PADA zahirnya, dia kelihatan seperti seorang wanita yang riang, sebagaimana watak yang sering dilakonkannya dalam beberapa drama bersiri seperti Riang Tirana, Sindarela, Kisah Kaisara dan terbaru, Tipah Vavavoom. Namun jauh di lubuk hati, Wan Sharmila tak ubah seperti perempuan lain yang mengerti makna duka apabila dihimpit lara.
Pada 23 Oktober ini, genap setahun wanita berbakat ini berpisah dengan bekas suami, Fazli Baharom, yang juga pemilik syarikat produksi Radius One.Dan, akuinya, fasa yang terpaksa dilalui bukanlah episod yang mudah sebagaimana disangka. Malah Wan tidak menafikan betapa dia perlu berusaha keras untuk melepasi detik duka yang sehingga kini masih dirasa, akibat perpisahan berkenaan.
Tiga tahun usia perkahwinan, dengan sebahagian daripadanya dihiasi onak, Wan mungkin mampu menarik nafas lega apabila semua kekusutan terurai sudah. Bagaimanapun, kelegaan yang dirasa turut diiringi kedukaan dalam jiwa. Kedukaan itu pula dihadapinya bersendirian, dengan sesekali teman rapat menjadi pendengar setia, serta tempatnya berkongsi air mata.
Dia menyedari, untuk sembuh sepenuhnya, tentulah mengambil sedikit masa. Justeru, pelakon ini tidak tergesa-gesa untuk mencari cinta seterusnya.
"Saya sendiri bukannya terdesak mencari kekasih atau pasangan hidup yang baru. Malah, saya sudah tetapkan minda untuk tidak terlalu memikirkan perkara berkenaan. Jika ada yang sudi mendekati, saya mengambil langkah berkawan-kawan saja dengan mereka. Saya perhatikan saja apa yang ada di depan mata.
"Keinginan untuk merasai cinta tentu sekali masih wujud dalam jiwa. Namun, entahlah, mungkin ketika yang sama saya masih lagi takut, bimbang terluka semula. Belum ada keyakinan sepenuhnya untuk saya kembali dilambung ombak cinta," kata Wan.
Tidak memusuhi bekas suami, sebaliknya Wan dan Fazli tetap bersahabat.
"Walaupun antara kami mungkin jodohnya sementara, tetapi ia tidak menghalang persahabatan dijalinkan antara kami berdua. Masing-masing seperti memahami, apa saja yang baik itu adalah dari Yang Maha Esa. Perceraian kami mungkin jalan terbaik untuk kedua-duanya keluar daripada masalah yang melanda. Waktu yang sama, perceraian itu juga bukan titik akhir kepada kehidupan kita," katanya berhati-hati menyusun bicara.
Tidak dikurniakan cahaya mata ketika masih berumah tangga, namun Wan mengaku dirinya cukup rapat dengan seorang kanak-kanak perempuan dipanggil Mira. Kanak-kanak berusia empat tahun itu membolehkannya ‘berangan’ memiliki cahaya mata sendiri, setiap kali mereka keluar bersama.
Anak kepada rakan bekas suami, dia sering kali membelikan Mira hadiah. Tidak kira waktu, apa saja yang dirasakan sesuai dengan kanak-kanak berkenaan, pasti disambar olehnya. Apatah lagi pada hakikatnya Wan seorang yang gemar melayan, mahupun mengusik kanak-kanak. Mira sendiri sebenarnya mudah mesra dengan sesiapa saja.
"Memanglah saya teringin untuk memiliki anak sendiri, tetapi buat waktu ini, agak sukar sikitlah," katanya sambil menguntum senyuman mesra.
Sering dibuli rakan sekerja
KETIKA ini, tentu penonton TV3 berseronok menyaksikan aksi Wan Sharmila, Kamal Adli, Puteri Sarah Liyana, Bob AF, Sheila Mambo, Raja Farah, Ropi Cecupak dan Liza Abdullah dalam drama bersiri Tipah Vavavoom yang mengisi slot Senda Pagi, setiap Khamis, di saluran televisyen nombor satu negara.
Dalam siri arahan Along Kamaruddin itu, Wan beraksi sebagai gadis kampung yang mudah gelabah. Kerana sikapnya itu, dia sering kali gagal dalam temu duga. Namun, nasibnya agak baik apabila dia diterima bekerja sebagai pelayan di sebuah resort, walaupun pada awalnya dia memohon untuk bekerja sebagai setiausaha.
Setelah dirinya diangkat sebagai setiausaha kepada Kamal Adli pada akhirnya, lelaki itu bersama Puteri Sarah berusaha sedaya upaya untuk mengusirnya. Sejak itu, dia sering kali dibuli, hanya kerana dia bukannya gadis cantik yang berkeyakinan tinggi. Tipah hadapi semuanya kerana dia juga punya cita-cita, apatah lagi dia sekeluarga sememangnya hidup dalam keadaan yang cukup ceria.
"Ketika mula-mula menerima skripnya, saya terfikir watak Tipah seperti badut. Saya jadi risau juga, sebab bukan mudah sebenarnya untuk membuatkan orang ketawa. Bagaimanapun, kelakar Tipah bukan kelakar murahan. Penonton akan banyak ketawa menyaksikan penampilan dan sikapnya yang tak kena pada tempatnya.
"Saya juga malu pada mulanya untuk membawakan watak perempuan seperti ini. Dalam hati, hendak juga saya melakonkan watak wanita cantik sebagaimana pelakon lain. Tetapi nampaknya rezeki saya lebih kepada watak sebegini, yang sebenarnya turut mencabar kemampuan saya. Bagaimanapun, pada penghujung cerita, ada babak menampakkan saya cantik, walaupun sekadar cantik komedi saja," katanya bersulam ketawa.
Menurut Wan, kulitnya juga bertambah gelap selepas menjayakan siri komedi 13 episod itu. Penggambarannya dilakukan di Kuala Terengganu, dengan tajaan lokasi oleh Ri-Yaz Heritage Resort & Spa.
"Lokasinya memang hebat. Banyak penggambaran dilakukan di kawasan tepi pantai. Kerana itu, kulit saya pun makin gelap. Lebih-lebih lagi sebelum terbabit dengan Tipah Vavavoom, saya turut mengacarakan sebuah program, Klik Klik Asean (untuk RTM), yang membawa saya menjelajah beberapa negara Asia Tenggara.
"Pada 5 Oktober pula, Wan akan menyertai beberapa pelakon handalan seperti Nasha Aziz, Vanidah Imran dan Aida Aris menjayakan sebuah telefilem arahan Bade Haji Azmi berjudul Dendam Maya. Telefilem terbitan Asia Media Content itu bakal dirakam di sekitar ibu negara dan Hulu Selangor.
"Saya begitu teruja untuk memulakan projek ini kerana ia bukan hanya dibarisi bintang handalan, malah ia juga cerita berbentuk thriller pertama buat saya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: