|
|
TARIKAN utama Cuti-Cuti Cinta, filem cereka arahan Ahmad Idham terletak kepada gandingan dua pelakon utamanya iaitu Farid Kamil dan Nora Danish. Pasangan sama kacak dan cantik itu menjadi pengikat utama pengunjung ke panggung wayang.
Tambahan pula dua wajah berkenaan belum pernah disatukan dalam mana-mana drama menjadikan mata sentiasa mahu tertancap di layar lebar bagi menyaksikan lagak 'marah-marah sayang' mereka.
Sebenarnya, Cuti-Cuti Cinta sama seperti filem cinta yang pernah ditayangkan sebelum ini. Jalan cerita sangat klise apabila melibatkan riwayat kasih sayang dua pasangan kekasih.
Apabila wanita bandar bernama Eeva Elyana (lakonan Nora) jatuh cinta dengan lelaki kampung, Omar Rudy (Farid) setelah terpesona kepada keluhuran budi pekerti dan kematangan fikirannya.
Eeva yang mengalami konflik dengan tunangnya, Remy (Zed Zaidi) membawa diri ke sebuah resort di Morib, Selangor. Sikap Eeva yang bongkak, sombong dan bersikap kejam terhadap pekerjanya menyebabkan Eeva menyusahkan kakitangan bawahan terutama bahagian pencuci resort berkenaan.
Nah, di sinilah bermula mainan perasaan diketengahkan setiap pelakon yang dibarisi The Fabulous Cats terdiri daripada Cat Farish (Mahmood), Zizie (Faustina), Adeep (Maliqurrahman) dan Wangi (Kris Dayana).
Tidak ketinggalan juga penampilan Zaibo (Tan Sri Zaini), Azizah Mahzan (Puan Sri Salmah), Kaza (Pak Adam) dan Delimawati (Mak Yah) yang saling melengkapi sehingga menjadikan filem ini cukup perasa.
Kesemua kelainan tersebut sengaja dicipta Ahmad Idham untuk mencari keunikan berbanding filem terdahulu arahannya yang menggunakan genre dan hero yang sama iaitu Semerah Cinta Stilleto.
''Ia bukan sekadar filem cinta biasa tetapi ia mengandungi komik 'relief' dan berkenaan pertembungan ideologi antara dua darjat. Penilaian bukan sahaja kepada dua watak utama tetapi bersifat keseluruhan.
''Banyak isu yang diketengahkan dan boleh difikirkan kerana ia dicipta untuk menyindir golongan tertentu secara tidak langsung. Berkenaan hipokrasi berlaku di kalangan golongan berada dan kematangan yang menjadi pengukur utama sebelum membuat keputusan,'' katanya.
Pada masa yang sama, pengarah Jangan Pandang Belakang ini sangat skeptikal tatkala memilih Nora sebagai heroin. Yalah, ketika filem ini mahu dirakam awal tahun lalu, ibu tunggal beranak satu itu lebih sensasi dengan kisah rumah tangganya.
''Status Nora menyebabkan saya teragak-agak untuk bekerjasama. Memikirkan mahu mencari kelainan terhadap gandingan Farid, saya mengambil kata penerbit, David Teo untuk melibatkannya juga.
''Ternyata, rasa ragu-ragu bertukar kepada kepercayaan kerana mereka benar-benar menjadikan Cuti-Cuti Cinta hidup. Tiada kesukaran mencipta keserasian antara mereka dari saat awal sehingga akhir penggambaran,'' ceritanya tanpa berselindung.
Berdurasi 87 minit, filem ini sudah ke pawagam bermula 21 Oktober lalu. Peminat filem cinta, apa lagi, silalah ke pawagam berdekatan dengan anda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: