Saturday, October 9, 2010

Empat lagi anggota imigresen ditahan

 SEORANG kakitangan imigresen  di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang memeriksa beg dan dokumen warga asing di pintu keluar masuk imigresen.
SEORANG kakitangan imigresen di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang memeriksa beg dan dokumen warga asing di pintu keluar masuk imigresen.
SPRM lakukan operasi di Jeti Pulau Ketam

KUALA LUMPUR: Empat lagi anggota imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, termasuk seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah sehingga menyebabkan pintu keluar masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin.Mereka ditahan dalam operasi khas antara jam 10 pagi dan 6 petang. Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kakitangan imigresen yang ditahan setakat ini 11 orang, selain lapan orang awam.
Sembilan daripada mereka bekerja di Jeti Penumpang Pulau Ketam, mana dua lagi adalah pegawai di Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sumber memberitahu Berita Harian, semua anggota yang ditahan semalam bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam, sejak kira-kira setahun lalu.

“Empat anggota terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan ketika bertugas dan juga di kediaman masing-masing sekitar Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berita Harian pada 27 Ogos lalu dalam laporan eksklusifnya mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.
Mengikut laporan itu, setiap penguat kuasa dipercayai dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan.

Susulan pembongkaran itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman menukarkan 20 anggota dan pegawainya di Pelabuhan Klang ke cawangan lain.

Kegiatan sindiket itu mula dikesan apabila pendatang tanpa izin yang memulakan perjalanan keluar atau masuk ke negara ini dikehendaki memberi sejumlah wang suapan dikenali ‘duit gerenti’ kepada kapten kapal.

Ketika menahan dua pegawai imigresen di Jeti Port Dickson, SPRM turut menemui wang transaksi sebanyak RM26,000, manakala penahanan seorang anggotanya di Jeti Penumpang Pulau Ketam pula menemui wang tunai RM30,000 di rumah anggota terbabit.

Sumber memberitahu Berita Harian, penahanan empat anggota semalam adalah hasil maklumat yang diperoleh daripada anggota sindiket yang ditahan berhubung kegiatan sama sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: