![]() |
| SILVIU IONESCU |
BUCHAREST - Seorang diplomat Romania yang didakwa menyebabkan kematian ekoran satu kejadian langgar lari di Singapura pada tahun lalu menafikan bertanggungjawab dalam insiden berkenaan pada hari pertama perbicaraannya di sini semalam.
"Sebanyak 90 peratus apa yang terkandung dalam pertuduhan tidak menggambarkan realiti kejadian," kata diplomat berkenaan, Silviu Ionescu kepada barisan hakim.
Bekas Kuasa Usaha Romania di Singapura itu yang ditahan sejak Mei lepas meminta supaya dia dibebaskan sementara menunggu perbicaraannya selesai.
Perbicaraan kes tersebut ditangguhkan pada 17 November depan.
Diplomat tersebut didakwa melanggar tiga pejalan kaki semasa memandu sebuah kereta milik misi diplomatik Romania pada Disember tahun lalu.
Mangsa berkenaan, warganegara Malaysia berusia 30 tahun, mengalami kecederaan otak dan meninggal dunia pada Hari Krismas.
Rakan mangsa, Bonghwee Haw yang merupakan rakyat Malaysia berusia 23 tahun dan pernah cedera parah dalam insiden berkenaan, hadir di mahkamah semalam tetapi tidak dapat memberi keterangan berikutan masalah terjemahan.
Dia mungkin dipanggil semula pada 17 November ini.
"Haw berada di mahkamah hari ini bagi memastikan keadilan dilaksanakan," kata peguamnya, Namasivayan Sririvasan.
Pejabat Peguam Negara memberitahu, Ionescu didakwa kerana menyebabkan kematian, mendatangkan kecederaan fizikal dan membuat kenyataan palsu.
Dia menafikan merupakan pemandu kereta berkenaan dan menyatakan, kenderaan tersebut telah dicuri.
Namun, pihak pendakwa raya berkata, kenyataan Ionescu tidak konsisten dengan apa yang berlaku.
Terdahulu, Kementerian Luar Singapura berulang kali meminta pemerintah Romania supaya memastikan keadilan dilaksanakan dalam kes Ionescu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: