kerana ia memberi lebih kepuasan kepada saya,” tuturnya, sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: