Saturday, August 7, 2010

Uniknya iftar di Perkim


Iftar Perkim telah menjadi tempat pertemuan saudara-saudara Muslim sama ada baru dan lama.


WAKTU berbuka adalah waktu yang dinanti-nanti oleh setiap umat Islam yang sedang melaksanakan ibadah puasa. Apatah lagi, puasa itu bukannya puasa sunat atau ganti tetapi puasa pada bulan Ramadan al-Mubarak.

Lantas, berkumandang sahaja azan Maghrib menandakan masuknya waktu berbuka puasa, terasa gembira dan bahagia. Bahkan detik-detik menjelang berbuka, menjelang beduk berbunyi, begitu berlainan sekali dan begitu mengujakan.

Justeru, Rasulullah ada mengatakan bahawa orang yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan: Seorang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Rabb (Tuhan)-nya. (riwayat Bukhari)

Dalam kita bergembira itu, pernahkah kita terbayang mahupun terlintas di fikiran kita bagaimana perasaan seorang yang bergelar saudara baru atau mualaf? Sudahlah bersendirian di dalam Islam, inikan pula untuk turut merasai kegembiraan berbuka puasa itu. Tegarkah kita mengenepikan insan yang seharusnya dibela dan diraikan ini?

Menyedari dan memahami akan hal ini, maka Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, sejak tujuh tahun lalu terpanggil untuk menganjurkan program yang dipanggil Ihya' Ramadan atau Majlis Iftar Bersama Saudara Muslim Kita, sejajar salah satu misi pertubuhan itu, menjaga kebajikan para saudara Muslim kita.

"Kita di Perkim, bukan sekadar melaksanakan syahadah seorang saudara baru tetapi yang lebih utama dan penting adalah susulan selepas pengislaman seseorang saudara Muslim kita itu. Ini kerana, tanpa bimbingan dan pemantauan susulan inilah yang menyebabkan berlakunya pelbagai masalah di kalangan saudara Muslim kita. Antaranya, terabai dan ada sehingga tahap keluar daripada Islam.

"Oleh itu, Perkim memandang serius perkara begini, sebab itulah program Perkim ini lebih menumpu kepada pembinaan akidah dan hubungan atau interaksi dengan pihak Perkim. Salah satunya menerusi program Ihya' Ramadan atau Majlis Iftar Bersama Saudara Muslim Kita yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.

"Ini tidak termasuk penganjuran kelas-kelas ilmu yang juga secara percuma seperti kelas harian, mingguan, pejabat dan kelas bagi pelajar antarabangsa. Tidak termasuk juga bengkel, seminar dan kursus yang bertujuan memantapkan akidah, mempertingkatkan kefahaman agama Islam, sekali gus melahirkan pendakwah profesional," kata Pegawai Dakwah dan Kemajuan Sosial Perkim, Amran Abdullah kepada Mega, di pejabatnya di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Program Ihya' Ramadan, kata Amran, berlangsung hampir tujuh tahun dan pada peringkat permulaannya dahulu, ia dibuat di Balai Islam, Perkim Wilayah Persekutuan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Namun berikutan sambutan yang begitu menggalakkan iaitu daripada 60 orang, kini mencecah 200 orang. Lantaran itu, lokasi penganjuran program ini dipindahkan ke Tingkat Bawah, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, demi keselesaan semua pihak.

Pada Ramadan kali ini, programnya bermula pada 11 Ogos dan berakhir pada 9 September 2010. Dahulunya ia hanya diadakan empat atau lima kali sebulan, terutamanya pada cuti hujung minggu.

Uniknya di Perkim ini adalah suasana ukhuwah Islamiah yang terjalin biarpun daripada pelbagai bangsa.

"Suasana berbeza dan unik ini, membuktikan Islam adalah agama yang sejagat. Malah, mereka yang belum Islam atau baru berjinak-jinak dengan Islam juga datang mengikutinya. Daripada sini, mungkin dia dapat merasai keseronokan dan nilai persaudaraan sesama Islam itu.

"Yang cantiknya juga, bulan Ramadan menjadikan satu bulan di mana tempat bertemunya saudara-saudara Muslim sama ada baru dan lama, yang sebelum ini tidak pernah bertemu, berpeluang berjumpa dan berkenalan.

"Sebenarnya, yang paling mustahak adalah merapatkan hubungan antara saudara Muslim dengan Perkim. Kita mahu mereka jadikan Perkim sebagai tempat bergantung dan tempat rujukan.

"Program ini sangat perlu kerana mereka yang dikira senasib ini dapat berbuka puasa beramai-ramai. Ia sekali gus mewujudkan silaturahim dan ukhuwah di antara mereka dan yang penting, mereka tidak berseorangan dalam menyambut kemenangan selepas satu hari berlapar dan dahaga," kata Amran, inilah peluang yang dilihat oleh Perkim untuk menarik para saudara Muslim kita kepada penghayatan Islam yang sebenar.

Tambahnya lagi, program ini bukan sekadar berbuka puasa semata-mata, namun pengisian yang lebih penting, memantapkan ilmu pengetahuan agama di kalangan saudara Muslim kita, terutamanya yang berkaitan dengan ibadat puasa.

"Sebab itulah dalam program ini, acaranya bermula dengan tazkirah sementara menunggu waktu berbuka. Topik-topik yang dipilih, lazimnya yang berkaitan puasa yang disampaikan oleh penceramah jemputan yang berbeza setiap hari.

"Kita tidak mahu, sambutan Ihya' Ramadan hanya dilihat daripada sudut tradisi semata-mata. Apa yang perlu ditegaskan di sini bahawa agama Islam adalah agama yang menekankan soal ilmu, agar lahirnya seorang Muslim yang benar-benar beramal dengan ilmu.

"Kemudian apabila masuknya waktu Maghrib, dimulakan bacaan doa sebelum berbuka sekadar kurma dan minum. Selepas itu, akan diadakan solat Maghrib berjemaah diikuti makan malam.

"Majlis iftar ini ditutup dengan solat terawih lapan rakaat yang diketuai oleh imam hafiz yang diundang. Kita menetapkan lapan rakaat kerana kebanyakan saudara Muslim ini masih baru dan seboleh-bolehnya tidak mahu membebankan mereka," kata Amran bacaan tadarus juga telah dimulakan dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: