Friday, October 8, 2010

Berdentum lalu terbalik

SITIAWAN: “Ketika kejadian kami semua sedang tidur di dek bot apabila terdengar bunyi dentuman kuat menyebabkan bot terbalik dan terlangkup.

TERLANGKUP...bot nelayan  terbalik selepas berlanggar dengan kapal dagang, semalam.
TERLANGKUP...bot nelayan terbalik selepas berlanggar dengan kapal dagang, semalam.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu kami berusaha menyelamatkan diri dan berpaut pada bahagian bawah bot yang masih terapung di tengah laut selama sembilan jam sebelum diselamatkan,” kata Surasak, 38, seorang daripada 10 awak-awak yang terselamat dalam kejadian bot karam berlanggar dengan kapal dagang menyebabkan dia maut di perairan Selat Melaka berhampiran Sabak Bernam, awal pagi semalam.

Selain dua yang maut dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam itu, empat lagi awak-awak bot pukat jerut berkenaan masih hilang.

Ketika kejadian, bot pukat jerut itu dinaiki 16 nelayan terdiri daripada tujuh warga tempatan dan sembilan warga Thailand berusia antara 22 hingga 55 tahun.

Surasak yang juga warga Thailand berkata, sebaik berjaya menyelamatkan diri daripada terperangkap di dalam dek bot, dia bersama rakan lain berpaut pada bahagian bawah bot yang terapung itu selama hampir sembilan jam.

“Sepanjang tempoh itu, saya bersama rakan berdoa cepat diselamatkan. Kira-kira sembilan jam kemudian, kami diselamatkan sepasukan anggota dari Pasukan Gerakan Marin (PGM) yang tiba di lokasi bot kami,” katanya ditemui di Markas Operasi PGM, Kampung Acheh selepas diselamatkan di sini semalam.Sementara itu, Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1, Batu Uban, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi dan mengarahkan sepasukan anggota dari Markas Operasi PGM, Kampung Acheh, di sini, melancarkan operasi menyelamat.


“Pasukan penyelamat terdiri daripada tiga pegawai, 22 anggota bersama tiga bot peronda serta dibantu pasukan Unit Selam dengan sebuah helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia tiba di tempat kejadian kira-kira jam 11 pagi.“Setiba di tempat kejadian, kami berjaya menyelamatkan 10 nelayan terdiri dua warga tempatan dan lapan warga Thailand. Mereka dikenali sebagai Suber, 52; Surasak, 38; Samsudin, 42; Somcha, 33; Padri, 22; Ahmad, 34 dan Ahkom, 33,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, enam daripada mereka dibawa balik ke Markas Operasi PGM, Kampung Acheh, sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing manakala Ahkom yang cedera di kepala, dihantar ke Hospital Manjung dekat sini, untuk rawatan.

Tiga mangsa lain iaitu Ah Tek, 35; Kee Chua, 55 dan seorang warga Thailand yang belum dikenal pasti identitinya cedera dan masih dirawat di Hospital Sabak Bernam, Selangor.

Zainul berkata, mayat dua nelayan yang maut dipercayai lemas, dikenali sebagai Ahmad, 40, (warga Thailand) ditemui kira-kira jam 12 tengah hari manakala mangsa kedua, Akuang, 38, (warga tempatan) ditemui kira-kira jam 4.30 petang, tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Kedua-dua mayat itu dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat. Kita masih menjalankan gerakan mencari empat lagi nelayan. “Mereka yang dilaporkan masih hilang dikenali sebagai Ah Huat, 50, iaitu tekong bot; Ah Peng, 47; Lim Lian Sy, 30 dan Ah Cheng, 55,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dan maklumat daripada awak-awak bot berkenaan, kemalangan berlaku akibat pelanggaran dengan sebuah kapal dagang yang kemungkinan gagal melihat bot berkenaan kerana cuaca gelap.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti kapal dagang terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: