Thursday, October 21, 2010

Legasi pencinta haiwan ganas




APABILA lelaki bernama Dr. Brady Barr memutuskan untuk menyarungkan ‘kostum’ buaya bagi mendekati, mengenali dan memahami realiti kehidupan sebuah koloni buaya yang diketahui merupakan haiwan pemangsa yang ganas di sebatang sungai di Tanzania pada tahun 2007, ramai yang melihat tindakannya itu sebagai sama ada bodoh, gila atau sengaja mencari nahas.

Kumpulan buaya itu bukan calang-calang buaya tetapi merupakan daripada jenis Nile yang boleh membesar sehingga 6.1 meter (20 kaki) panjang.

Pakar zoologi itu sebenarnya sedang merealisasikan ‘lakonannya’ sebagai seorang selebriti iaitu hos program dokumentari Dangerous Encounters with Brady Barr yang disiarkan di saluran National Geographic atau kini dikenali sebagai Net Geo.

Bukan sekadar buaya, malah sudah menjadi tugas rasmi Brady untuk mencari dan mendekati haiwan-haiwan liar dan eksotik yang berbahaya di seluruh pelusuk dunia.

Pemilik nama penuh Brady Robert Barr itu pernah masuk jauh ke dalam gua untuk mencari ular sawa, malah dia pernah berenang jauh ke dalam lautan bersama ikan jerung.

Sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas daripada mengalami kecederaan akibat berdepan dengan haiwan-haiwan berbahaya itu. Pengalaman dipatuk ular sebagai contohnya sedikit pun tidak melenturkan semangatnya dalam meneruskan usahanya menjejak reptilia ganas terutamanya buaya.

Bapa kepada dua anak yang menginjak usia 47 tahun itu menganggap tugasan yang digalasnya itu kini adalah satu kerjaya yang sangat menarik walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko yang boleh mengancam nyawanya sendiri.

Segala pengorbanannya berbaloi apabila Brady berjaya menempa nama sebagai saintis pertama berjaya menangkap dan mengkaji sebanyak 23 spesies buaya termasuk satu pertiga daripadanya yang diancam kepupusan.Sehubungan itu dia dinobatkan sebagai herpetologis pertama dunia! Herpetoligis sebenarnya merujuk kepada zoologis yang mengkhusus kepada kajian mengenai reptilia dan amfibia.

Menurut Brady, dia sememangnya gemar mengembara ke seluruh dunia dunia untuk mengkaji reptilia dan makhluk-makhluk lain dalam habitat semulajadi mereka.

Katanya, usaha-usaha meraih pengetahuan mengenai haiwan-haiwan itu adalah kunci kepada sokongan terhadap usaha-usaha perlindungan, pendidikan dan pemuliharaan hidupan liar.

“Kami telah mengumpul dan mendokumentasikan pelbagai data dan penemuan-penemuan yang menyebabkan saya takjub terutamanya tentang data kuasa gigitan daripada pelbagai jenis haiwan pemangsa.


BERENANG penuh yakin bersama seekor ikan jerung di dalam lautan, Brady menikmati kerjayanya ini dengan perasaan bahagia.


“Sekarang, maklumat sedemikian tidak banyak wujud atau mudah diperolehi tetapi ia adalah satu pembelajaran yang bernilai bagi membantu memastikan kesinambungan hidup mereka.

“Kesinambungan hidup mereka adalah kritikal dalam meminimumkan kesan ke atas hubungan ekologi semula jadi yang boleh mencetuskan impak besar kepada manusia,” jelasnya.

Turut dikenali sebagai pakar reptilia dan pakar buaya terkemuka dunia, menerusi musim kelima Dangerous Encounters with Brady Barr, dia kini berkerja dengan bantuan teknologi canggih bagi menggali pengetahuan baru tentang haiwan-haiwan paling berbahaya di dunia.

“Antara ujian yang dijalankan seperti mendapatkan tindak balas serangan ular orok-orok, kamera laut bagi mengintip sotong gergasi dan menangkap secara hendap buaya raksaksa yang pernah memakan manusia,” katanya.

Brady yang memiliki ijazah Pendidikan Sains dari Universiti Indiana pernah menjadi guru sekolah yang mengajar mata pelajaran sains hayat dan bumi, zoologi dan biologi, sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Of Miami.

Ketika menuntut di situlah, dia telah berpeluang belajar mengenai kehidupan liar buaya dengan manjadi Everglades National Park sebagai pusat kajian.

Dalam pengembaraan untuk menjejak reptilia seekor biawak gergasi pula, Brady telah pergi ke beberapa destinasi seperti Australia, India dan China yang memberi peluang kepadanya bertemu cicak gergasi atau giant Salamanders dan buaya air masin.

Diserang badak air

Baru-baru ini, Brady telah melawat beberapa buah sekolah di Malaysia dalam rangka siri ceramah mengenai pemuliharaan hidupan liar. Dia telah memilih Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, Petaling Jaya, Selangor dan Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Hasil kunjungannya ke sekolah-sekolah tersebut telah membuka peluang kepada pelajar untuk memahami lagi usaha perlindungan terhadap kebanyakan haiwan berbisa dan liar secara langsung.

Menurut Pengarah dan Ketua Wilayah Fox International Channels di Malaysia, Basil Chua, inisiatif yang dibuat itu adalah bersempena dengan pelancaran program Nat Geo Wild di negara ini menerusi Astro (saluran 550).

Katanya, selama bertahun-tahun penonton telah meraih manfaat yang besar hasil daripada kandungan fakta hiburan pintar yang ditawarkan menerusi rangkaian saluran-saluran yang termasuklah National Geographic dan National Geographic dalam definasi tinggi (HD).


BAHAYA. Detik-detik penuh risiko ketika Brady menyamar sebagai seekor buaya bagi mendekati sebuah koloni buaya di sebatang sungai di Tanzania.


“Dari sains dan teknologi kepada sejarah semula jadi, arkeologi dan misteri-misteri, matlamat kami adalah untuk memberi inspirasi dan menggalakkan orang ramai supaya prihatin kepada alam sekitar.

“Tayangan sulung Nat Geo Wild yang memberi tumpuan kepada program hidupan liar dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin mengukuhkan komitmen berterusan kami untuk menjadikan saluran-saluran kami lebih diterima ramai,” ujarnya ketika ditemui semasa kunjungannya di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana.

Di sekolah tersebut, lebih daripada 900 pelajar berpeluang melihat secara dekat dan berkomunikasi dengan Brady bersama hidupan liar termasuk ular sawa Albino Burmese.

“Brady turut ditemani pelawak, pelakon dan pengacara, Nabil (Raja Lawak) bagi menceriakan suasana khususnya semasa sesi ceramah dan pertunjukan. “Lawatan pertamanya di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana mendapat sambutan daripada para pelajar kerana mereka mendengar dengan penuh minat mengenai kisah di sebalik pengalaman Brady bersama reptilia,” katanya.

Hadir dengan tangan kanannya berbalut kain putih, Brady sebenarnya semakin pulih daripada kecederaan yang dialaminya selepas diserang buaya ketika kunjungannya ke Afrika Selatan sebelum ini, namun dia tidak pernah membayangkan akan membatalkan kunjungan ke Malaysia buat kali keduanya.

Mengimbas kembali memori empat tahun lalu ketika pertama kali berkunjung di negara ini, kejadian ngeri yang dialaminya diserang badak air di Zoo Negara, Hulu Klang masih terkesan di lubuk sanubarinya.


BERKONGSI pengalaman bersama Nabil, Brady layak digelar sebagai duta hidupan liar sedunia.


“Kali pertama saya berkunjung ke Malaysia iaitu di Zoo Negara, saya diserang oleh badak air, tetapi baru-baru ini saya mendapat tahu badak air itu bunting dan telah melahirkan anak. Saya berbangga apabila anak badak air itu dinamakan sempena nama saya iaitu Brady,” ujarnya.

Bercerita tentang kerjayanya, dia mengakui begitu menikmati apa yang dilakukannya sekarang ini. “Bekerja dengan Nat Geo merupakan impian yang menjadi kenyataan bagi saintis seperti saya. Sebelum ini saya mempunyai sumber yang sedikit dalam melakukan penyelidikan, namun dengan Nat Geo, tetapi kini satu dunia telah menjadi makmal saya untuk membuat kajian,” ungkapnya.

Bagi Brady, tujuannya berkunjung ke sekolah adalah untuk menggalakkan pelajar supaya memiliki kesedaran yang lebih lagi terhadap alam sekitar.

“Lawatan ini adalah cara terbaik untuk mencetuskan perasaan ingin tahu dan semangat penerokaan dalam minda dan hati pelajar-pelajar.

“Menjadi perkara penting untuk untuk mendidik generasi muda di peringkat awal dan memberi inspirasi kepada mereka untuk berfikir dan bertindak melindungi dunia haiwan yang mempersonakan itu,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: