Monday, October 18, 2010

Program B5 diterima baik

BRISCOE...puji
BRISCOE...puji

LANGKAH kerajaan melanjutkan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi aktiviti penjanaan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga sehingga 31 Disember 2015, disambut baik kalangan industri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2011 Jumaat lalu berkata, kerajaan komited memajukan teknologi hijau bagi menjamin kelestarian pembangunan negara.


“Dalam hal ini kerajaan terus menyediakan beberapa insentif termasuk pengecualian duti import dan cukai jalan ke atas peralatan penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2012.


Beliau berkata, pengecualian cukai bagi pendapatan daripada perdagangan sijil Certified Emission Reduction Certificates dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2012.


“Pengecualian duti import sepenuhnya dan duti eksais 50 peratus diberi kepada pemegang francais kereta hibrid sehingga 31 Disember tahun ini. Bagi menggalakkan pemilikan kereta hibrid, pengecualian duti import dan duti eksais dilanjutkan sehingga 31 Disember, 2011,” katanya.


Sehubungan itu Najib mencadangkan pelaksanaan Program Campuran Minyak Bio dengan Minyak Diesel (Program B5) bermula Jun tahun depan dengan pelaksanaan secara mandatori bermula di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.


Langkah itu disambut baik syarikat automotif terkemuka, BMW yang memuji fokus kerajaan pada pembangunan teknologi terbabit.


Pengarah Urusan, BMW Group Malaysia, Geoffrey Briscoe berharap kerajaan memberikan butiran lengkap mengenai rancangan memperkenalkan B5 iaitu campuran minyak bio dengan Program Diesel Petroleum sebelum menjadikannya wajib pada Jun 2011. “Biodiesel dalam bentuk Palm Methyl Ester (PME) digunakan sebagai alternatif bahan bakar bersih di beberapa negara dicampur dalam jumlah kecil,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: