Saturday, October 16, 2010

Menikmati aura indah Istanbul


SELAT Bosphorus terbentang luas sedia mengalu-alukan kunjungan pencinta alam dan sejarah ke bumi Istanbul.


ISTANBUL atau dahulunya lebih dikenali sebagai Kota Constantinople merupakan sebuah kota metropolitan yang kaya dengan pelbagai kesan sejarah yang mempesonakan.

Biarpun saya sudah lama berhasrat ke sana, namun ia terpaksa dipendamkan dahulu kerana komitmen terhadap pengajian dalam peringkat profesional di United Kingdom.

Peluang itu hanya tercapai tahun lalu apabila rakan baik saya, Azaria yang berada di Ireland juga berhasrat bercuti ke Turki. Kebetulan, ketika itu merupakan cuti semester. Jadi, inilah peluang yang diimpikan selama ini.

Kami bertemu di Lapangan Terbang Luton, London. Itulah kali pertama kami dapat bersua muka selepas lima tahun merantau di negara orang.

Perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha-Gokcen, Istanbul mengambil masa empat jam dengan menaiki pesawat Easyjet. Seterusnya kami menaiki bas menuju ke pusat bandar Taksim.

Hotel Holiday Istanbul menjadi lokasi penginapan kami. Layanan dan keramahan kakitangan hotel membuatkan rasa penat yang dilalui hilang seketika.

Keesokannya, selepas bersarapan, kami melawat Masjid Biru atau Sultanahmet Cami yang cuma mengambil masa lima minit dengan berjalan kaki dari hotel.

Mengikut sejarah, masjid ini dibina di antara tahun 1609 hingga 1616, semasa pemerintahan Sultan Ahmet 1. Namanya diambil bersempena warna mozek Iznik kebiru-biruan yang dipasang di atas dinding dan siling masjid.


MASJID BIRU kelihatan begitu indah pada waktu malam dengan percikan lampu.


Ia direka oleh arkitek terkenal Turki, Mehmet Aga. Keunikannya terletak pada enam menara di sekelilingnya berbanding kebanyakan masjid lain yang mempunyai empat menara atau kurang daripada itu.

Seterusnya, kami ke Hippodrome yang terkenal sebagai lokasi perlumbaan kereta kuda dan acara hiburan di zaman Empayar Rom. Namun, sejak pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyah, ia dijadikan pusat politik dan rekreasi.

Peluang itu digunakan untuk bergambar kenangan sambil menikmati jagung manis yang dijual oleh penjaja makanan di sekitarnya.

Bertemu Pak Murat

Perjalanan kami diteruskan ke Haghia Sophia iaitu sebuah gereja terbesar, dibina di antara tahun 532 dan 537 Selepas Masihi semasa pemerintahan Empayar Byzantine.

Sultan Mehmet yang memerintah pada tahun 1451 hingga 1481 telah menjadikannya sebagai masjid. Di dalamnya terdapat pengaruh agama Islam dan Kristian, hanya selepas kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah, barulah ia dijadikan muzium.

Langkah kami diteruskan ke Istana Topkapi. Ia merupakan istana terbesar di Istanbul dan pernah didiami 24 Sultan di Turki.

Ketika leka berjalan, saya terkejut apabila mendengar seorang lelaki yang memberi penerangan kepada sekumpulan pelancong dalam bahasa Melayu, lantas mendekati mereka. Rupa-rupanya, pemandu pelancong yang dikenali sebagai Pak Murat Korkmaz itu pernah pernah menetap di Indonesia.


TARIAN Sufi adalah pertunjukan wajib ditonton jika anda bercuti di Istanbul.


Kehadiran delegasi dari Indonesia itu adalah bersempena Persidangan Air Sedunia 2009 yang diadakan di sana. Sepanjang lawatan kami mengikuti mereka sambil mendengar penerangan Pak Murat mengenai pelbagai barangan peninggalan Rasulullah dan para sahabat yang dipamerkan.

Menyusuri Selat Bosphorus

Tanpa diduga, mereka turut mempelawa kami menaiki bot bersama-sama melalui Selat Bosphorus. Selat ini menghubungkan Laut Hitam dengan Laut Marmara, selat yang memisahkan antara Turki di benua Asia dan Eropah.

Perjalanan dari Eminonu sehingga ke Laut Hitam begitu mengasyikkan. Sepanjang perjalanan kami berpeluang melihat keindahan Istana Dolmabahce, Istana Belerbeyi serta bangunan hotel, restoran, dan rumah-rumah yang menggabungkan reka bentuk Eropah dan Asia.

Membeli-belah bukanlah agenda utama saya ke sini. Namun, sebaik menjejakkan kaki di Grand Bazar pada hari kedua, saya tidak dapat menahan diri daripada membeli pelbagai barangan dengan harga yang cukup istimewa.

Antara barangan yang dijual di pasar tertua dan terbesar di Istanbul ini adalah seramik, pelbagai jenis lampu beraneka bentuk dan warna, selendang serta cenderamata.

Tidak puas membeli-belah, kami teruskan perjalanan kami ke Spice Bazar atau disebut juga Egyptian Bazar. Seperti namanya, ia menjadi pusat jualan pelbagai jenis rempah kaviar (telur ikan beluga), teh, keju dan kraftangan.

Dapat saya perhatikan, transaksi perbelanjaan di Istanbul tidak terhad dengan mata wang Turk Lira sahaja. Para pelancong bebas menggunakan mata wang lain seperti Dollar Amerika dan Euro untuk berbelanja.

Tarian Sufi

Pada hari ketiga, kami meneruskan perjalanan ke Busra. Di sana, kami sempat melawat beberapa tempat bersejarah seperti Green Mosque, kubu-kubu pertahanan lama dan makam Sultan Mehmet Celebi II. Biarpun, penduduk tempatan di sini kurang fasih berbahasa Inggeris berbanding di Istanbul, namun mereka tetap peramah dan bersedia membantu sekiranya perlu.


NORITA (kanan) berlibur disalah satu destinasi percutian impiannya bersama seorang teman, Azaria tahun lalu.


Busra juga terkenal sebagai syurga kain sutera. Saya sempat membeli selendang-selendang sutera yang terdiri daripada pelbagai warna dan corak untuk dibawa pulang.

Usai berjalan di Busra, kami bergegas pulang semula ke Istanbul kerana telah membeli tiket untuk menonton pertunjukan Tarian Sufi Mevlevi Order yang diadakan di Stesen Keretapi Sirkeci.

Ia seakan menjadi acara wajib yang sering dilakukan oleh pelancong asing yang melawat ke negara ini. Melihat para penari berputar mengikut alunan muzik nyata mengasyikkan.

Kostum tari dengan rok lebar berkibar dan meliuk seiring dengan derasnya putaran si penari. Mereka tampak menikmati putaran demi putaran yang semakin kencang seolah-olah dalam dunianya tersendiri.

Biarpun percutian selama tiga hari di Istanbul dan Busra agak singkat namun, ia memberi kami seribu satu kenangan yang sukar dilupakan.

Turki adalah sebuah negara yang cukup mengagumkan dan tidak hairanlah terdapat banyak tempat pelancongan yang diberi status Tapak Warisan Dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: