SEJAK tiga tahun lalu, Mohd. Rizq Fawwaz Mat Razak antara tetamu setia di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Sultan Hishamuddin.
Bagaimanapun, kehadiran anak kelahiran Kuala Lumpur itu hampir setiap hari di lokasi yang terkenal dengan kombinasi gaya seni bina Barat dan Timur itu bukan sekadar kunjungan biasa.
Sebaliknya, di stesen itulah menjadi tempat Rizq mencari rezeki halal sebagai pelukis sepenuh masa selepas dia tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Anak sulung daripada enam adik-beradik itu memilih seni karya Toyism untuk dilakarkan di dada-dada kanvas.
Dia yang mempunyai minat yang mendalam pada subjek bermotif haiwan sejak di sekolah rendah.
Dengan bantuan bapanya, Mat Razak Ismail yang merupakan seorang pelukis seni abstrak dan potret, Rizq bertekad mempelajari teknik lukisan Toyism di samping menjadikan buku dan Internet sebagai bahan rujukan.
Hinggalah pada suatu hari, dia dikunjungi oleh pengasas aliran seni tersebut yang datang ke Malaysia semata-mata untuk mencari bakat baru dalam kesenian itu.
Ternyata karya-karya Rizq berjaya menarik perhatian beliau sekali gus Rizq dipelawa untuk menyertai kumpulan berkenaan.
“Sebagai peminat aliran seni ini, sudah tentu tawaran itu sesuatu yang amat berharga buat saya. Apatah lagi mengetahui Toyist (pelukis Toyism) terlalu sedikit bilangannya kerana bukan sebarangan orang boleh menyertai aliran tersebut, maka saya pun bersetuju,” jelas Rizq, 20, yang mempunyai kontrak sebagai pelukis Toyism untuk jangka masa panjang.
|
|
Toyism sebenarnya merupakan satu aliran baru dalam karya seni lukis. Sejarahnya bermula di Belanda sejak tahun 1992 selepas diperkenalkan oleh seorang artis yang menggunakan nama samaran Dejo di Veenmuseum.
Stail lukisan aliran itu diterjemahkan dengan penuh imaginasi atau bersifat kiasan dan bukannya objek abstrak yang memfokuskan aspek kehidupan alam dan manusia semata-mata.
Selain itu, manifesto lukisan tersebut lebih mendominasikan garis panduan seperti warna kontras dan luahan kreativiti pelukis. Biasanya, setiap Toyist akan memilih satu ikon untuk diluahkan ke dalam seni lukisan mereka.
Satu perkara yang unik dan dianggap misteri dalam kesenian itu ialah semua pelukis aliran Toyism akan menggunakan topeng muka ketika berkarya di depan khalayak. Ini bermakna orang ramai tidak akan mengenali identiti individu terbabit.
“Perkara ini termasuk dalam salah satu etika yang perlu dipatuhi oleh semua Toyist. Jika prinsip tersebut dilanggar, kami boleh digugurkan daripada kumpulan seni Toyism,” ujar Rizq yang dikenali sebagai Eiiz dalam aliran tersebut.
Pameran solo
Rizq kini sedang dalam perancangan untuk mengadakan pameran solo bagi semua hasil karyanya dan mempunyai impian untuk mengembangkan kesenian Toyism di Malaysia.
Sementara itu, kuratornya, Norhaslinda Zainudin, 32, memberitahu dalam kumpulan Toyism, Rizq merupakan satu-satunya Toyist pelopor di Malaysia dan Asia serta pernah diundang untuk menyertai projek khas di Belanda tahun lalu.
“Rizq terbang ke Emmen, Belanda pada bulan Julai 2009 dan pulang ke tanah air awal Januari lalu untuk berkolaborasi dengan ahli kumpulan Toyism di sana dalam satu karya berskala besar.
“Selama beberapa bulan di sana, perbelanjaan Rizq telah ditaja oleh Balai Seni Lukis Negara (BSLN) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK),” tutur Norhaslinda ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Di Emmen, Rizq terlibat dalam Projek The Dot dan Elephant Parade yang mendapat liputan media secara meluas.
Projek itu dibiayai oleh kerajaan Belanda, Enexis dan The Living Industri Foundation (LIF).
LIF merupakan sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab mencari kawasan, bangunan atau monumen untuk dijadikan satu landskap dinamik untuk perkembangan ilmu, perindustrian, seni dan budaya.
Artis terhad
Tambahnya, objektif projek tersebut adalah untuk mentransformasi sebuah tabung gas yang berketinggian 22 meter kepada satu monumen yang dihiasi karya-karya Toyist.
“Projek ini menceritakan tentang sumber tenaga, dari mana datangnya tenaga dan bagaimana ia terhasil.
“Simboliknya, hasil seni ini bertujuan memberi kesedaran kepada manusia tentang pentingnya sumber tenaga yang dihasilkan oleh alam secara semula jadi,” katanya.
|
|
Di samping itu, antara keistimewaan aliran seni ini ialah penglibatan artis yang terkawal dan terhad. Malah, ia mempunyai satu piawaian panduan untuk artis menghasilkan karya-karya Toyism.
“Setiap tahun setiap ahli Toyist akan menghasilkan 12 keping lukisan sahaja, tetapi ia perlu betul-betul fokus dan mempunyai matlamat. Satu perkara lagi, semua lukisan Toyism akan didaftar terlebih dahulu sebelum boleh dijual,” ungkap Norhaslinda.
Dalam pada itu, Mat Razak mengakui berbangga dengan pencapaian Rizq dalam bidang kesenian yang telah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Walaupun penglibatan Rizq sebagai Toyist masih baru, tetapi sebagai bapa dia yakin dengan masa depan anaknya itu.
“Saya sentiasa memberi sokongan pada Rizq untuk mencipta nama sebagai pelukis tersohor dalam seni Toyism. Tambahan pula, darah seni yang mengalir dalam jiwa saya telah diturunkan padanya.
“Jadi, sudah pasti saya gembira dengan apa yang telah dikecapi oleh Rizq dan secara tidak langsung boleh dijadikan contoh pada adik-adiknya untuk mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing,” kata Mat Razak.
Untuk mengetahui seni Toyism dengan lebih terperinci, layari laman web www.toyism.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: