DALAM usaha mengubah tabiat mencuci tangan dalam kalangan rakyat Malaysia, rangkaian penjagaan diri antibakteria Antabax dan Kementerian Kesihatan melancarkan program kesedaran dan pendidikan bersama menerusi Kempen Kebersihan Tangan 1Malaysia sepanjang bulan Oktober ini.
Kempen tersebut dijangka membabitkan penyertaan lebih dua juta orang dan dipercayai menjadi kempen kebersihan tangan kolaborasi jabatan kerajaan dan syarikat swasta yang terbesar di negara ini.
Usaha murni Kementerian Kesihatan dan Antabax turut mendapat sokongan Hospital Sungai Buloh serta hospital-hospital di seluruh negara, hab pengangkutan Semasa Sentral, pengusaha-pengusaha restoran dan 33 sekolah dari seluruh negara.
Kempen tersebut menumpu perhatian kepada golongan muda yang paling kerap terdedah dengan risiko jangkitan virus dan penyakit berjangkit berkaitan tangan.
Sejajar dengan tema 1Malaysia, kempen berkenaan dilancarkan baru-baru ini di Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor yang menempatkan tiga aliran sekolah kebangsaan iaitu Sekolah Kebangsaan Dato' Onn Jaafar, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tun Tan Cheng Lock dan SJK (Tamil) Tun Sambanthan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dilaporkan 1.5 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat keracunan makanan dan cirit-birit setiap tahun dengan sebahagian besar kes berkenaan dilaporkan dalam kalangan mereka yang berusia lima tahun ke bawah.
|
|
Mencuci tangan dengan sabun dapat mengurangkan penyakit cirit-birit sehingga 44 peratus iaitu hampir separuh daripada kes yang dilaporkan.
Pada tahun 2009 sebanyak 17,000 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Malaysia dengan kira-kira 18,000 kes batuk kering dan kes berkaitan virus A(H1N1) sehingga Ogos 2010 adalah 15,584 kes manakala kes keracunan makanan pula berleluasa.
Tabiat kebersihan mudah seperti membersih tangan menggunakan sabun atau cecair sanitasi tangan dapat mengurangkan peratusan kes ini dengan mendadak.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Kempen Kebersihan Tangan 1Malaysia yang berlangsung sepanjang bulan berusaha menjadikan amalan mencuci tangan sebagai satu tabiat dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Mencuci tangan dengan menggunakan sabun adalah antara cara paling berkesan dan murah untuk mencegah penyakit cirit-birit dan radang paru-paru.
"Malah, kebersihan tangan dapat mengurangkan jangkitan penyakit HFMD, influenza, selesema, demam dan banyak lagi penyakit berjangkit kerana tangan adalah perantara atau vektor dalam penyebaran kuman," katanya.
Kempen itu bakal melibatkan pengedaran produk, poster dan risalah pendidikan kepada sekolah, hospital, restoran dan hab pengangkutan di seluruh negara dengan kerjasama antara Kementerian Kesihatan serta Antabax.
Selain itu, seminar dan demonstrasi mencuci tangan oleh profesional perubatan dari hospital terbabit dalam program tersebut turut diadakan di beberapa lokasi terpilih bagi mendidik dan menggalakkan masyarakat mencuci tangan dengan teknik yang betul.
Pengurus Pemasaran Lam Soon (Divisyen Pemasaran Produk Isi rumah dan Penjagaan Diri), Carmen Foo memberitahu, Antabax menganjurkan kempen selama sebulan itu selepas mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada program tanggungjawab sosial korporat sebelum ini.
"Sebagai jenama Malaysia yang komited terhadap penjagaan kesihatan dan kebersihan, kami memperuntukkan sejumlah dana khas untuk program seperti ini bagi memastikan mesej menjaga kebersihan tangan ini dicapai dan difahami sepenuhnya oleh seluruh rakyat Malaysia.
"Kami yakin, tema 1Malaysia untuk Kempen Bulan Kebersihan Tangan ini akan menjadi amalan menjaga kesihatan, kebersihan dan gaya hidup sihat selain dalam masa yang sama dapat menyatukan masyarakat majmuk di negara ini," ujarnya.
Tambah beliau, sehari dalam setahun tidak mencukupi untuk mengubah sikap atau tabiat seseorang. Ingatan atau pesanan sedemikian perlu diulang setiap hari.
"Sebab itulah kami menganjurkan kempen ini selama sebulan dengan mengadakan pelbagai aktiviti di seluruh negara," katanya.
Kemuncak acara pelancaran hari itu adalah majlis pembacaan ikrar diketuai oleh Rosnah, Pengarah Eksekutif (Pemasaran dan Jualan) Lam Soon Edible Oils, Kuek Bak Heng, Carmen dan wakil pelbagai pertubuhan bersama lebih 2,300 pelajar dan guru-guru Sekolah Wawasan USJ15.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: