
Namun Maya bukanlah bertemu dengan sang arjuna hati mahupun kekasih baru, sebaliknya ke Vietnam untuk menziarahi ayahnya yang bekerja sebagai perancang bandar di sana.
“Saya bersyukur kerana saat akhir penggambaran filem saya terpaksa ditangguhkan dan menyebabkan saya mempunyai cuti sebulan. Ini adalah cuti raya paling panjang dalam hidup saya. Sudah hampir enam tahun saya tidak dapat bercuti kerana terlalu fokus pada kerja.
“Jadi saya berhasrat memanfaatkan cuti panjang saya ini dengan melawat ayah yang bekerja di Vietnam selama dua minggu,” katanya yang ditemui semasa majlis rumah terbuka Wanita Hari Ini dan NONA, di Restoran Istana Bambu baru-baru ini.
Tambah Maya lagi selepas kembalinya dari Vietnam, Maya akan berangkat pula ke China bersama ahli keluarga yang lain untuk bertemu adiknya yang sudah dua tahun tidak bersua.
“Saya sudah dua tahun tidak berjumpa adik saya kerana dia bekerja di Mexico. Kebetulan di ke China kerana ada beberapa urusan dan kemudian bercuti di sana. Jadi dia mengajak saya menyertainya.
“Lagipun saya tidak pernah ke China dan adik saya telah berjanji untuk membawa saya melawat tempat-tempat menarik dan melakukan banyak aktiviti bersama di sana nanti,” katanya yang akan terlibat dengan pementasan kali kedua, Natrah.
Ketika ditanya apakah percutian kali ini sebagai salah satu cara untuk Maya merawat hatinya, Maya pantas menolak dan meyakinkan media dirinya kini semakin pulih daripada luka akibat perpisahan, namun dia masih belum bersedia mengulas kehidupan peribadinya.
“Saya akui semakin dapat membiasakan diri dengan kehidupan baru saya sekarang. Buat masa sekarang berilah saya masa untuk diri sendiri dan masih terlalu baru untuk fikirkan mengenai hubungan baru. Tidak sesuai bercerita kisah ini kerana masih banyak hati yang perlu dijaga. Kisah peribadi biarlah saya sendiri yang simpan,” katanya.
Mengulas mengenai pelbagai kontroversi yang melanda kehidupan peribadinya, Maya mengakui dia menerima segala-galanya dengan tangan terbuka.
“Saya terima segala kontroversi yang melanda dan tidak mahu melenting kerana saya mencari rezeki dalam dunia hiburan dan menjadi perhatian masyarakat.
“Lagipun mulut orang memang tidak boleh ditutup. Walau apa pun orang kata hakikatnya hanya saya yang tahu perkara sebenar. Bukan mudah untuk buat semua orang suka kepada kita,” katanya yang akan muncul dengan filem Ombak Rindu tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: