Wednesday, October 6, 2010

Kejutan Arrico

MALAYSIA terus menuai emas kedua dalam acara angkat berat Sukan Komanwel apabila Arrico Jumith merangkul pingat emas semalam dalam acara final lelaki 62kg selepas mengetepikan tentangan rakan seniornya Naharudin Mahayudin.

PUAS...gelagat Naharudin mencium bebanan selepas berjaya melakukan angkatan untuk pingat perak negara.
PUAS...gelagat Naharudin mencium bebanan selepas berjaya melakukan angkatan untuk pingat perak negara.
Kejayaan Arrico itu memastikan kontinjen negara tidak sepi dalam pungutan pingat emas pada hari kedua selepas seorang lagi badang negara, Amirul Hamizan Ibrahim membuka langkah gemilang kelmarin di Kompleks Sukan Jawaharlal Nehru dengan mendominasi acara 56kg. Namun kekecewaan terus melanda India apabila Rustum Sarang dan Omkar masing-masing terlepas pingat selepas tuan rumah gagal mencipta kejayaan pada dua acara awal kelmarin.


Arrico, 20, yang membuat penampilan pertama namun dianggap antara atlet pilihan kali ini bergelut dalam acara snatch apabila hanya melakukan angkatan 120kg untuk menduduki tangga keempat.


Namun pemenang pingat emas Sukan Remaja Komanwel di Pune, India dua tahun lalu itu berjaya menjulang 156kg dalam acara clean and jerk bagi mengumpul angkatan keseluruhan 276kg.


Angkatan Arrico itu hanya satu kilo mengatasi rakan senegara Naharudin yang pada mulanya mendahului acara snatch dengan angkatan 125kg namun mengumpul jumlah keseluruhan 275kg selepas acara clean and jerk.


Sementara pingat gangsa milik atlet Sri Lanka, Anton Kurukulaasooriyage dengan melakukan angkatan terakhir sebanyak 152kg untuk mencatat angkatan keseluruhan 272kg sekali gus menidakkan sebarang pingat buat Rustum Sarang selepas wakil tuan rumah itu gagal mengangkat bebanan 153kg.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: