PARIS - Mogok besar-besaran yang berlaku di Perancis telah menyebabkan negara itu mengalami kerugian mencecah AS$557 juta (RM1.72 bilion) setiap hari, jelas Menteri Kewangan Perancis, Christine Lagarde.
Kerugian itu berlaku berikutan protes berterusan para pekerja yang menutup beberapa loji penapisan minyak dan mesin memproses sampah.
Para penunjuk perasaan itu memprotes sejak hampir dua minggu lalu bagi membantah tindakan pemerintah yang melanjutkan usia persaraan dari 60 tahun kepada 62 tahun untuk mengurangkan bajet defisit. Sampah sarap yang mula mereput dan mencecah 9,000 tan menjadi ancaman kesiharan di Marseille selepas ia tidak dikutip. Para pekerja pelabuhan dilihat masih menghalang kapal-kapal yang cuba untuk menyalurkan minyak.
Sebanyak 12 loji penapisan minyak telah ditutup selama hampir dua minggu.
Justeru, pihak berkuasa mengarahkan sebahagian daripada loji itu memastikan bekalan tetap ada.
Undang-undang persaraan itu sudah diluluskan Dewan Senat minggu lalu.
Sementara itu, sebahagian pekerja bersetuju untuk menamatkan mogok di salah sebuah loji penapisan minyak berikutan amaran pemerintah bahawa bekalan minyak yang tidak mencukupi akan menjejaskan ekonomi Perancis.
Loji penapisan minyak di Reichstett yang dikendalikan oleh Petroplus akan memulakan operasinya mulai minggu depan.
"Kami ingin menunjukkan niat baik kami kepada orang ramai. Kami juga mahu membekalkan rantau ini dengan produk minyak yang terbaik," kata seorang wakil kesatuan pekerja, Jean-Luc Bildstein.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: