Tuesday, October 19, 2010

Pengalaman manis enam hari

INDAH...ladang bunga canola yang menguning saujana mata memandang.
INDAH...ladang bunga canola yang menguning saujana mata memandang.

ATAS urusan kerja, suaminya Nur Azly Jabbar, 32, perlu berpindah dari Perth ke Melbourne, Australia. Bagi pasa�ngan yang baru setahun lebih berkahwin ini, ia suatu kesempatan yang sama-sama datang ke kepala mereka. Mengapa tidak mengembara?

Ternyata pasangan Malaysia - Singapura ini sehati sejiwa sekali.

“Oleh kerana kami berdua memang suka melancong dan mengembara, kami mengambil peluang ini untuk merentas tiga negeri melalui jalan darat sejauh 3,517 kilometer (Australia Barat-Australia Selatan-Victoria).“Saya mahu menimba pengalaman yang mana ramai rakyat Australia sendiri tidak berminat melakukannya. Rata-rata mereka yang berminat mengembara seperti kami ialah pelancong dari Eropah,” pemula cerita Noorsyarimah Noodin, 29, anak kelahiran Ipoh yang mengikut suaminya menetap di Australia.

Menempuh perjalanan yang begitu jauh berkereta hanya berdua, dia akui sedikit risau terutama apabila memikirkan soal bantuan jika berlaku kecemasan.

“Talian komunikasi nasional iaitu Telstra 3G yang menjanjikan liputan 100 peratus

di Australia juga sering terputus kerana tidak ada sebarang penempatan di situ.
“Tetapi kerisauan hilang apabila kami bertembung dengan kenderaan pelancong lain dan polis peronda.

“Terdapat juga beberapa rumah rehat atau penginapan serta pekan kecil walaupun jarak antara satu sama lain beratus kilometer jauhnya.

“Kadang-kadang kami rasakan seperti berkeluarga ang-kat sesama pelancong kerana kami melalui jalan yang sama selama berhari-hari dan sering berjumpa mereka di tempat rehat yang sama,” katanya.

Sebelum berkembara itu, Syarimah dan suami membuat persediaan mental dan fizikal.

“Penting sekali mempu�nyai persediaan mental dan fizikal. Satu, cabarannya besar kerana kami akan memandu berhari-hari melalui jalan raya di pedalaman dan lebuh raya yang langsung tidak ada penempatan. Kedua, kenderaan perlu dilakukan servis sepenuh�nya sebelum perjalanan bagi memastikan ia dalam keadaan sangat baik.

“Ketiga, menyediakan keperluan asas ketika kecemasan seperti lampu suluh dan walkie- talkie. Jika kenderaan yang dinaiki mengalami kerosakan dalam perjalanan, ia mengambil masa berhari-hari sebelum bantuan sampai. Harga alat ganti juga akan dikenakan lima hingga 10 kali ganda daripada biasa kerana ia akan dibawa dari bandar besar. Jadi seboleh mungkin kami mahu elakkan perkara ini berlaku,” katanya.

Perancangan perjalanan juga perlu teliti serta mengira jarak pemanduan dengan kapasiti tangki minyak kerana bukan semua hentian rehat mempu�nyai stesen minyak.

Pengalaman paling tidak dilupakannya dalam perjalanan enam hari itu ialah melihat dengan lebih dekat lombong emas terbesar di Australia dan antara yang terbesar di dunia.

“Selain itu saya juga mula mengetahui sejarah bagaimana orang Afghanistan membawa unta ke Australia. Mereka menjadikan unta sebagai pengangkutan sebelum adanya kenderaan.

“Penempatan pertama mereka adalah di Australia Barat. Kami juga memandu �di jalan raya yang terlurus dan terpanjang di Australia (146.6 km) dan antara yang terlurus, terpanjang di dunia. Memandu di lebuh raya National 1, jarak keseluruhan 14,500 km juga adalah lebuh raya nasional terpanjang di dunia.

“Di Balladonia pula, populasi penduduk sekitar sembilan hing�ga 20 orang saja dan hanya terdapat motel, kafe, stesen minyak dan muzium sejarah. Di situ saya dapat melihat dan menyentuh serpihan kapal angkasa lepas Amerika Syarikat yang jatuh pada 1979,” kata Syarimah.

Dia menjelaskan, Balladonia bukanlah pekan kecil, tetapi ia hanya dikenali sebagai ‘roadhouse’. Balladonia roadhouse dibuka tujuh hari seminggu antara jam 7 pagi hingga lewat petang.

Selain kemudahan asas, ia menyediakan ruang parkir untuk karavan dan hentian rehat yang penting untuk pelancong sebelum meneruskan perjalanan seterusnya yang mencabar mental dan fizikal.

“Hari kedua dan ketiga kami tidak melalui pekan kecil, hanya ‘roadhouse’. Kami menempuh pekan kecil hanya pada hari pertama, keempat dan kelima saja,” katanya.

Cerita Syarimah seterusnya, walaupun Australia adalah negara moden dan maju, sesetengah kawasan kampung dan pedalaman masih mengekalkan kehidupan gaya 60-an dan 70-an.

“Tempat sebegitu diwujudkan untuk tarikan pelancong. Setiap kampung kecil ada keistimewaan dan sejarah tersendiri dan mereka masih menyumbang kepada ekonomi negara seperti mengusahakan ladang, ternakan dan perlombongan. Jangan terkejut, walaupun kampung kecil yang jumlah penduduknya sedikit, mereka ada pusat khidmat pelancongan dan menjual cenderahati yang melambangkan kemegahan kawasan terbabit.

“Saya juga berpeluang singgah di kampung kecil bernama Bordertown, Australia Selatan yang terkenal dengan kangaru putih dan di situlah tanah kelahiran bekas Perdana Menteri Australia yang ke-23, Bob Hawker (1983-1991).

“Terlalu banyak yang dapat dilihat dalam perjalanan itu dan tidak mungkin dapat pe�ngalaman sama di tempat lain.

“Contohnya melihat rangka dan tulang dingo (haiwan Australia) yang reput berusia lebih 100 tahun. Menjejakkan kaki di pekan kecil yang bernama Kimba di Australia Selatan di mana Kimba menjadi penanda yang kita berada di tengah atau separuh jalan antara barat dan timur Australia,” kenang Syarimah.

Ketika dalam perjalanan dari Ceduna ke Adelaide, dia dan suaminya hampir putus harapan gara-gara ingin mencari kopi panas.

“Kami terpaksa keluar masuk pekan kecil sehinggalah pekan yang keempat baru jumpa stesen minyak yang menjual minuman panas.

“Itupun tidak ada pilihan kopi, hanya ada satu jenis saja. Kata jurujual di situ, mereka kehabisan stok dan masih menunggu trak dari bandar besar masuk ke kawasan mereka,” katanya.

Begitulah keadaannya di tempat terpencil dan dia pernah ternampak sebuah stesen yang kehabisan minyak dan perlu menunggu berhari-hari sebelum lori minyak sampai di situ.

Sebagai Muslim, bekalan makanan sentiasa dititikberatkan, selain menjimatkan perbelanjaan.

“Memang sukar mencari makanan halal. Saya membawa periuk memasak kembara, makanan dalam tin, makanan ringan dan roti. Terdapat juga kedai runcit dan kafe di kawasan pedalaman dan pekan kecil, tetapi harganya mahal berkali ganda.

“Sepanjang perjalanan, kami memastikan berehat dan tidur sebaik matahari terbenam serta memulakan perjalanan seterusnya awal pagi. Kami menyewa motel saja,” katanya.

Malam pertama di Kalgoorlie, seterusnya di Mundrabilla (Australia Barat), Ceduna dan Adelaide (Australia Selatan) sebelum sampai ke Melbourne. Purata pemanduan sehari kira-kira 10 jam yang boleh membabitkan jarak sehingga 800 kilometer.

Pelancong tidak digalakkan memandu waktu malam kerana ia waktu haiwan liar keluar, juga ancaman kepada pemanduan. Sekiranya berlaku kecemasan pada waktu malam, peluang untuk diselamatkan agak tipis dan sebab itu, rata-rata pelancong menghentikan pemanduan sebaik hari gelap.

Apalagi yang ingin dikatakan Syarimah melainkan kagum melihat pemandangan alam sekitar yang cantik dan semula jadi, malah apabila dia melihat ladang bunga canola yang menguning saujana mata memandang (sejenis bunga bagi membuat minyak masak), dia terus teringatkan suasana jelapang padi di Malaysia. Kerinduan pada tanah air mula terdetik di hati.

“Alhamdulillah kami tidak sesat kerana ini perjalanan dan pengalaman kedua buat suami,” kata Syarimah sambil menambah walaupun perjalanan mereka melalui kawasan pedalaman dan ada kalanya langsung tidak ada penempatan, mutu jalan raya begitu memuaskan terutama
di Australia Barat.

Kata orang mengembara suami isteri juga menguji kesabaran diri dan bagi Syarimah, segalanya makin menguatkan kasih sayang dengan suaminya, juruterbang kelahiran Singapura.

“Memandu berhari-hari memang agak membosankan, inilah antara cabaran mental yang perlu dilalui. Jika diimbau kembali, memang lucu rasanya. Stesen radio amat terhad, jadi kami memutarkan cakera padat berulang kali sambil menyanyi bersama bagi mengelakkan mengantuk.

“Menjadi kebiasaan bagi pemandu di Australia melambai tangan ke arah pemandu arah bertentangan terutama di lebuh raya yang kami lalui. Bukan kerap kenderaan datang dari arah bertentangan, oleh itu apabila bertembung kami teruja sambil membalas lambaian dan menangkap gambar mereka.

“Pendek kata kami terpaksa menceriakan suasana di dalam kereta sehingga datang idea membuat pertandingan siapa yang bertahan tidak bercakap paling lama,” cerita Syarimah sambil tergelak.

Seorang daripada abang kepada bekas pramugari itu juga suka mengembara sehingga ada waktunya dia mengembara hampir setengah tahun setiap kali pengembaraan.

Menurut Syarimah, suaminya yang banyak memandu kerana dia lebih suka mengambil gambar. Cuma apabila sang suami sudah mengantuk dan keletihan barulah isteri me-ngambil alih pemanduan.

“Perjalanan merentas tiga negeri selama enam hari tidak mencukupi bagi kami, masih ada beberapa kawasan yang tidak sempat kami lawati.

“Saya bercita-cita untuk meneruskan pengembaraan mengelilingi seluruh Australia yang biasanya mengambil masa berbulan lamanya dan apa yang penting sekali, menimba pengalaman dan merakamkan gambar sebanyak boleh,” katanya.

Mengembara bagi Syarimah bukan sekadar membawa diri sendiri, tetapi juga membawa nama negara.

“Ada pelancong asing yang bertanya asal kami, malah melihat saya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak ketika berhenti di jalan raya terpanjang dan terlurus di Australia. Penduduk tempatan juga sedikit hairan dan pelik lantas menanyakan kami soalan yang sama.

“Mereka sukar melihat pelancong Asia melakukan pengembaraan seperti ini kerana kebanyakannya lebih suka melancong ke bandar besar dan terkenal seperti Sydney, Melbourne, Perth dan Brisbane. Sebenarnya ramai yang tidak tahu, hasil usaha penduduk kampung dan pedalaman yang menyumbang kepada ekonomi negara terutama Australia Barat yang terkenal dengan hasil perlombongannya,” katanya.

Pengakhir kata, Syarimah berkongsi pada rakyat Malaysia yang mahu melakukan perjalanan sama.

“Paling penting kekuatan mental. Apabila mengembara di Australia, jangan samakan dengan negara kita. Jangan ambil mudah dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Masa yang sesuai untuk melakukan perjalanan sama adalah pada musim luruh dan musim bunga. Tidak digalakkan pada musim sejuk kerana suhunya akan jatuh sehingga minimum manakala musim panas iaitu antara Disember hingga Mac, suhunya akan naik sehingga lebih 45 darjah Celsius. Sangat panas,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: