Tuesday, October 19, 2010

Sindiket terbesar edar heroin tumpas


MOHD. SHUKRI menunjukkan pistol dan heroin dirampas daripada tiga individu pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang bergiat sejak enam bulan lalu dengan menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih dan merampas lebih satu kilogram heroin bernilai RM418,640 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan 5 Taman Padang Midin dekat sini Jumaat lalu.

Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM5,602, sepucuk pistol semi auto jenis Walther, 29 butir peluru, dua bilah parang dan rambut palsu yang disembunyikan di tiga lokasi termasuk di Pusat Asuhan Kanak-Kanak Terencat Akal dekat sini dalam serbuan pukul 11.30 malam itu.

Lebih mengejutkan, ahli sindiket dipercayai turut menyamar sebagai polis ketika menjalankan kegiatan haram tersebut berdasarkan penemuan vest polis, tali pinggang yang mempunyai logo polis dan gari.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, suspek utama kes tersebut ialah seorang lelaki berusia 39 tahun yang pernah ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) sebelum tamat sekatan pada 2006.

Menurut beliau, dua lagi yang ditahan ialah seorang wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjaga am di Taman Asuhan Kanak-Kanak Terencat Akal dan seorang penganggur lelaki yang merupakan orang sekatan jenayah (PCO) berusia 27 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: