MELAKA 5 Okt. - Kira-kira 400 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini menyertai Program Pecutan Terakhir dan Motivasi anjuran Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang berlangsung di kampus Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, di sini baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor KUIM, Dr. Baharudin Puteh berkata, program sehari itu diadakan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Menurutnya, kesemua pelajar terbabit dipilih daripada tujuh buah sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) JAIM dengan diiringi pengetua, guru kanan dan kaunselor sekolah.
"Objektif program ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang hala tuju dan peluang menyambung pengajian di dalam dan luar negara.
"Kita merasakan pelajar perlu diberi pendedahan awal tentang hala tuju mereka pada masa akan datang secara tidak langsung memberi semangat kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh menyambung pengajian di luar negara," katanya di sini baru-baru ini.
Pada program itu, Dr. Baharudin dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Mozaimi Mohamad menyampaikan beberapa ceramah berkaitan pendidikan motivasi kepada pelajar.
Naib Canselor KUIM, Datuk Wira Dr. Mohd. Yusoff Hashim merasmikan program tersebut.
Menurut Dr. Baharudin, pelajar aliran agama sewajarnya diberi pendedahan tentang pelbagai maklumat mengenai peluang menyambung pengajian di luar negara.
"Walaupun mereka menjurus dalam bidang keagamaan, mereka perlu menyedari pelbagai kemudahan untuk menyambung pengajian di luar negara banyak disediakan, misalnya di KUIM sendiri.
"Sesuai dengan statusnya sebagai 'Gerbang Pengajian Psikologi Insan', kita menawarkan pelbagai program pengajian agama pada peringkat diploma dan ijazah," katanya.
Pada masa yang sama, kata Dr. Baharudin, tumpuan KUIM kini adalah pada bidang psikologi dan ia sesuai untuk pelajar yang meminati subjek usuludin, syariah dan tahfiz.
"Di KUIM, kita menyediakan peluang menyambung pengajian dalam jurusan agama di Mesir, Jordan dan negara Asia Barat lain," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: