
ADA keterujaan yang tidak dapat ditahan-tahan oleh pelakon cantik Sari Yanti saat berbicara tentang kehidupan barunya sebagai isteri kepada Mohd. Eddy Casmady Che Hussin atau Eddy dan ibu buat anak yang diberi nama Barr Al Aliy.
Keterujaan tersebut bukan dibuat-buat, walau pada awalnya dia sendiri tidak begitu yakin mampukah menguruskan rumah tangga sendirian dan menjaga anak sulungnya itu tanpa bantuan sesiapa.
Namun selepas tiga bulan menjaga Barr sendirian, hatinya semakin berat untuk meninggalkan bayi lelaki yang lahir pada Julai lalu itu. Sebaliknya dia semakin teruja apabila dapat menjadi saksi perkembangan Barr di depan mata.

Lebih memberi erti, biar pernah putus asa kerana berasa tidak mempunyai susu badan yang mencukupi untuk anaknya itu, sebaliknya Tuhan memberi rezeki dengan melimpahkan jumlah susu badannya.
Kini, sejak lahir, sudah tiga bulan Barr hanya menikmati susu badannya. Bukan bergantung kepada susu formula dan dia sendiri terbiasa untuk memenuhi kehendak Barr yang kerap menyusu.
"Saya akui, pada mula melahirkan Barr dulu, saya kurang positif. Mungkin kerana ia pengalaman pertama kali, terutama tentang memberi susu badan dan kemampuan saya untuk menguruskan Barr sendirian.
"Namun atas sokongan semua, Alhamdulillah, saya mendapat energi positif dan sehingga hari ini, selepas tiga bulan saya tidak menghadapi masalah untuk menguruskan Barr sendirian tanpa bantuan pembantu.
"Walaupun sedikit penat, tetapi pengalaman membesarkan anak di hadapan mata sendiri adalah satu perasaan yang sukar digambarkan.
"Lebih-lebih lagi apabila saya mampu melihat senyuman pertamanya, keletah pertamanya dan banyak hal yang menjadikan saya saksi pertama pada setiap peringkat tumbesaran anak saya," kata Sari panjang lebar.
![]() |
| SARI YANTI dan suami memilih nama anak mereka ini mengikut sunnah Nabi. |
Mengadakan majlis cukur jambul sebagai tanda kesyukuran anak sulungnya pada hujung minggu lalu, Sari juga menambah, buat masa ini dia masih belum memerlukan khidmat pembantu untuk menjaga atau menguruskan Barr.
"Selagi saya mampu melakukannya sendiri, saya tidak akan memerlukan pembantu. Lagipun Eddy juga rajin membantu dan kami banyak melalui pengalaman baru sebagai ibu bapa buat pertama kali.
"Kecuali nanti misalnya keluarga saya sudah semakin membesar, mungkin pada waktu itu saya akan mengambil pembantu untuk membantu saya," katanya yang memberitahu tidak mempunyai masalah untuk mempercayai orang menjaga anaknya, tetapi selagi termampu dia suka untuk melakukannya sendiri.
Di sebalik Barr Al Aliy
Bercakap mengenai nama unik anaknya, Barr Al Aliy, Sari memberitahu ia mempunyai cerita tersendiri di sebalik pemilihan nama tersebut.
Akuinya, nama tersebut diperoleh pada saat akhir sebelum dia melahirkan. Ia terjadi secara tidak sengaja apabila suaminya mengemas sebuah bilik di kediaman mereka dan terjumpa buku milik bapa Sari yang dipinjamkan kepadanya. Sari menganggapnya sebagai satu tuah.

"Itu buku mengenai 99 nama Allah yang saya pinjam daripada bapa. Sebenarnya saya sudah terlupa saya letakkan buku itu di mana sehingga Eddy terjumpa dan kami membaca buku itu bersama sehingga terjumpa nama unik itu," katanya.
Cerita Sari lagi, dia dan suami sengaja untuk tidak memilih nama anak mereka terlalu awal untuk mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Bagaimanapun selepas membaca buku tersebut, dia mula menyukai nama Al Barr. Sementara suaminya pula jatuh cinta dengan nama Al Aliy.
Mencapai kata sepakat, mereka akhirnya menggabungkan dua nama yang mereka suka itu menjadi Barr Al Aliy.
"Barr menurut buku ada yang bermaksud dermawan dan bagus. Sementara Al Aliy pula lebih kepada martabat yang tinggi. Maksud yang bagus jadi kami gabungkannya," kata Sari yang memanggil anaknya dengan panggilan Barr sementara Eddy memanggil anaknya dengan nama penuh.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: