Tuesday, October 19, 2010

Kursus ilmu rumah tangga


Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan kebahagiaan dalam rumah tangga mereka. - Gambar hiasan


KEBAHAGIAAN dalam rumah tangga merupakan impian bagi pasangan yang telah berkahwin biarpun mengetahui untuk mencapainya bukan perkara mudah kerana banyak cabaran dan rintangan perlu dihadapi.

Oleh itu kemahiran yang mencukupi sebelum menuju ke gerbang perkahwinan merupakan antara persediaan penting.

Menyedari akan hakikat tersebut, setiap pasangan yang beragama Islam diwajibkan menghadiri kursus praperkahwinan sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

Untuk itu bagi memenuhi keperluan prasyarat yang telah ditetapkan itu, hari ini terdapat pelbagai pihak bersedia menganjurkan kursus-kursus tersebut.

Antaranya, Pusat Kursus Praperkahwinan Rihan yang terletak di 26-1, Jalan 1/76C, Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Pengusahanya, Mohd. Roslan Abd. Ghani, 47, mengakui kursus praperkahwinan hari ini perlu dalam usaha menjelaskan dan mendedahkan pasangan yang bakal mendirikan 'masjid' tentang peranan dan tanggungjawab serta memberi kemahiran tentang bagaimana menangani konflik yang berlaku di alam rumah tangga dengan cara bijaksana.

Tambah beliau, selain ingin membantu pasangan Islam mendapat pendedahan awal mengenai alam rumah tangga, Pusat Kursus Praperkahwinan Rihan dibuka bertujuan memudahkan penduduk di sekitar kawasan Ampang mendapatkan tempat untuk berkhusus yang jauh daripada kesibukan kota.

Dibuka awal Januari lalu, ia bukan sahaja menawarkan kursus praperkahwinan, malah perkhidmatan lain untuk mereka yang bakal bergelar 'raja sehari' seperti perkhidmatan membuat kad kahwin, katering, kanopi, jurugambar dan lain-lain lagi.

''Pusat Kursus Praperkahwinan Rihan ini merupakan pusat yang mendapat kelulusan atau kebenaran daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

''Untuk itu, semua penceramah merupakan mereka yang bertauliah dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

''Bukan itu sahaja malah, sijil kursus juga akan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi),'' ujarnya ketika ditemui di premisnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Mohd. Roslan, pihaknya menawarkan pakej kursus selama dua hari yang lazimnya dibuat pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) dan disertakan dengan makan tengah hari serta minum petang.

Jelasnya lagi, modul yang digunakan merupakan modul yang dikeluarkan oleh Jakim dan sepanjang dua hari kursus sebanyak 12 modul digunakan dengan enam orang penceramah.

Mengenai yuran yang dikenakan kepada setiap pasangan yang ingin berkursus, menurut Mohd. Roslan, pihaknya tidak mengenakan bayaran sama seperti mana-mana pusat kursus yang lain iaitu RM80.

''Pusat Kursus Praperkahwinan Rihan mampu menampung 60 hingga 100 orang pada satu-satu masa.

''Bagaimanapun kami menggalakkan setiap pasangan membuat tempahan awal agar mudah kami menyediakan modul-modul serta keperluan yang lain.

Bagi yang ingin mengikuti kursus di Pusat Kursus Praperkahwinan Rihan, boleh menghubungi talian 013-3889141 atau 017-2448584.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: