DARI kiri, Pegawai Waran II (B), Megat Abdullah Megat Othman; Pegawai Waran II (B), Darus Mohd Isa; Tumiran; Pegawai Waran II (B), Muhammad Razali Din; Staf Sarjan (B), Ahmad Safuan Mahmud dan Staf Sarjan (B), Ahmad Zawawi Abdul Rahman melihat Pingat Jasa Malaysia yang diterima pada majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak di Ipoh, semalam.
IPOH: “Selepas terpijak jerangkap samar yang dipasang pengganas Parti Komunis Malaya (PKM), saya sempat melihat tulang kaki saya sudah berserakan. Ketika itu, saya langsung tidak sakit.“Cuma terdetik dalam hati, saya mungkin tidak lagi berpeluang menentang komunis,” kata bekas pejuang, Tumiran Jayonin, 62, menceritakan detik mencemaskan terpijak jerangkap samar dalam operasi menentang PKM di kawasan hutan berhampiran Projek Lebuh Raya Timur-Barat di sempadan Grik dan Banding, kira-kira 35 tahun lalu.
“Sebaik terkena jerangkap samar itu, badan saya melambung beberapa meter sebelum terjatuh. Saya sempat berpusing dan melihat kaki saya berdarah dan hanya tinggal tulang kerana semua daging sudah hancur.
“Selepas itu, saya pengsan dan sebaik tersedar, saya sudah ditempatkan di Hospital Besar Ipoh (sekarang Hospital Raja Permaisuri Bainun)," katanya di sini, semalam.
Sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri itu disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim.
Tumiran yang berkhidmat sebagai lans koperal dalam Pasukan Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) ketika kejadian itu berkata, insiden terpijak jerangkap samar itu berlaku kira-kira jam 10.45 pagi 6 Januari 1975.
“Pada hari itu, saya dan anggota sepasukan memasuki kawasan hutan di Projek Lebuh Raya Timur-Barat di sekitar Grik dan Banding untuk melakukan operasi menentang PKM.
“Akibat terpijak jerangkap samar itu, kaki kanan saya hancur hingga paras lutut dan terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan lebih serius,” katanya yang kini menetap di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan Tiga, di sini. Tumiran adalah antara bekas pejuang zaman darurat yang menerima Pingat Jasa Malaysia.
Seorang lagi pesara tentera, Muhammad Razali Din, 67, berkata beliau tidak akan dapat melupakan insiden terpijak jerangkap samar yang menyebabkan kaki kirinya hancur dan penglihatannya rosak dalam kejadian jam 3.45 petang 15 Mac 1977.
“Saya sekarang bergelar orang kurang upaya (OKU) apabila senjata musuh itu memusnahkan kaki kiri dan merosakkan mata saya. Dalam kejadian itu, saya bersendirian membuat tinjauan untuk merancang misi keesokannya.
“Ketika itu, saya bersama satu trup 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) ditugaskan membersih jerangkap samar musuh di garisan sempadan Malaysia-Thailand di Banding,” katanya.
Muhammad Razali yang juga Naib Pengerusi Kelab OKU Veteran Perang Perak juga meminta kerajaan mengkaji semula pemberian ex-gratia kepada anggota tentera yang berkhidmat pada zaman darurat.
“Kerajaan perlu memikirkan kebajikan kami sebagai pesara tentera. Ini kerana bukan semua antara kami hidup senang. Kami hanya menerima sumbangan tabung Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira RM2,000 dan RM1,000 dari kerajaan negeri serta berstatus OKU,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: