|
|
MALAM ini, Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) bakal berlangsung gilang gemilang di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Segala penantian dan debaran akan terlerai selepas ramalan nama pemenang mula menjadi sebutan sejak seminggu yang lalu.
Berdasarkan pencalonan senarai lima finalis bagi 24 kategori, ramai yang meramalkan Magika dan Estet akan bersaing sengit bagi kategori Filem Terbaik.
Kedua-dua filem itu jauh meninggalkan filem lain apabila Magika unggul dengan 12 pencalonan manakala Estet mengekori rapat dengan jumlah lapan pencalonan.
Namun tidak salah meletakkan harapan tinggi calon filem terbaik bakal menjadi milik Estet tahun ini.
Kekuatan penceritaan Estet jangan sesekali dipandang sebelah mata dan filem itu perlu diberi perhatian serius .
Dari sudut subjek yang diketengahkan, Estet kaya dengan nilai estetika yang tinggi apabila melihat kepada mesej yang ingin disampaikan.
Mamat terlebih dahulu membawa mesej keharmonian kaum yang diuar-uarkan kerajaan menerusi gagasan 1Malaysia.
Biarpun hanya akan mula ditayangkan pada 4 November ini, filem tersebut kelihatan hebat kerana gaya pengarahan Mamat Khalid yang bersahaja.
Dengan bajet sebanyak RM1.9 juta, Estet dilihat memenuhi kualiti filem terbaik apatah lagi dibantu aspek sinematografi yang cemerlang oleh pengarah fotografi tersohor, Indra Che Muda.
Kalau lima juri profesional tempatan terpikat dengan Estet, jangan pula pepatah rumah telah siap tetapi pahat masih berbunyi masih kedengaran selepas FFM23 berakhir.
Sebetulnya tidak salah dan ‘berdosa besar’ jika Estet dijulang malam ini walaupun filem itu menyelitkan dialog-dialog dalam bahasa Tamil selain menampilkan ramai pelakon kaum India menerusi filem tersebut.
Seperti harapan Mamat, filem keenam arahannya itu tidak akan menjadi mainan politik sesetengah pihak sebaliknya dinilai sebagai sebuah filem Malaysia yang dapat dinikmati oleh semua golongan tanpa rasa prejudis.
Saingan sengit Estet pastinya datang dari Magika yang berjaya merangkul lima anugerah daripada 12 Anugerah Cipta pada majlis perasmian FFM23 pada Rabu lalu.
Ini kerana jika kelainan dan kriteria baru menjadi keutamaan para juri, Magika lebih ke depan dan menonjol selepas mengambil kira gabungan skrip, lakon layar, sinematografi, penataan seni dan bunyi baik yang berjaya diangkat dan diadun dengan cemerlang oleh Edry.
Kelebihan filem itu kerana keberanian KRU Studios menampilkan pembaharuan pemikiran dan konsep segar kepada audiens filem tempatan.
Dari segi arahan oleh Edry, kekuatan penceritaan Magika masih kuat berbanding filem-filem lain. Mendapat sambutan hebat melebihi RM4 juta, ukuran jumlah tiket tidak semestinya menjadikan Magika sebagai sebuah filem terbaik.
Barangkali juga, kelebihan Magika yang dihasilkan dalam konteks filem muzikal Malaysia itu apabila setiap watak mitos yang dilakonkan oleh para pelakonnya menjadi dan memberi impak yang cukup besar biarpun kemunculan mereka seketika.
Tepat dengan maksudnya, Magika bagaikan memberi sentuhan ajaib dan fenomena baru apabila ia keluar dari kepompong pemikiran dangkal peminat filem yang terikat dengan cerita mitos yang kelihatan bodoh dan lawak yang dibuat-buat.
Malah, Magika juga boleh menjadi pembuka jalan untuk membawa filem-filem tempatan ke peringkat antarabangsa seiring dengan moto FFM23 iaitu Filem Malaysia Ke Persada Dunia.
Sementara itu, kejutan FFM23 pasti berlaku jika filem sulung terbitan Preston Zaidan Productions Sdn. Bhd. (PZP), Belukar diumumkan Filem Terbaik.
Belukar yang pertama kali menggandingkan Bront Palarae dan Daphne Iking penuh dengan nilaiI kasih sayang, persahabatan dan keberanian sekali gus berjaya mempengaruhi jiwa penonton.
Filem arahan Jason Chong itu turut sarat dengan pelbagai perasaan seperti emosi gembira, sedih, simpati, ganas dan amarah.
Biarpun Belukar masih tidak dapat lari dari tema cinta yang seringkali disogok dalam kebanyakan produk filem tempatan, namun ada kelainan yang cuba dipaparkan.
Pada masa sama, jangan ketepikan Evolusi KL Drift 2. Filem arahan Syamsul Datuk Yusof itu kuat dengan genre aksi yang menarik.
Barangkali kontroversi hanya wujud jika Adnan Sempit menjadi pilihan juri dan diangkat filem terbaik FFM23. Hanya juri profesional yang mengenal manikam.
Selain Filem Terbaik, kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik turut dinanti-nantikan sebagai antara anugerah penting dalam mewarnai kemuncak FFM23 kali ini.
Berdasarkan senarai lima finalis Pengarah Filem Terbaik, Mamat menjadi pilihan utama dan dia pasti tidak keruan menantikan keputusan daripada para juri profesional bagi mengungguli kategori Pengarah Terbaik.
Naluri kuat mengatakan Mamat bakal naik ke atas pantas untuk mengungguli kategori tersebut. Namun saingan daripada Jason Chong dan Farid Kamil tidak boleh diketepikan. Bagaimanapun, Mamat wajar bersiap sedia dengan ucapan kemenangan malam ini.
Kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik juga akan menyaksikan ‘orang baru’ akan dijulang malam ini selepas ketiadaan pemenang FFM22 iaitu Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay, kedua-duanya menerusi filem Papadom.
Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Bront Palarae menerusi filem Belukar dijangka mampu memberi kejutan namun saingan terdekat mungkin hadir daripada Farid Kamil (Lagenda Budak Setan).
Sementara Esma Daniel (Santau) dan Shamsul Datuk Yusof (Evolusi KL Drift 2) pula boleh dikatakan masih baru kecuali kemunculan Zul Huzaimy (Haq).
Bagaimanapun, ramalan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik agak sukar kerana tahun ini menyaksikan persaingan sengit daripada kalangan muka-muka baru kecuali Maya Karin menerusi filem Pisau Cukur.
Empat finalis lain kategori Pelakon Wanita Terbaik ialah Jasmine Michael (Estet), Lisa Surihani (Lagenda Budak Setan), Mislina Mustaffa (Karaoke) dan Putri Mardiana (Santau).
Namun Mislina dilihat memiliki sedikit kelebihan jika mengambil faktor kehebatan lakonannya filem dan teater lakonannya sebelum ini.
Apa yang menarik, nama pemenang memang sukar diramal. Namun tentu satu nama sahaja yang akan dipilih menerima anugerah pada malam ini bagi setiap kategori.
Yang pasti, malam ini akan menyaksikan satu lagi sejarah tercatat dalam direktori penganjuran FFM, sama ada yang gembira atau pun terpalit duka.
Sementara itu, Malam Anugerah FFM23 akan disiarkan secara langsung malam ini pukul 8.30 hingga 10.30 malam di TV1 yang diacarakan oleh Zizan Raja Lawak, Sharifah Shahirah dan Hezri Hashim dari RTM.
Tetamu kehormat pada Malam Anugerah FFM23 ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Malam perasmian hambar!
Malam perasmian FFM23 yang berlangsung di Centre Atrium E@Curve, Mutiara Damansara pada Rabu lalu berlangsung hambar dan lesu.
Apa yang menyedihkan, perjalanan acara yang bertujuan mengiktirafkan anak seni filem itu tidak teratur dan seolah-olah tidak menjalankan latihan raptai.
Bayangkan ada penyanyi yang terlibat membuat persembahan bagaikan tidak tahu giliran naik ke pentas dan berada dalam keadaan tergesa apabila nama dipanggil.
Itu belum lagi penggunaan mikrofon yang tidak berfungsi ketika Hafiz AF7 membuat persembahan selain sistem bunyi yang kadang-kadang menyakitkan telinga.
Sepatutnya penganjur perlu melakukan persiapan rapi apatah lagi FFM ini hanya berlangsung sekali dalam setahun.
Sekiranya masalah begini terus berlarutan, bagaimana masyarakat dapat memandang tinggi industri perfileman sekiranya majlis anugerah pun tidak berprestij dan sekadar melepas batuk di tangga.
Malah penganjur juga perlu memikirkan untuk mengadakan malam majlis perasmian dan Anugerah Cipta di tempat terbuka.
Seboleh-bolehnya, carilah ruang tempat yang sedikit mewah dan selesa walaupun tujuan baik untuk mendekatkan penggiat seni dengan orang ramai.
Sementara itu, pada malam tersebut, filem Magika terbitan KRU Studios merangkul lima anugerah daripada 12 Anugerah Cipta yang disampaikan.
Anugerah tersebut adalah bagi kategori Kostum/Busana yang dimenangi Hasnan Yaacob, Lagu Tema Asal Terbaik iaitu Penyembuh Rindu ciptaan Edry Abdul Halim, Penataan Seni Terbaik (Anuar Paharudin dan Johan Lucas), Pelakon Kanak-kanak Terbaik (Fimie Don) dan Pengarah Harapan (Edry Abdul Halim).
Manakala bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menjadi milik aktor Shaheizy Sam (V3: Samseng Jalanan) manakala Yana Samsudin dipilih sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Adnan Sempit.
Kejutan berlaku bagi Kategori Pelakon Harapan Lelaki dan Pelakon Harapan Wanita apabila dua pelakon bukan Melayu menjadi pilihan juri iaitu Shashi Tharan (Estet) dan Daphne Iking (Belukar).
Dua anugerah utama iaitu Pengarah Harapan dan Filem Komedi Terbaik yang dimenangi oleh My Spy (Afdlin Shauki) telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Magalin Decruz.
Pemenang bagi setiap kategori membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai RM10,000. Majlis yang berlangsung selama satu setengah jam itu disusuli tayangan perdana dua filem yang turut bertanding di FFM23 iaitu Estet dan 2 Alam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: