Monday, October 11, 2010

Kanak-kanak ilmuwan agama




APABILA diminta untuk menghasilkan tulisan seni kaligrafi Islam atau lebih dikenali sebagai tulisan khat, kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun itu pantas mengambil peralatannya.

Lalu, dia memilih untuk menunjukkan kebolehannya itu di atas meja yang mempunyai ruang besar. Baginya, persekitaran selesa amat penting untuk mendapatkan hasil seni khat yang menawan.

Amin Al-Hadi Abdul Hadi memulakan dengan membancuh sendiri dakwat hitam yang akan digunakan. Katanya, untuk mendapatkan dakwat yang cantik, dia perlu tahu sukatan air yang ingin digunakan. Malah, dakwat tersebut turut tidak boleh didedahkan terlalu lama kerana ia akan cepat kering dan keras.

“Hanya air suam yang boleh digunakan untuk membancuh dakwat. Kalau terlebih air mungkin dakwat tersebut akan cair dan tulisan yang ditulis kurang cantik kerana warna hitamnya tidak pekat,” kata anak bongsu daripada tiga beradik.

Dalam rancak berbicara, Amin tidak ketinggalan menunjukkan pena diperbuat daripada buluh dan pokok resam yang digunakan untuk menghasilkan tulisan khat.

“Pen mata besi atau buatan boleh digunakan pada peringkat awal iaitu sewaktu ingin mengenal dan melatih tulisan khat.

“Tetapi apabila sudah mahir, disarankan untuk menggunakan pen diperbuat daripada bahan tumbuhan kerana tulisan lebih cantik dan mengekalkan kualiti tradisional seni khat. Bagaimanapun, penggunaannya sedikit susah iaitu dari segi mengasah mata pen tersebut,” jelasnya laksana seorang pakar khat.

Daripada kesabaran dan kesungguhannya ternyata, Amin seorang kanak-kanak yang tidak pernah mengalah malah, mementingkan kesempurnaan.


ABDUL MOHSIN meluangkan masa memberi tunjuk ajar kepada 'Ammar melagukan al-Quran dengan betul.


“Maaf abang, boleh ambil gambar lain, yang saya tulis ini tidak cantik. Kita cuba buat tulisan baru, selagi tidak cantik saya memang tidak akan puas hati,” seloroh Amin kepada jurufoto yang sibuk mengambil gambarnya sedang menghasilkan seni khat.

Selain itu, keperluan asas yang perlu dimiliki ialah kertas tebal dan licin supaya ia memudahkan proses pengeringan dakwat. Antaranya ialah Art Paper, Mattart, Tracing Paper atau kertas biasa bersaiz A4.

Ralit menghayati kehalusan seni khat yang dilakarkan oleh Johan Khat Peringkat Kebangsaan 2010, terdetik di hati untuk mengetahui lebih lanjut, bagaimana Amin mula meminati seni khat pada usia yang masih muda.

Walhal kanak-kanak lain yang seusia dengannya lebih seronok menghabiskan masa dengan bermain permainan video, melayari Internet dan sebagainya.

Amin menceritakan dia mula terdedah dengan dunia kaligrafi Islam sewaktu menemani ayahnya ke kelas seni khat.

Ketika itu usianya baru mencecah lima tahun. Tertarik dengan seni itu, dia pernah curi-curi menulis tulisan khat dengan mengambil peralatan khat bapanya, Abdul Hadi Abdul Ghani, 55.

Disebabkan Amin menunjukkan minat khat dengan mendalam, bapanya mengambil keputusan untuk menghantar Amin ke kelas khusus seni khat di Yayasan Shah Alam pada usia 10 tahun.

Di sana, dia memperuntukkan masa selama tiga jam setiap Sabtu untuk memperhalusi seni khat dengan lebih serius. Secara jujur, pelajar Sekolah Menengah Taman Ilmu Dan Budi, Gombak itu menyatakan, dia memilih mendalami seni khat kerana keunikan seni itu sendiri.

“Bila dah lama, baru saya dapat lihat seni khat ini merupakan sesuatu tulisan yang unik dan perlu diberi perhatian.

“Apatah lagi dalam keadaan kecenderungan pelajar muda terhadap keindahan seni Islam ini masih rendah, mungkin suatu hari nanti saya boleh menjadi pelopor seni khat dalam kalangan kanak-kanak,” ulasnya yang aktif berpidato.

Melagukan al-Quran

Bukan senang untuk membesarkan anak-anak dengan mengikut segala kemahuan yang diimpikan oleh setiap ibu bapa.

Itulah yang diharungi oleh Abdul Mohsin Mohd. Fazil, 38, dalam membesarkan anak pertama mereka, Muhammad ‘Ammar Abdul Mohsin, 12.

Didedahkan dengan bacaan al-Quran sejak kecil lagi, Abdul Mohsin yang tinggal di Kuala Kedah menyifatkan dia tidak pernah membiarkan anaknya itu mempelajari ilmu al-Quran secara bersendirian dengan hanya mengikuti kelas agama semata-mata.

“Saya sendiri akan meluangkan masa dengan mengaji bersama-samanya di rumah. Tidak cukup sekadar hantar dan ambil anak ke kelas agama. Ibu bapa perlu tanam minat terhadap perkara yang sama,” beritahu Abdul Mohsin yang merupakan kakitangan kerajaan.

Usaha gigih Abdul Mohsin itu akhirnya sudah menampakkan sinar cahaya apabila ‘Ammar mampu memperoleh pelbagai kemenangan yang membanggakan pada usia mentah.

Antaranya ialah Johan Tilawah al-Quran Peringkat Sekolah Kedah selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2008, 2009 dan 2010.


KEHALUSAN seni tulisan khat Amin hasil usaha gigihnya mempelajari kaligrafi Islam itu sejak kecil selain dorongan bapanya, Abdul Hadi (kiri).


Selain itu, kejayaannya diperolehi menerusi Johan Tilawah Peringkat Negeri Kedah 2009, Johan Tilawah Makhrajan J-Qaf 2010 dan Naib Johan Tilawah Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2009.

Kebolehan memperdengarkan bacaan dengan seni lagu atau taranum yang dimiliki oleh kanak-kanak itu bermula apabila bapanya sering kali memperdengarkan kaset, cakera padat dan video qari dan qariah dari Timur Tengah terutama Mesir.

“Pada usia enam tahun dia sudah didedahkan dengan pembelajaran taranum. Kecemerlangan kebolehannya itu dapat dilihat pada umur lapan tahun.

“Setiap kali berada dalam kereta saya akan pastikan alunan taranum dimainkan supaya dia lebih bersemangat untuk belajar,” katanya.

Jenis lagu taranum yang biasa dipelajari oleh masyarakat di Malaysia seperti Bayati (Mesir), Jaharkah (Afrika) Soba (Arab Mesir), Hijaz (Makkah dan Madinah), Nahawand, Sikah dan Rast (Parsi).

Namun, bagi mencapai kelunakan suara apabila menyampaikan taranum, ‘Ammar memerlukan pengawasan pemakanan yang ketat.

Dia disarankan tidak mengambil makanan berminyak dan meminum minuman ais. Biasanya, menjelang dua minggu sebelum menyertai sebarang pertandingan pantang larang itu akan diamalkan sepenuhnya.

“Bukan tidak boleh makan dan minum langsung tetapi pada saat akhir ayah saya tidak bagi jamah makanan yang akan memudaratkan suara.

“Malah perkara yang akan merosakkan minda juga tidak dibenarkan kerana ia akan mengganggu ketenangan saya untuk menghayati bacaan lagu ayat suci al-Quran,” akui ‘Ammar yang sentiasa mulutnya terkumat kamit menyebut kalimah al-Quran.


KEHEBATAN Syafiqah dalam berpidato pernah melayakkan dia menyertai program Adik-Adikku.


Handal pidato

Sewaktu menonton rancangan Karnival Inovasi Islam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini, kehebatan Nur Syafiqah Mohd. Paris, 11, memberi ceramah cukup membanggakan.

Memiliki personaliti yang cukup matang, dia langsung tidak goyah meskipun berada di hadapan penonton yang pastinya lebih berusia dan berpengetahuan daripadanya.

“Kalau rasa bimbang dan tidak tenang ia akan menjejaskan kesemua kandungan ceramah atau pidato yang telah saya hafal.

“Jadi saya ambil pendekatan untuk menarik nafas dan yakin pada diri sendiri supaya perasaan bukan-bukan tidak mengganggu,” terangnya yang tinggal di Sabah.

Sering tampil ceria di hadapan penonton, Syafiqah bijak mengambil hati penonton agar tidak bosan mendengar intipati yang dilaungkannya itu. Bagaikan seorang penceramah profesional, namun Syafiqah mengakui bukan mudah untuk mencapai ke tahap itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: