
“MEL, aku dah tempah tiket dari Kuala Lumpur ke Bali!! Jadi juga kita bercuti akhirnya. Itulah keterujuaan rakan baik saya, Sandra Morrison yang berasal dari Scotland. Sejak berkecimpung dalam dunia penyiaran, tugas menjadi keutamaan saya.
Tiada istilah rehat dalam kamus hidup dan perancangan bercuti, jauh sekali untuk difikirkan. Jika ada perancangan sekali pun, ada saja halangannya, sama ada sibuk, tiada masa, cuti tidak lulus dan sebagainya.
Bagaimanapun, percutian ke Bali pada pertengahan Julai lalu dianggap tepat pada masanya. Baki cuti tahunan yang masih panjang membolehkan kami meneruskan percutian yang dirancang sebelum ini. Lagipun, ia merupakan peluang terbaik untuk merehatkan diri dan melupakan seketika komitmen di pejabat.
Secara keseluruhan, pulau yang berkeluasan 5,632 kilometer (km) persegi itu mempunyai kepadatan penduduk melebihi 350,000 orang. Hampir 90 peratus penduduknya beragama Hindu manakala selebihnya merupakan penganut agama-agama lain.
Lebih 80 peratus ekonomi wilayah itu bergantung pada sektor perlancongan, tidak hairanlah banyak resort dan hotel tumbuh ibarat cendawan selepas hujan.
Destinasi pertama kami ialah Kuta yang merupakan pusat pentadbiran utama di Bali. Bandar itu sentiasa sibuk dengan aktiviti harian masyarakat setempat dan pelancong asing.
Antara tarikan utamanya ialah Uluwatu. Ia merupakan sebuah kuil tertua yang dikenali sebagai Pura Uluwatu. Pemandangan di kawasan tersebut memang indah apatah lagi berpeluang menyaksikan matahari terbenam.
Jika berkunjung ke Uluwatu, tidak sah sekiranya tidak menyaksikan keunikan persembahan tarian kecak. Ia merupakan sejenis drama muzikal Bali. Muzikal tersebut turut dikenali sebagai nyanyian atau tarian monyet Ramayana. Secara tradisinya, tarian tersebut dipersembahkan oleh sekumpulan penari lelaki sekitar seratus orang.
Makanan laut
Dengan memakai kain yang berpetak-petak di pinggang dan menyebut perkataan cak mereka menghayunkan kedua-dua tangan. Perbuatan tersebut menggambarkan pertarungan dalam kisah Ramayana ketika monyet Vanara membantu Putera Rama bertarung dengan Raja Ravana yang jahat. Persembahan itu mempunyai persamaan dengan tarian Sanghvang yang digunakan untuk mengubati mereka yang dirasuk semangat jahat.
Kami juga berpeluang menikmati makanan laut di Jimbaran. Saya bertuah kerana mempunyai rakan-rakan seperti Wahyu dari Indonesia dan Alex dari Russia yang bekerja di Bali. Mereka membawa kami menikmati makanan laut di restoran popular di Jimbaran.

Makan sambil bersantai di tepi pantai memang mengasyikkan. Deruan ombak dan tiupan angin sangat menenangkan fikiran. Makanan laut yang dihidangkan juga enak, segar dan murah.
Selepas tiga hari bermalam di Kuta, kembara kami diteruskan ke Lovina yang terkenal dengan keindahan pantai dan pasirnya yang halus dan putih bersih. Salah satu aktiviti menarik yang kami lakukan ialah menyaksikan aksi ikan lumba-lumba.
“Wow, seronoknya,” getus hati saya tatkala melihat beberapa ekor ikan lumba-lumba bermain-main berhampiran bot kami.
Walaupun terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi, ia sangat berbaloi apatah lagi dapat menikmati keindahan panorama yang cukup mempesonakan itu.
Sepanjang di Bali, kami ditemani Nyoman Sukedana, seorang penduduk tempatan yang sangat mesra. Nyoman sudah 15 tahun berkecimpung sebagai nelayan. Rutinnya bermula seawal pukul 5 pagi setiap hari untuk menangkap ikan.
Pada masa yang sama, dia juga membuat kerja sambilan membawa pelancong menyertai aktiviti menyelam dan melihat ikan lumba-lumba. Walaupun kehidupannya agak sederhana, namun dia tetap gembira dan sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh.
Katanya, pendapatannya banyak bergantung pada kehadiran pelancong ke Bali. Meskipun tidak terlalu lumayan, ia cukup untuk menampung kehidupannya sekeluarga.
Bagaimanapun, sejak kejadian letupan bom di Bali pada tahun 2002, kehadiran pelancong asing ke pulau tersebut mula berkurangan. Menurutnya, ia sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan penduduk dan ekonomi Bali.
Puas meneroka Lovina, kembara kami diteruskan ke Ubud. Suasana desanya cukup mendamaikan dan jauh daripada hiruk pikuk kota.
Kesempatan yang ada kami gunakan untuk mengenali tradisi dan budaya masyarakat Bali dengan lebih dekat. Bagi merasai pengalaman itu, kami hanya berbasikal.
Kami rasa sangat seronok apabila melihat kehijauan alam semula jadi yang masih terpelihara. Udaranya yang nyaman dan bersih membuatkan badan tidak terasa letih biarpun sudah jauh berkayuh.
Pengalaman menginsafkan
Keindahan yang dilihat, diabadikan di dalam lensa kamera. Masyarakat di Ubud hidup tenang sambil mengerjakan tanaman padi secara tradisional. Biarpun kehidupan mereka tidak mewah, namun senyuman manis tetap terukir setiap kali bertembung dengan pelancong asing seperti kami.
![]() |
| TARIAN kecak antara tarikan di Uluwatu. |
Pengalaman itu nyata menginsafkan. Ia membuatkan saya sentiasa bersyukur dan reda dengan pemberian dan ketentuan Tuhan. Saya merasakan diri ini begitu bertuah kerana menikmati
kehidupan yang agak sempurna di Malaysia berbanding masyarakat di Bali.
Secara peribadi, saya menyukai Ubud. Ketenangan yang diperoleh memberi kesan mendalam pada jiwa dan emosi saya. Dengan kesempatan yang ada, saya dan Sandra berkongsi isi hati, bercerita segala pengalaman pahit manis yang kami lalui apatah lagi sudah empat tahun tidak bersua muka.
Di samping itu, kami turut melakukan aktiviti menyelam. Keindahan dan kedamaian hidupan laut membuatkan saya seakan-akan berada di dunia yang berbeza.
Manjakan diri
Apa yang pasti, biarpun ia merupakan pengalaman pertama, namun ia tetap mengujakan dan yang pasti menambahkan lagi warna-warni percutian saya.
Kami bertuah kerana walaupun hanya membayar untuk satu jam pakej menyelam tetapi pengendali pakej berbesar hati memberikan tambahan satu jam lagi secara percuma.
Seminyak merupakan destinasi terakhir kami di Bali. Nah, kesempatan itu kami gunakan untuk memanjakan diri di sebuah spa yang agak eksklusif. Walaupun caj yang dikenakan agak mahal tetapi ia berbaloi.
Segala kepenatan yang ditanggung selepas berjalan dan melakukan aktiviti sebelum ini bagaikan hilang begitu saja. Tempoh pakej empat jam dirasakan terlalu singkat, sedar-sedar saya telah dikejutkan daripada tidur.
Kunjungan ke Bali tidak sah sekiranya tidak membeli-belah. Biarpun masa agak suntuk, saya sempat membeli beberapa barang dan cenderamata untuk keluarga dan rakan-rakan di Malaysia.
Penjelajahan selama 10 hari itu dirasakan begitu singkat sekali. Apa yang pasti, ia meninggalkan kenangan bermakna yang tidak mungkin dilupakan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: