Thursday, January 12, 2012

Guilin tarikan baru Guangzhou


Rombongan menyusuri sungai Lijiang sepanjang 437 kilometer.


TIDAK ramai yang tahu ataupun didedahkan dengan keindahan yang terdapat di bandar Guilin, China. Kebiasaannya masyarakat kita sering berkunjung ke Beijing, Shanghai dan juga Guangzhou. Guilin yang terletak di utara Guangzhou dan berkedudukan di tenggara China mempunyai keistimewaan dan keindahan yang tersendiri. Penempatan awal di Guilin bermula di tebing sungai Li (Lijiang) sejak tahun 314 Sebelum masihi lagi.

Lijiang pernah dianggap sebagai mutiara yang bersinar bagi masyarakat China. Sungai yang panjangnya 437 kilometer itu bermula dari gunung Mao di kawasan Xing'an, timur laur Guilin dan berakhir di bandar Yangshuo

Dalam percutian enam hari di sana yang ditaja oleh Air Asia, salah satu aktiviti yang diatur ialah menyusuri sungai Lijiang pada hari kedua. Air Asia melakukan penerbangan empat kali seminggu ke Guilin.

Bas rombongan dari bandar Guilin menuju ke dermaga Zhujiang mengambil masa selama sejam setengah. Di situ kelihatan banyak feri dua tingkat yang bersiap sedia mengambil pelancong untuk menyusuri sungai Li.

Menurut ketua pelancong kita, Alex yang bertugas untuk rombongan kami memberitahu perjalanan menaiki feri itu memakan masa selama lima jam.

Di atas meja tempat kami duduk disediakan teh Cina yang panas. Dengan kehangatan air panas itulah kami bergantung untuk memanaskan badan.

Dari pelantar di bahagian luar feri saya dapat melihat beberapa penduduk tempatan yang melakukan aktiviti seharian seperti membasuh pakaian di tebing sungai, bersampan, dan kelihatan juga itik-itik belaan berenang dalam jumlah yang banyak di situ.

Di sekitar tebing kita dapat lihat bukit batu kapur yang pelbagai bentuk dan ada di antaranya mempunyai misteri tersendiri. Perjalanan yang menyusuri hampir 80 kilometer itu sedikit pun tidak membosankan.

Ada di antara bukit di situ dikatakan menggambarkan satu panorama sembilan kuda pada batuan jika kita dapat melihat dengan teliti dan ia dinamakan Mural Hill.

lakaran

Puas juga saya renungkan Mural Hill itu, tapi mata kasar saya tidak dapat melihat lakaran seperti yang dikatakan sembilan ekor kuda berlari itu.

Selain Mural Hill, masyarakat di situ juga telah memberi identiti tersendiri kepada bukit-bukau di situ.

Antaranya ialah bukit lima jari, bukit emas, bukit penutup pen, bukit epal, dan bukit kelawar. Salah satu panorama bukit-bukau di kawasan itu telah diabadikan dalam wang kertas China bernilai RMB 20 dan itu bermakna ia adalah satu pengiktirafan kepada keindahan Lijiang.

Selain itu keindahan panorama di situ telah diabadikan dalam puisi-puisi di zaman Dinasti Tang lagi. Bukit di situ dikatakan berdiri tegak menghijau seperti pin rambut dan angin bertiup di sepanjang sungai Li diibaratkan reben sutera biru. Begitulah keindahan sungai Li pada pandangan mata orang China.

Setelah lima jam berlalu, akhirnya perjalanan berhenti di hentiannya. Dari situ kami menaiki bas untuk ke bandar Yangshuo untuk bermalam di situ. Bandar Yangshuo tidaklah begitu besar dan di kelilingi juga bukit batu kapur.

Di Yangshuo banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati. Antaranya ialah Bukit Bulan. Dari jauh kita boleh lihat pembentukan lubang di puncak bukit yang kelihatan seperti bulan sabit. Tidak jauh dari situ, kira-kira tiga kilometer, saya sempat berkunjung ke gua Moon Water yang menjadi tarikan pelancong sejak 10 tahun lalu.

Di dalam gua yang panjangnya tiga kilometer panjang itu merentasi juga tiga buah gunung dan pernah menjadi tempat penyembunyian masyarakat setempat daripada tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Gua itu dipenuhi pembentukan stalagmit dan stalagmit yang pelbagai bentuk. Berjalan sejauh tiga kilometer di dalam gua itu agak mudah kerana telah disediakan jalan dan tangga bersimen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: