Friday, October 1, 2010

Tonto pendatang

PETALING JAYA: Kehadiran beberapa tonto di pasar pagi Sungai Way, di sini, yang menjaga puluhan peniaga haram warga asing terutama dari Indonesia dan Vietnam menggalakkan kumpulan peniaga itu terus berniaga hingga mengganggu peniaga tempatan di situ.

TIADA LESEN...peniaga warga asing berniaga di kaki lima Pasar Seri Setia, Sungai Way.
TIADA LESEN...peniaga warga asing berniaga di kaki lima Pasar Seri Setia, Sungai Way.
TAK PEDULI...peniaga warga asing menjual pakaian di kaki lima Pasar Sri Setia.
TAK PEDULI...peniaga warga asing menjual pakaian di kaki lima Pasar Sri Setia.
Tinjauan Metroplus di pasar berkenaan mendapati beberapa tonto akan memantau di setiap penjuru pasar pagi bagi mengelak penguat kuasa mencekup warga asing yang menjual barangan termasuk baju, buah-buahan, jamu, ubat-ubatan dan keperluan harian dengan harga lebih murah.


Peniaga, K Ramesh, 35, berkata setiap hari tonto akan menjaga warga asing terbabit dan mereka dibayar dengan upah lumayan kira-kira RM1,000 sebulan oleh peniaga terbabit.


“Kehadiran mereka mengganggu perniagaan kami kerana orang ramai lebih memilih gerai mereka yang menawarkan harga lebih murah.


“Kami terpaksa menjual dengan harga sedikit mahal kerana perlu membayar sewa lot niaga RM100 sebulan dan lesen perniagaan setiap tahun sedangkan mereka berniaga percuma,” katanya ketika ditemui di Pasar Seri Setia, di sini, baru-baru ini.


Peniaga buah-buahan, Tan Bee Chin, 43, berkata kehadiran peniaga warga asing di pasar pagi itu menjejaskan pendapatannya kerana menjadi tumpuan ramai selain mereka berniaga setiap hari dari jam 7 hingga 11 pagi.


“Setiap hari perniagaan saya teruk dengan memperoleh keuntungan kecil. Saya minta pihak berkuasa sentiasa memantau kawasan ini,” katanya.


Peniaga bunga, V Letchmi, 60, berkata warga asing perlu tahu mereka tidak boleh berniaga sesuka hati tanpa mempunyai permit kerana ia menyalahi undang-undang.


Katanya, kehadiran mereka menyusahkan peniaga tempatan yang mempunyai lesen kerana mereka menawarkan harga lebih murah.


“Kami mahu pihak berkenaan memantau kegiatan mereka yang mengganggu periuk nasi peniaga tempatan,” katanya.


Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Zainun Zakaria, berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum tindakan selanjutnya diambil.Katanya, hanya warga tempatan layak memohon lesen perniagaan dan kemungkinan peniaga asing itu berniaga selepas diberi lesen oleh peniaga tempatan yang memohon lesen, tetapi tidak menjalankan perniagaan.


“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya dengan menyoal mereka yang memberi lesen kepada warga asing sebelum kami menarik lesen berkenaan.


“Saya nasihatkan peniaga tempatan yang mendapat lesen berniaga sendiri bukan memberi kepada warga asing kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: