KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha dilakukan bagi menarik pengundi baru terutama generasi muda dan terbaru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjanji membayar RM1 bagi setiap pemilih baru yang berjaya didaftarkan.Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihaknya akan membayar penolong pendaftar daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat yang dilantik agensi itu bagi memperhebatkan kempennya.
"Ini langkah baru yang kita hendak perhebatkan (usaha mendaftar pemilih baru) secara lebih agresif sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya kepada Berita Minggu di sini, semalam.
Katanya, bayaran RM1 bagi setiap pengundi baru hanya dibuat selepas SPR mengesahkan mereka adalah pemilih baru yang layak mengundi tetapi belum berdaftar.
“Tetapi perlu diingatkan, kita bayar bagi setiap permohonan sahih bukan yang sudah daftar, mendaftar sekali lagi sebagai pemilih. Itu kita boleh semak, jadi ada syarat pelantikan untuk dia (penolong pendaftar) jalankan tugas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan mekanisme pembayaran itu.
Wan Ahmad berkata, kategori pelantikan penolong pendaftar juga perlu diperluaskan kerana wakil SPR yang dilantik dari ahli parti politik tidak mencukupi.
“Kita akan umumkan perkara itu kerana kategori itu perlu diperluaskan kepada sesiapa saja yang berhubung rapat dengan rakyat.
“Kalau malas ke pejabat pos, kaunter pendaftaran SPR di pusat awam, pejabat SPR, mungkin ada tempat diberi tauliah sebagai penolong pendaftar pemilih. Itu kita akan mula perhebatkan mulai sekarang untuk menangani isu 4.3 juta orang tidak mendaftar sebagai pemilih,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata, SPR akan menyemak latar belakang pemohon dan organisasi yang diwakili sebelum dilantik menjadi penolong pendaftar SPR bagi mengelak melantik badan yang tidak berdaftar serta pihak tidak bertanggungjawab.
Bulan lalu, SPR mengumumkan 4.3 juta pengundi yang layak mengundi belum berdaftar dengan SPR sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga Mac lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: