Friday, October 15, 2010

Usah bermegah wang hantaran


WANG hantaran perlu dipersetujui tanpa membebankan mana-mana pihak. - Gambar hiasan


SEMUA orang perlu mengetahui bahawa hantaran bukanlah mas kahwin. Mas kahwin adalah ketetapan syariat dan wajib dibayar sementara hantaran adalah ketetapan adat yang menjadi budaya turun-temurun. Hantaran terbahagi dua bentuk iaitu wang tunai dan barangan.

Secara mudah hantaran merupakan hadiah pemberian suami atau isteri kepada pasangannya sebagai tanda persetujuan dan kegembiraan untuk hidup bersama. Kebiasaannya sebahagian daripada hantaran ini akan diberikan pada hari pertunangan dan sebahagian lagi akan diberikan pada hari akad nikah dijalankan.

Barangan hantaran inilah yang mesti dipulangkan semula sama ada dalam bentuk asal atau nilainya sekiranya berlaku pemungkiran pertunangan iaitu pertunangan diputuskan dan perkahwinan dibatalkan.

Hantaran bukan wajib tetapi tidak haram diadakan. Malah, ketetapan adat ini diterima pakai sebagai satu kewajipan bukan saja sebagai tanda menerima pasangan tetapi juga sebagai permulaan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri.

Hantaran tidak perlu mahal, sudah nama pun sebagai hadiah, biarlah jumlah hantaran dalam kemampuan pihak terlibat. Jika untuk melunaskan hantaran memaksa pihak-pihak terlibat berhutang, pasti lebih sukar dan payah untuk meneruskan kehidupan selepas bergelar suami isteri sedangkan hakikatnya kehidupan sebenar suami isteri bermula selepas sah ijab dan kabul.

Saya bukan menolak amalan masyarakat hari ini tetapi saya sekadar berusaha menjelaskan satu kebenaran yang telah dipinggirkan. Ramai ahli masyarakat kini yang berbangga bila hantaran anaknya tinggi tanpa mempedulikan cara yang digunakan oleh bakal menantu untuk memenuhi kehendak tersebut.

Disebabkan kita hari ini lebih cenderung mengikuti lenggok langkah masyarakat sekitar, kesannya ditanggung oleh raja sehari itu pada belakang hari. Pengalaman saya mengendalikan kes rumah tangga daripada 10 pasangan, empat hingga lima kes perkahwinan berakhir sebelum hutang hantaran (kepada bank atau individu) berjaya diselesaikan.

Ini kerana pasangan tersebut memasuki alam rumah tangga dengan masalah kewangan (hutang untuk memenuhi tuntutan hantaran) dan semua maklum masalah kewangan adalah pemangkin kepada masalah perkahwinan lainnya. Apakah ini yang ibu bapa inginkan?

Jika hantaran disepakati oleh kedua-dua pihak tetapi ada pihak yang ingkar atau gagal menyelesaikan jumlah yang dipersetujui tersebut hingga perkahwinan berakhir, pihak yang satu lagi berhak menuntut agar jumlah yang belum dilunaskan tersebut dibayar. Ya! Hantaran yang disepakati tetapi tidak dipenuhi boleh menjadi hutang yang perlu dibayar.

Bawa ke mahkamah

Undang-undang yang diguna pakai di Mahkamah Syariah memperuntukkan hantaran yang tidak dijelaskan boleh menjadi hutang yang boleh dituntut oleh pihak yang belum menerima hantaran.

Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan tuntutan hutang hantaran ini.

Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah untuk membicarakan perkara yang berkaitan dengan perhubungan suami dan isteri.

Menerusi Arahan Amalan di Mahkamah Syariah, Kod Tambahan Kes (49) memperuntukkan perkara berkaitan ganti rugi perkahwinan dan hutang dalam perkahwinan.

Hantaran yang tidak dijelaskan termasuk dalam kategori hutang dalam perkahwinan dan pihak yang masih belum menerima haknya dalam hantaran yang telah dipersetujui, boleh menuntut di Mahkamah Syariah agar hutang hantaran tersebut dijelaskan.

Jika kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.

1 comment:

  1. so, abby abadi boleh la bawa perkara ni ke muka pengadilan. Tak payah canang dekat media lagi.. ikut saluran yang di sediakan.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: