|
ALOR SETAR - Selepas tiga bulan bermaharajalela, kegiatan sekumpulan penagih dadah dan pengedar dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Menerong, Pokok Sena dekat sini berakhir selepas seramai 33 orang ditangkap dalam serbuan polis cawangan narkotik pukul 6 pagi semalam.
Serbuan hasil intipan selama sebulan itu dilakukan selepas ada penduduk kampung terhidu kegiatan kumpulan tersebut yang berkumpul di sebuah bangsal dalam ladang berkenaan bagi melepaskan ketagihan dadah khususnya pada waktu pagi dan hujung minggu.
Sewaktu serbuan, ada penagih bertempiaran lari tetapi kesemuanya berjaya ditangkap bersama rampasan 23 buah motosikal dan tiga buah kereta serta sejumlah dadah jenis ganja dan beberapa botol ubat batuk.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, seramai 32 penagih serta seorang pengedar dadah ditahan, kesemuanya berusia 20 tahun hingga 50 tahun.
Menurutnya, kesemua yang ditahan adalah rakyat tempatan, menetap dan bekerja di kawasan berhampiran.
"Kawasan tersebut agak tersorok daripada laluan utama, ini memudahkan mereka melakukan kegiatan menghisap dadah.
"Biasanya kawasan itu menjadi tumpuan penagih dadah sekitar Pokok Sena dari pukul 9 pagi hingga 3 petang terutama pada hari cuti dan hujung minggu," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: