Friday, October 8, 2010

Hafiz, Hasli bidik perak

GANDINGAN Hafiz Adzha dan Hasli Izwan Amir Hassan menghadiahkan satu lagi pingat perak buat kontinjen negara di Lapang Sasar Dr Kami Singh acara 25m Rapid Fire, semalam.

BANGGA...Hasli (kiri), Hafiz bersama  gandingan India (tengah) dan  Australia.
BANGGA...Hasli (kiri), Hafiz bersama gandingan India (tengah) dan Australia.
Mereka mengumpul 1,144 mata, jumlah yang gagal mengatasi penembak tuan rumah, Vijay Kumar dan Gurpareet Singh yang mencipta rekod baru temasya dengan catatan 1,162 mata. Pingat gangsa pula dimenangi pasangan Australia, David Chapman dan Bruce Quick yang mencatat 1,125 mata.


Pingat itu yang ketiga buat skuad menembak negara selepas Bibiana Ng dan gandingan Benjamin Khow Cheng Jie dan Khor Seng Chye memenangi dua pingat gangsa, kelmarin.


Jurulatih, Hashim Desa membayangkan Hasli mampu ulangi pencapaian itu dalam acara individu hari ini.


“Bagaimanapun, sukar untuk Hasli menggondol emas kerana peserta India terlalu hebat. Pastinya dia akan mencuba sebaik mungkin tapi dalam apa jua keadaan, dia pastinya bakal mencuba sebaik mungkin,” katanya.


Hasli memenangi pingat gangsa di Melbourne empat tahun lalu. Namun, kali ini gandingan tuan rumah terlalu hebat buat mereka.


“Prestasi semasa lebih baik berbanding empat tahun lalu. Namun, pencapaian ini tidak boleh dibanggakan kerana kami pernah mencatat keputusan lebih baik. “Bagaimanapun, pasangan India harus dipuji kerana catatan yang mereka lakukan hampir sempurna. Pingat perak ini umpama mangkin buat saya sebelum bertanding dalam acara individu. Harap-harap saya berjaya menyumbang satu lagi pingat buat negara,” katanya.


Hasli dan Hafiz bermula cemerlang dan mendahului selepas pusingan pertama dengan 579 mata, tiga mata di depan pasangan India. Namun, Gurpreet dan Vijay kemudian merubah nasib mereka di pusingan kedua, termasuk catatan sempurna 100 yang dilakukan Gupreet menebus kesilapannya pada pusingan awal. Prestasi Hasli dan Hafiz pula agak merudum selepas itu dan harapan Malaysia menggondol emas berkubur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: