Tuesday, October 19, 2010

Tentera Darat mahu tarik lebih ramai bukan Melayu

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Tentera Darat Malaysia (TDM) berharap pemilihan terbuka bagi jawatan perajurit muda yang bermula minggu depan dapat menarik lebih ramai warganegara bukan Melayu untuk menyertainya.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin berkata, sambutan rakyat bukan Melayu masih dingin walaupun pelbagai pendekatan termasuk langkah mempromosikan kerjaya itu di seluruh negara dilakukan saban tahun.

Kaum lain seperti Cina dan India tambahnya, seolah-olah tidak berminat untuk terlibat dalam bidang ketenteraan kerana menyangka kerjaya sebagai seorang tentera tidak menjamin masa depan yang cerah.

"Tanggapan ini harus dikikis kerana pada hakikatnya, dunia tentera adalah menyeronokkan dan menjamin masa depan setiap individu yang menyertainya.

"Selain itu, gaji yang ditawarkan juga sangat menarik di samping pelbagai jenis elaun dan insentif lain," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat pegawai-pegawai kanan TDM di Wisma Transit, Jalan Padang Tembak di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Medan TDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.

Pada majlis itu, seramai 19 orang pegawai kanan berpangkat Mejar, Leftenan Kolonel, Kolonel, Brigadier Jeneral dan Mejar Jeneral telah dinaikkan pangkat berdasarkan pencapaian merit dan prestasi kerja yang ditunjukkan masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: