Wednesday, October 6, 2010

Senyum misteri

Malique
Malique
Adakah single terbaru Malique menggambarkan kemesraan bekas anggota Too Phat ini?

Kalau kita senyum semua orang berjangkit. Bila semua orang senyum dunia tiada penyakit

Itulah antara sebahagian seni kata untuk single terbaru Malique dengan menampilkan Najwa. Daripada bait seni kata itu menggambarkan keramahan dan kemesraan yang lahir daripada penulis seni katanya.

Lagu itu diterbitkan dan dihasilkan oleh Malique dan D’Navigator. Malique juga penulis seni kata lagu Senyum.

Bagaimanapun, kalau diikutkan keadaan semasa, susah untuk membayangkan Malique seorang yang mesra dan ramah seperti seni kata lagu yang ditulisnya itu. Tak tahulah pada orang lain, tetapi dikalangan wartawan, dia memang susah dan tidak mahu ditemui media.
Sejak bergerak secara solo daripada Too Phat bersama Joe Flizzow, dunia seni Malique dianggap misteri. Dia tiba-tiba hilang begitu saja.

Malique sukar dihubungi atau ditemui oleh wartawan. Susah untuk mendapatkan penjelasan berkaitan berkaitan dengan dirinya.

“Saya tidak mendengar atau cuba apa-apa gosip,” jawab Malique apabila ditanya mengapa dia mengelakkan diri daripada ditemui wartawan.

Jawapan itu tidak memberikan penjelasan sebenar mengapa enggan ditemubual oleh wartawan secara langsung.

Menerusi jawapan yang dikirimkan menerusi emel kepada Hip, penyanyi itu berkata, dia dan isterinya, Melissa Maureen Rizal saling menyokong pembabitan mereka dalam dunia seni. “Saya sentiasa memberi sokongan seratus peratus. Begitu juga sebaliknya,” jelasnya.

Malique ketika ini giat mengadakan promosi album Best of Malique Too Phat di Indonesia kerana akan diedarkan di negara itu tidak lama lagi.

“Ia adalah gabungan ketiga-tiga album solo saya iaitu OK, K.O The Mixtape dan TKO. Telinga pendengar Indonesia berbeza dari sini. Oleh itu, single yang dipromosikan juga berbeza mengikut tempat di Indonesia.

“Contohnya di Jawa. Mereka memainkan lagu Kau Yang Punya dan 2010 Masih Hip Hop. Di Sumatera, lebih cenderung pada lagu Senyum dan Cerita Kedai Kopi,” katanya.

Kalau tidak kerana mempromosikan album, Malique memang selesa menghabiskan masa di Indonesia, terutama Bali. Bagaimanapun, dia menegaskan, tidak ada niat untuk berhijrah dan menetap di negara itu.

“Tiada rancangan untuk bermastautin tetap di sana (di Indonesia). Cuma saya bergiat berada di sana kerana kita baru buka cawangan Qarma Musiq di Bali. Dari situ, kami merancang untuk menandatangani artis Indonesia yang pertama di bawah label Qarma Musiq.

“Tapi tidak semestinya bakat baru yang diambil itu akan menyanyikan muzik hip hop. Muzik hip hop sebenarnya tidaklah begitu mudah diterima di Indonesia. Peminatnya tidaklah besar sangat.

“Penerimaannya sama saja seperti di Malaysia. Tapi bilangan penduduknya sepuluh kali ganda, jadi penjualan mengikut unit pastinya lebih tinggi,’ kata Malique menjelaskan kenapa dia bersungguh-sungguh mengembangkan kerjayanya di Indonesia.

Di tanah tumpah kelahirannya pula, Malique sedang mempromosikan single terbaru berjudul Senyum dengan penampilan istimewa, Najwa. Ringan dan mesra radio, Senyum mencantumkan rentak hip hop dan reggae yang catchy.

Menerusi lirik yang senang difahami tetapi sangat bererti, Senyum serta merta dijangka menjadi kegemaran ramai apabila versi unmastered lagu ini dimuat naik ke laman YouTube bulan lalu.

Sebanyak 12,000 tontonan dicatatkan untuk beberapa hari pertamanya. Ini sekali gus membawa Senyum ke corong radio utama serata Malaysia dan Indonesia. Senyum diterbitkan oleh Malique dan adunan lagunya disusun oleh D'Navigator.

Sudah bekerjasama sejak lagu Alhamdulillah oleh Too Phat (2004), mereka adalah nama yang cukup dikenali dalam produksi muzik dan sering memenangi anugerah dan pengiktirafan.

Seni kata Senyum ditulis sepenuhnya oleh Malique. Terkenal dengan metafora dan rap yang bernas, Senyum menyuntik lirik yang mesra dan lebih peribadi disulam mesej yang dapat dikait rapat oleh semua.

Senyum dipetik daripada album ketiga Malique yang juga album solo terakhir penyanyi ini bertajuk TKO (Peace Out). Album ini masih lagi dalam proses pembikinannya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Najwa, Malique berkata dia mengenali penyanyi berbakat besar itu hampir 10 tahun lalu dan mereka sering bertukar-tukar pesanan menerusi laman sembang sosial di internet.

“Ketika itu, saya tidak tahu dia boleh menyanyi. Pada tahun 2007 saya terdengar suara dia di rakaman lagu orang lain ketika saya berada di studio. Saya terus tahu itu suara seorang legend.

“Jadi kami bekerjasama dalam lagu Kau Yang Punya (daripada album OK, 2008) dan seterusnya dalam single lagu Senyum yang baru ini. Tiada apa-apa di sebalik lagu itu. Lagu single Senyum itu hanya bercerita seadanya saja,” katanya.

Tiada pujuk memujuk

Apabila single Beradu Mentera yang menampilkan Malique berpasangan dengan M Nasir ke udara di radio, ramai juga tertanya-tanya bagaimana anak muda ini boleh berduet dengan penyanyi, komposer dan pemuzik hebat itu.

Kebetulan pula lagu-lagunya yang berkumandang di radio, cepat pula diterima oleh pendengar. M Nasir, seperti yang diketahui bukan mudah untuk menyanyi berpasangan secara sembarangan. Tambahan pula muzik yang dibawakan oleh Malique daripada genre hip hop.

“Mantera Beradu adalah ciptaan saya yang datang dari idea saya sendiri. Ramai yang ingat lagu itu dipunyai atau dicipta oleh M Nasir, termasuk publisher sekali. Tapi bukan.

“Prosesnya mudah. Tidak ada pujuk memujuk. Saya tanya dia (M Nasir), dia kata ok. Lepas itu, saya hantar lagu pada M Nasir. Dia rekod di studionya di Luncai Emas, kemudian hantar balik pada saya.

“Ada sekali dia jemput saya ke studionya untuk mendengar buat kali pertama. Memang saya ada minta M Nasir buat beberapa pengubahsuaian sikit pada lagu itu. Kemudian apabila saya dapat vokal M Nasir, saya dan D'Navigator pun edit dan jadikan lagu Mantera Beradu,” katanya sambil menjelaskan dengan lagu Mantera Beradu juga, tanggapan orang Melayu terhadap muzik hip hop dan rap berubah.

“Tapi kalau saya ceritakan rahsia dan tekniknya, nanti ramailah orang boleh kalahkah saya,” kata Malique lagi dengan nada bergurau.

Satu lagi single yang kini menjadi siulan ialah Cerita Kedai Kopi. Lagu itu yang seni katanya kedengaran mudah diterima dan difahami tetapi penuh dengan sindiran walaupun disampaikan secara berjenaka.

“Cerita Kedai Kopi digubah dalam masa dua jam selepas berborak dengan teman saya, Salam yang balik bercuti daripada belajar di Amsterdam,” katanya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: