Monday, January 2, 2012

Foster the People di Kuala Lumpur


FOSTER THE PEOPLE terdiri daripada (dari kiri), Cubbie Fink, Mark Foster dan Mark Pontius.


HANYA dengan satu lagu 'meletup', band indie Amerika Syarikat yang mula ditubuhkan pada tahun 2009, Foster the People kini mula mencipta nama untuk dikenali di seluruh dunia.

Dianggotai tiga jejaka berusia awal 20-an, Mark Pontius, Mark Foster dan Cubbie Fink, band ini mula mencetuskan fokus umum terhadap kemunculan mereka menerusi single pertama, Pumped Up Kicks yang meraih sukses pada tahun 2010.

Pada awalnya single itu diedarkan menerusi Internet dan e-mel kepada rakan-rakan mereka. Namun, setahun kemudian ia mengumpul 1.4 juta carian di Internet, sehingga menarik minat syarikat rakaman gergasi Columbia Records untuk menandatangani kontrak rakaman.

Hasilnya, Foster the People muncul dengan album debut mereka, Torches pada Mei, 2011 dengan lagu Pumped Up Kicks meluaskan radar popularitinya menerusi radio komersial di seluruh dunia menjelang pertengahan 2011 itu.

Ia meraih kedudukan juara carta Lagu-Lagu Popular Alternatif dan nombor tiga di carta Lagu-Lagu Rock Popular Billboard, serta nombor tiga di carta Billboard Hot 100.

"Aku banyak melakukan eksperimen dalam mencipta genre muzik sebagai pengenalan khusus untuk Foster the People. Aku menulis satu lagu genre hip hop, kemudian aku masukkan elemen elektronik yang aku rasa terlalu banyak untuk lagu itu.

"Aku juga cuba masukkan elemen kerohanian serta alunan klasik piano. Aku gabungkan kesemua elemen itu untuk lagu-lagu kami. "Ia mengambil masa selama enam tahun sebelum berjaya menghasilkan semua lagu-lagu itu," akui Mark Foster tentang kerja keras yang dilakukan sebelum Foster the People merintis kejayaan seperti pada hari ini.

Dalam pada itu, peminat muzik di Malaysia berpeluang untuk larut dalam muzik Foster the People secara langsung menjelang tahun 2012 yang baru menyingkap tirainya itu.

Dibawakan oleh PR Worldwide ke Kuala Lumpur, Foster the People bakal muncul untuk persembahan konsert mereka di KL Convention Centre menjelang 13 Januari ini. Tiket-tiket berharga RM95 ke atas kini boleh ditempah menerusi Ticketpro dengan menelefon di talian 03- 7880 7999.

Bagi maklumat lanjut mengenai tiket konsert tersebut boleh melayari www.prworldwidelive.com atau www.ticketpro.com.my. Tiket juga boleh didapati di cawangan Rock Corner dan Victoria Music terpilih seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: