|
|
TAHUN 2011 bagai sinonim dengan figura jelita Erra Fazira, 38. Usai memenangi program Mentor bersama protegenya Salma, permintaan untuk melihat sosok Erra Fazira bagai mencurah-curah.
Selesai dengan pelbagai drama bersiri selaku wajah eksklusif Astro antaranya Kelasss Kau Maria, mengalun peminat dengan teater Badai Semalam, terpilih sebagai juri tetap Pilih Kasih musim ketiga, dan menutup tahun 2011, diari Erra tertutup rapat sebagai pengkritik tetap program Vokal Bukan Sekadar Rupa yang juga baru sahaja melabuhkan tirainya.
Mungkin juga tahun 2012 menjadi tahun kegemilangan buat bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu memandangkan demand untuk penonton melihat wajahnya masih tinggi.
Namun begitu, Erra turut tidak lari daripada terbias dengan sedikit desas-desus yang mengatakan mahligainya yang dibina bersama suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin sedikit goyah akibat orang ketiga.
Erra yang ditemui selepas konsert final Vokal Bukan Sekadar Rupa di Plaza Alam Sentral Shah Alam baru-baru ini menjawab dakwaan itu.
Kosmo!: Benarkah rumah tangga Erra dan suami sedikit retak memandangkan kelibat kalian berdua jarang kelihatan bersama dalam sesebuah majlis?
Erra: Dia bukan jenis suka ikut ke sana sini dan saya pula bukan jenis yang suka memaksa. Ada orang sedap di mata angkut pasangan pergi sana sini. Manusia ada macam-macam dan ada macam-macam interpretasi boleh dibuat daripada pemerhatian mereka. Tidak semestinya saya tidak membawa suami bersama, hubungan kami bermasalah.
Maknanya, tiada sebarang masalah antara Erra dan suami sehingga kini?
Alhamdulillah, rumah tangga kami masih sempurna dan tiada apa yang perlu dirisaukan.
Engku Aleesya sudah menjangkau usia tiga tahun, bagaimana perancangan keluarga Erra selepas ini?
Saya tidak ada rancangan. Prinsip saya tekad, reda, tabah. Kalau ada, adalah. Tak ada tak apa. Lagipun tahun 2012 saya nak tumpukan pada kerjaya dan apa yang sudah ada di depan mata. Dalam masa yang sama cuba ketepikan masalah peribadi.
Memandangkan permintaan terhadap Erra masih banyak pada tahun 2012, mungkinkah tahun ini menjadi tahun kegemilangan Erra sekali lagi?
Azam saya selepas berumah tangga mahu kurangkan sedikit aktiviti seni dan lebih fokuskan pada keluarga tapi rezeki datang mencurah-curah, dan sebelum ini sudah banyak alasan saya berikan untuk tidak terlibat dalam beberapa program selepas ini. Pilihan memang nak kurangkan tapi kalau ada permintaan mesti ada hikmah di sebaliknya.
Lama Erra meninggalkan bidang seni suara dan membuat persembahan nyanyian. Tidakkah Erra rindukan untuk kembali beraksi di pentas.
Rasanya sudah setahun saya mengelak untuk mengadakan persembahan, tapi tahun ini saya akan kembali ke seni suara dan menyanyi balik memandangkan saya sudah bebas daripada mana-mana syarikat rakaman. Saya boleh buat apa yang saya mahukan.
Bagaimana pula dengan berlakon filem?
Ada tawaran yang datang tapi selagi tidak ada hitam putih saya tidak berani terima. Ada watak yang betul-betul bagus tapi tak ada tawaran yang menarik, selalunya watak menarik ada tapi tawaran pula tergendala.
Memandangkan Erra sudah lama dalam industri seni, apakah yang dapat diperhatikan mengenai senario artis-artis masa kini?
Saya terkilan melihat sebilangan artis yang menjadikan ruang siber sebagai tempat untuk berperang. Jangan malukan industri kita dengan isu-isu peribadi yang negatif sebab itu akan jadi tumpuan semua orang. Sebab itu orang ramai sukar menghormati kita. Sebenarnya ada cara lain untuk berlawan sesama sendiri.
Nasihat Erra untuk artis kita yang gemar mencetuskan kontroversi?
Untuk menjadi anak seni perlu tahan kebal. Kejutan budaya terutama artis baharu pasti akan berlaku cuma persoalannya bagaimana untuk kita mengawal perkara itu. Kontroversi itu kadangkala perlu tapi biarlah populariti itu datang secara semula jadi bukan kerana kontroversi yang kita cetuskan.
Ucapan Erra kepada Yusri yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan Lisa Surihani tidak lama lagi?
Alhamdulillah, saya sangat gembira mendengar berita itu. Saya doakan mereka berkekalan dan tahniah saya ucapkan. Semoga cepat-cepat timang anak. Apapun, saya kagumi Lisa yang sanggup ambil keputusan untuk berkahwin ketika namanya sedang berada di puncak. Harap masing-masing boleh hargai masing-masing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: