JIKA anda berpeluang meronda sekitar daerah Da’an, Taipei, di Taiwan, jangan terkejut atau takut sekiranya terserempak seorang wanita lewat usia 50-an sedang menggenggam erat dua bilah pisau pemotong daging kerana dia bukan orang gila yang ingin mengamuk, sebaliknya pakar mengurut menggunakan senjata berkenaan.
Tanpa mempedulikan titisan demi titisan keringat yang mengalir, wanita itu yang hanya mahu dikenali Puan Lu, begitu fokus dan cekap menarah pisau ke belakang badan pelanggan yang dilindungi sehelai tuala mandi.
Menurut Puan Lu yang berpengalaman lebih 10 tahun menjadi ‘tukang urut pisau’, teknik urutan itu dapat melancarkan aliran darah dalam tubuh sekali gus membuatkan pelanggan berasa sihat, segar dan bertenaga selepas menerima rawatan. Pisau yang digunakan tidaklah terlalu tajam atau berbahaya. Bayaran untuk perkhidmatan itu pula cukup berpatutan, cuma NT$100 (RM10) bagi setiap sesi rawatan.
“Saya melakukan kerja ini enam hari seminggu bermula jam 4 petang hingga 10 malam. Kebanyakan pelanggan pasti datang semula selepas mencuba rawatan ini,” tutur Puan Lu dalam bahasa Inggeris yang agak terbatas.
Biarpun tergerak hati ingin mencuba teknik urutan unik itu, penulis terpaksa membatalkan niat berkenaan kerana kesuntukan masa.
Pengalaman menarik menyaksikan urutan pisau pemotong daging itu dikutip dalam kunjungan penulis bersama enam wartawan dan kakitangan syarikat telekomunikasi terkemuka HTC ke Taiwan bagi mengikuti majlis pelancaran produk terbaru syarikat berkenaan, baru-baru ini.
Perjalanan menggunakan pesawat MAS dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memakan masa lima jam sebelum kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taiwan.
Setiba di lapangan terbang terbabit, kami dibawa menaiki bas ke hotel penginapan yang terletak di Da’an.
Lucu juga bila melihat gelagat pemandu bas yang agak kelam-kabut dan panik ketika mencari hotel penginapan kami. Mana tidaknya, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa tidak sampai sejam, berlanjutan hingga hampir dua jam kerana pemandu bas tidak menemui hotel yang dicari walaupun dilengkapi peranti GPS.
Selepas puas bertanya dan berpusing-pusing ke sana ke mari, akhirnya kami tiba di Hotel Les Suite kira-kira jam 4 petang (waktu di Taiwan sama dengan Malaysia).
Taiwan yang dulunya dikenali Formosa (diambil daripada perkataan Portugis Ilha Formosa yang bermaksud pulau indah), berkeluasan kira-kira 36,000 kilometer persegi dan mempunyai populasi penduduk seramai 23 juta orang, menjadikannya antara negara berpenduduk paling padat di dunia.
Selain mempunyai penduduk padat di kawasan bandar, negara pulau ini terkenal dengan kawasan pergunungan curam dan hutan subur.
Seperkara yang menarik mengenai Taiwan terutama di ibu negaranya, Taipei, terdapat ribuan premis di merata-rata tempat dengan pelbagai barang dagangan.
Baik perkakasan elektrik, peralatan sukan, kedai makan, baju dan aksesori wanita, semua boleh didapati. Malah hampir setiap stesen pengangkutan awam MRT juga ‘dibanjiri’ peniaga.
Daripada pengamatan penulis, walaupun setiap premis mempunyai keluasan agak kecil, boleh dikatakan semua peniaga pandai menggunakan ruang sehingga kedai mereka tidak langsung kelihatan sempit.
Taipei juga terkenal dengan kemeriahan pasar malamnya. Jika berpeluang ke sana, jangan lupa mengunjungi Shilin, pasar malam paling tua dan terbesar di Taipei.
Pasar malam Shilin mempunyai suasana seakan-akan temasya pesta. Selain menawarkan pelbagai koleksi pakaian dan makanan laut, anda berpeluang bermain permainan antaranya menangkap ikan emas menggunakan jaring diperbuat daripada kertas tisu dan menembak tin menggunakan senapang angin.
Selain Shilin, pasar malam Shida tidak kurang hebatnya. Walaupun tidak sebesar Shilin, pasar malam Shida yang terletak di daerah Taan ini menyediakan pelbagai barangan terutama pakaian dan makanan pada harga sangat berpatutan.
Pasar malam yang terletak berhampiran Universiti Kebangsaan Taiwan Normal ini biasanya dikunjungi pelajar tempatan dan asing yang ingin mencari pelbagai barangan keperluan asas.
Jika tidak puas mengunjungi dua pasar malam hebat itu, anda boleh singgah di pasar malam Jaoho yang terletak di daerah Sungshan, pasar malam Kungguan dan Tunghua.
Untuk ke semua pasar malam terbabit, anda boleh menaiki pengangkutan awam dan yang paling mudah, gunakan perkhidmatan sistem transit MRT.
Bagi mereka yang berminat dengan sejarah tamadun masyarakat Cina dan peminat barangan antik, jangan lepaskan peluang melawat Muzium Istana Kebangsaan Taiwan yang terletak di daerah Shilin.
Muzium ini menempatkan 677,687 koleksi tetap artifak dan seni masyarakat Cina purba sekali gus menjadikannya antara terbesar di dunia. Koleksi barangan meliputi pelbagai lapisan zaman, daripada zaman Neolitik hinggalah zaman Dinasti Qing.
Kunjungan ke Taiwan tidak akan lengkap jika tidak melawat Taipei 101, bangunan pencakar langit tertinggi di dunia dari 2004 hingga akhir 2009 sebelum dipintas Burj Khalifa di Dubai pada awal tahun ini.
Sungguhpun begitu, menara ini menyediakan lif paling laju di dunia dengan perjalanan dari tingkat lima ke tingkat ke-89 memakan masa hanya 40 saat.
Taipei 101 juga memegang rekod sebagai bangunan pertama dunia yang berketinggian melebihi setengah kilometer dan pencakar langit pertama dibina pada alaf ini.
Menara berkenaan mempunyai 101 tingkat dan lima tingkat bawah tanah. Ketika siap pada 2004, menara terbabit secara rasminya diiktiraf sebagai bangunan tertinggi dunia menggantikan Menara Berkembar Petronas.
Selain itu, Taipei 101 adalah antara bangunan paling stabil pernah dibina. Ini kerana bangunan berkenaan diimbangi dengan kewujudan bebola besi yang bertindak sebagai pengimbang setiap kali menara itu bergoyang.
Bebola besi seberat 600 tan metrik itu boleh disaksikan dari jarak dekat jika anda melawat tingkat 88 atau 92 bangunan pencakar langit itu.
Penulis tidak dapat melupakan perbualan dengan seorang wartawan dari Thailand yang bertanya sama ada Taipei 101 lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas.
Benak penulis secara automatik teringat jawapan pernah diberikan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika ditanya seorang wartawan asing ketika Taipei 101 dinobatkan bangunan tertinggi dunia dulu.
“Memang benar, Taipei 101 lebih tinggi, tetapi kami masih mempunyai bangunan berkembar tertinggi di dunia,” jawab penulis sambil tersenyum sinis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: