Wednesday, October 13, 2010

Menangani kesan radikal

Saya membelikan ibu suplemen Asid alfa lipoik atas saranan ahli farmasi sebagai vitamin tambahan untuk menangani kesihatan saraf memandangkan ibu seorang penghidap diabetes. Memandangkan ia juga suplemen anti oksida, saya bercadang ingin mengambilnya untuk menangani kesan radikal bebas dan menjaga kesihatan. Penerangan mengenainya mungkin boleh membantu saya.

Jawapan

Radikal bebas adalah produk sampingan yang terhasil daripada proses pengoksidaan. Namun, radikal bebas juga berpunca daripada persekitaran yang tercemar, asap rokok dan asap kenderaan, pendedahan berlebihan kepada sinaran ultra ungu, tekanan fizikal dan emosi, pengambilan lemak tepu yang tinggi dan pelbagai lagi.

Kehadiran radikal bebas berlebihan dalam tubuh akan merosakkan sel dan menjejaskan fungsi normal sel. Radikal bebas merosakkan membran (menjadikan kapilari lebih rapuh dan ini dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular), merosakkan protein yang boleh menjurus kepada katarak serta pemecahan elastin dan kolagen yang berkait rapat dengan kedut dan penuaan.

Selain boleh mengakibatkan reaksi kimia yang boleh merosakkan sel dalam tubuh, radikal bebas berlebihan ini akan menyukarkan tubuh untuk melawan jangkitan yang seterusnya boleh menjurus kepada kerosakan tisu-tisu dan organ-organ dalaman tubuh.

Untuk menangani kesan radikal bebas, tubuh kita memerlukan nutrien anti oksida yang mencukupi. Walaupun tubuh kita menghasilkan nutrien anti oksida seperti asid alfa lipoik, namun adakalanya ia tidak memadai akibat terdedahnya kepada pencemaran yang berlebihan, masalah kesihatan, pemakanan dan gaya hidup tidak sihat mahupun akibat penuaan.

Di kalangan penghidap diabetes ia juga didapati mampu meningkatkan fungsi insulin dengan mengurangkan kerintangan insulin dalam usaha untuk mengawal glukosa darah dan melegakan diabetic neuropati (kerosakan saraf akibat diabetes). Kerosakan saraf ini merupakan antara komplikasi lazim diabetes yang menjurus kepada banyak masalah kesihatan seperti masalah penglihatan, buah pinggang dan sebagainya.

Hasil kajian mendapati bahawa nutrien anti oksida iaitu asid alfa lipoik memberi kesan yang menyakinkan sebagai pelindung kepada radikal bebas untuk sel-sel tubuh. Ini memandangkan ia anti oksida yang larut lemak dan air.

Nutrien anti oksida ini boleh diserap dan menembusi membran sel. Sifat uniknya ini memberi kesan perlindungan terhadap radikal bebas yang baik untuk kedua-dua persekitaran sel berbanding anti oksida lain yang boleh melindungi salah salah satu daripadanya. Sifat yang dimilikinya ini tentunya memberi manfaat bukan sahaja kepada penghidap diabetes, tetapi juga untuk kesihatan umum secara amnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: