PENAMPILANNYA bersahaja tetapi luar biasa. Begitulah personaliti seorang konsultan virus komputer, Dr. Looi Hoong Thoong, 67, ketika ditemu bual di pejabatnya di Looi Software, Pulau Tikus, Pulau Pinang baru-baru ini.
Biarpun pertama kali bertemu, sikap peramahnya membuatkan perbualan kami tidak terhenti dan berjaya merungkai seribu satu cerita daripada anak jati Bukit Mertajam ini.
Siapa Hoong Thoong yang turut dikenali sebagai Uncle Looi ini?
Mendekati diri warga emas terbabit, beliau rupa-rupanya antara pencipta program antivirus terawal dunia, V-Buster.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Arkitektur ini berkata, kerjaya sebagai pereka program komputer memerlukan ketajaman fikiran dan ia lebih mencabar berbanding arkitek pembinaan.
Berbanding seorang arkitek, kata Looi, mereka hanya duduk di atas kerusi sambil memikirkan projek yang hendak dilaksanakan. Ia tidak melibatkan pengiraan dan kod bahasa seperti pereka perisian.
“Kerjaya kreatif ini bermula ketika usia saya sembilan tahun apabila saya berjaya mencipta sebuah alat pencetak gambar hitam putih bersaiz kecil.
“Tidak sangka dengan menggunakan peralatan sedia ada di rumah sahaja seperti kaca, transistor dan litar, saya berjaya menghasilkannya walaupun dalam bentuk tidak seberapa,” ujarnya yang mengaku tidak gemar menelaah bahan bacaan sejak zaman persekolahan.
“Inilah gaya hidup saya sejak di bangku sekolah sehinggalah melanjutkan pengajian ke Universiti Adelaide di Australia pada tahun 1962.
Langkah pertama
“Emak selalu memukul saya kerana malas membaca buku. Guru-guru di sekolah juga selalu memarahi saya kerana tidak memberi tumpuan di dalam kelas.
“Saya rasa tidak perlu membaca semua buku itu. Cukup dengan melihat formula mahupun tajuk-tajuk di dalamnya, saya sudah mengetahui kandungannya.
“Keputusan peperiksaan saya juga cemerlang,” jelas Looi yang menganggap ia kebolehan semula jadi beliau.
Bapa kepada tiga cahaya mata ini menjelaskan, minat dalam bidang elektronik bermula selepas beliau menyaksikan tayangan filem bersiri popular pada awal tahun 1960 iaitu The Man From U.N.C.L.E.
|
|
Setelah menonton, beliau berjaya mencipta pintu pagar kawalan radio di rumahnya yang masih berfungsi dengan baik sehingga kini.
“Rakan-rakan kata saya gila kerana sebelum ini saya tidak tahu langsung mengenai peralatan elektronik.
“Tetapi dengan membuat sedikit uji cuba, saya berjaya membuatnya berfungsi sehingga kini,” cerita beliau.
Bagaimanapun, pada era kemunculan mikro-komputer, Looi berjinak-jinak dengan dunia pengkomputeran pula.
“Pada awal tahun 1980-an, harga komputer terlalu mahal. Ketika itu saya tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk membeli sebuah komputer yang berharga RM5,000.
“Saya sedaya upaya mengunjungi kesemua kedai buku dan membelek majalah serta buku-buku yang ada kaitan dengan cara mencipta komputer,” katanya.
Beritahunya lagi, dengan memasang litar integrasi yang lengkap dengan beberapa peralatan seperti transistor dan diod pemancar, Looi sekali lagi berjaya menghasilkan sebuah unit pemprosesan sepusat (CPU) dengan rangka luarnya menggunakan kayu.
Bagaimanapun, katanya, beliau terpaksa membeli sebuah monitor terpakai yang sudah rosak daripada seorang rakan pada harga RM2,000 sebelum membaiki dan memasukkan perisian ringkas.
“Disebabkan kurang perisian, saya teruja untuk mencipta program sendiri.
“Saya cuba belajar membuat program pada mesin kod,” ujarnya.
Pada masa itu, beliau mula memahami cara untuk bermain dan menyalin maklumat.
Mengenai permulaan kerjaya sebagai pemburu virus, katanya, semuanya bermula selepas seorang rakan memberinya dua keping disket antivirus, Brain dan Denzuko.
Pengguna
“Sebaik balik ke rumah, saya terus membuat salinan disket itu. Malangnya, CPU komputer saya pula dijangkiti virus yang berpunca daripada disket itu.
“Sepanjang hari saya membelek komputer itu dan cuba membaikinya termasuk mencipta satu program antivirus ringkas menggunakan mesin kod ciptaan sendiri bagi menggantikan bahagian yang dijangkiti virus,” terangnya yang gemar bercucuk tanam.
|
|
Walaupun telah berjaya menghasilkan perisian antivirus sendiri, Looi tidak menjualnya.
Beliau cuma membuat salinan perisian itu sebelum mengedarkan secara percuma kepada rakan-rakan.
Hanya tidak lama kemudian barulah beliau menjualnya pada harga RM4 di kedai IRM Komputer di Komtar, Pulau Pinang dengan jenama V-Buster.
Menjelang tahun 1991, V-Buster sudah pun dikenali di pasaran Australia, Amerika Syarikat dan Eropah.
Malangnya, orang ramai kurang mempercayai produk tempatan. Menurut Looi, pernah ada sebuah bank tempatan yang mahu menggunakan program beliau tetapi ditentang oleh pengarah bank berkenaan atas alasan status bank berkenaan akan jatuh kerana memakai program tempatan.
“Namun, syarikat multinasional dan korporat serta universiti asing menggunakan perisian saya.
“Ini kerana pada tahun 1990-an, program saya boleh mengesan lebih banyak virus berbanding perisian lain,” kata Looi.
Sekarang, V-Buster berupaya mengesan dan memusnahkan lebih 750,000 virus komputer dan Internet.
“Program saya laris seperti kek panas di Amerika Syarikat dan Eropah tetapi agak lemah di pasaran tempatan.
“Mungkin disebabkan orang kita begitu sukar mempercayai perisian keluaran tempatan,” keluhnya yang pernah menerima lebih 20 anugerah kecemerlangan sepanjang penglibatan dalam bidang tersebut.
Sehingga kini, terdapat 1.5 juta pengguna berdaftar yang menggunakan perisian antivirus tersebut di negara ini.
Sepanjang kerjayanya memerangi virus komputer, Looi sudah menemui lebih tiga juta virus.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: