Saturday, August 7, 2010

Silverspoon bukti usaha Chef Zam


MAznah Mazlan (lima dari kiri) dan Chef Zam (empat dari kiri) bersama para selebriti dan tetamu jemputan pada majlis perasmian Kolej Antarabangsa Silverspoon di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah Melayu itu amat bertepatan sekali dengan Chef Zamzani Abdul Wahab, 39, atau lebih popular disapa Chef Zam .

Siapa sangka, dahulu dia adalah anak kampung yang kurang rajin ke sekolah dan sering ponteng tetapi kini mampu memiliki sebuah sekolah masakan yang bertaraf antarabangsa.

Itulah realiti yang berlaku kepada chef selebriti yang juga merupakan pensyarah di Kolej Damansara Utama ini.

''Kehidupan yang saya miliki kini hasil daripada percaturan kehidupan lampau,'' ujarnya ketika ditemui sempena Majlis Perasmian Kolej Antarabangsa Silverspoon (SIC) miliknya yang terletak di Puchong, Selangor.

Hadir menyerikan majlis ialah tetamu Diraja, Tengku Seri Bendahara Raja Terengganu dan adinda, Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan hadir melakukan upacara perasmian.

Selain itu selebriti terkenal tanah air turut hadir memberikan sokongan pada perasmian Kolej SIC. Antaranya Sofea Jane, Varnida Imran, Ziela Jalil dan komposer terkenal, Habsah Hassan.

Pada majlis yang sama, Chef Zam turut memperkenalkan buku resipi nukilannya sendiri bertajuk Segalanya Nasi: Resepi Enak untuk Seisi Keluarga terbitan Marshall Cavendish (Malaysia) Sdn. Bhd.

Segalanya Nasi: Resipi Enak untuk Seisi Keluarga menghimpunkan 50 resipi hidangan ruji masyarakat Asia seperti Nasi Kunyit, Nasi Cendarawasih selain hidangan berasaskan nasi.

Buku setebal 96 muka surat itu boleh didapati pada harga RM39.90 dengan dua versi iaitu Bahasa Malaysia dan juga Inggeris.

Cerita Chef Zam, dahulu dia adalah pelajar yang lemah dalam pelajaran namun sokongan rakan-rakan sekeliling menyedarkannya bahawa pelajaran adalah aset terpenting dalam kehidupan.

Dibesarkan oleh ibu apabila ibu bapanya bercerai, Chef Zam merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

Setelah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, Chef Zam berjaya mendapat keputusan yang agak baik.

''Bermula dari situ, saya bangun dan terus berusaha tanpa memandang ke belakang lagi sehingga berjaya ke peringkat ini.

''Dengan keputusan yang dimiliki, saya menyesuaikannya dengan apa sahaja jurusan yang boleh diambil di universiti. Tak sangka, saya terpilih melanjutkan pengajian Diploma dalam Jurusan Latihan Chef di Universiti Teknologi Mara (UiTM)," ujar anak jati Terengganu ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: