Sunday, October 24, 2010

Angkat tangan hentikan penderaan


Han Olsen pada majlis pelancaran program mari turut serta bagi membanteras penderaan kanak-kanak di kuala lumpur baru-baru ini.


APABILA nafsu amarah beraja di hati, manusia hilang kewarasan dan pertimbangan hingga sanggup menjadi pendera kepada anak sendiri. Inilah hakikatnya yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Hasil kaji selidik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyokong kenyataan ini apabila mereka mendapati bahawa mangsa dera lazimnya dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.

Memang amat menyedihkan apabila media melaporkan tentang kes-kes penderaan yang boleh diibaratkan sebagai sensasi bualan setiap lapisan masyarakat. Persoalannya mengapa ia masih berlaku walau negara telah melaksanakan Akta Perlindungan Kanak-Kanak sejak 1991.

Saban tahun pasti ada kes yang meninggalkan kesan mendalam, diingati dan terus disesali oleh kita sebagai masyarakat yang prihatin.

Tentu ramai masih ingat tentang kes penderaan anak kecil yang bernama B. Balasundram yang berusia 26 bulan didera oleh ahli keluarganya sendiri. Begitu juga kisah adik Safiah Humairah Sahari, 3, yang menemui ajal selepas di tendang dan didera oleh teman lelaki ibunya di Batang Kali, Selangor tidak lama dulu.

Kisah-kisah yang begitu meruntun hati itu telah membuka mata masyarakat bahawa jenayah penderaan kanak-kanak bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng.

Sejak dari itu juga talian teledera diwujudkan dan talian untuk tujuan yang sama kini boleh dihubungi menerusi talian Nur 15999.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pada tahun 2008 sebanyak 2,780 kes penderaan kanak-kanak telah dilaporkan. Purata setiap sehari tujuh kanak-kanak menjadi mangsa dera. Tidak terkejutkah dengan angka tersebut?

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, agensi kerajaan, tadika, sekolah dan hospital adalah antara pihak yang sering menganjurkan kempen kesedaran tentang kes penderaan.

Dengan tema Angkat Tanganmu. Hentikan penderaan kanak-kanak sekarang!, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) kini giat mengumpulkan sokongan 100,000 tandatangan rakyat Malaysia sempena pelancaran kempen Mari Turut Serta (Get on Board) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kempen selama dua bulan membawa mesej melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa dera. Kemuncak kempen berakhir pada Hari Hak Asasi Manusia, Disember ini.

Wakil Unicef di Malaysia dan Brunei, Hans Olsen, berkata, dengan bantuan kemudahan digital untuk penyebaran maklumat, kempen berkenaan diharap dapat memantapkan kefahaman orang ramai mengenai penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Dengan menyediakan maklumat pelbagai bentuk penderaan membasmi penderaan kanak-kanak tanggungjawab bersama dan mengingatkan setiap kanak-kanak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang terlindung dan selamat.

Menerusi kempen itu, Olsen mendorong rakyat Malaysia lebih prihatin dan mendalami isu berkaitan penderaan kanak-kanak selain menyeru individu dan komuniti supaya mempelajari cara-cara memberi perlindungan kepada kanak-kanak.

“Kami di Unicef berharap Malaysia menjadi negara pertama di rantau Asia yang dapat mengumpul 100,000 penyokong demi memastikan rakyat negara ini memahami mesej dan boleh melakukan sesuatu demi mengelakkan kes penderaan ini dari terus berlaku," jelas Olsen ketika memberi ucapannya.

Orang ramai kini boleh log masuk ke laman web www.unitedagainstabuse.my untuk menyatakan sokongan dan mengetahui lebih banyak informasi tentang penderaan.

Pelawat ke laman web ini juga berpeluang mencipta simbol tangan tersendiri yang boleh digunakan sebagai profil Facebook atau apa-apa laman sosial lain untuk menunjukkan perpaduan di seluruh negara.

“Tindakan kecil yang positif boleh mengubah hidup seorang kanak-kanak, walaupun ia hanya melalui catatan Tweeter ataupun Facebook,” ujar Olsen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: