Digi pilihan 5.2 juta pelanggan

SHAH ALAM - Digi.Com Bhd (Digi) mengalami pertumbuhan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 yang baik dijana oleh asas pelanggan yang lebih besar iaitu 9.9 juta, peningkatan penggunaan suara dan data, serta pertambahan pembelian tawaran-tawaran pakej telefon pintar dan peranti.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Henrik Clausen berkata, pendapatannya bagi tahun berkenaan meningkat kepada RM5.963 bilion daripada RM5.406 bilion. Pendapatan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun lalu juga itu bertambah kepada RM1.545 bilion berbanding RM1.429 bilion bagi suku yang sama tahun kewangan lalu.

Dalam kenyataan medianya, syarikat telekomunikasi itu berkata, Digi berbangga kerana menjadi pilihan 5.2 juta pengguna Internet mudah alih yang aktif.

“Kami gembira tentang daya tarikan sebagai pilihan lebih bijak bagi Internet mudah alih, dan peningkatan penembusan data dalam kalangan pelanggan-pelanggan kami,” katanya.

Clausen berkata, Digi telah menambah pelaburan perbelanjaan modalnya kepada RM610 juta daripada RM550 juta untuk mempercepatkan pelancaran laman-laman baru dan menambah kapasiti.