![]() |
| MOHD. NAHAR (kanan) diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dihukum gantung atas kesalahan membunuh semalam. |
SHAH ALAM - Seorang bekas anggota polis berpangkat konstabel, Mohd. Nahar Abu Bakar dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah membunuh anak bekas Setiausaha UMNO Bahagian Klang dan pengasuhnya tujuh tahun lalu.
Hakim Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Nordin Ismail berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.
Mohd. Nahar, 34, yang memakai kemeja-T berwarna kelabu dan berseluar jean tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hakim membacakan keputusannya.
Tertuduh yang pernah bertugas di Balai Polis Kampung Baru, Manjung, Perak pada 1997, didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, berusia dua tahun setengah, di rumah pengasuhnya di No. 19, Tingkat 5, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang, Klang kira-kira pukul 1 tengah hari 30 Disember 2003.
Lelaki itu yang ditangkap pada 16 Oktober tahun lalu juga didakwa membunuh pengasuh kanak-kanak itu, Siti Rohana Baharom, 34, di situ.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: