Sunday, August 29, 2010

Tujuh tahun baru popular


Eira Syazira


TUJUH tahun bergelumang dalam dunia lakonan, pelakon berwajah lembut, Eira Syazira kini mampu tersenyum setelah kelibatnya mulai disedari ramai. Biarpun belum merasa silau populariti atau menjulang trofi, dia cukup bersyukur dengan penerimaan seadanya daripada khalayak.

“Tipulah jika saya tidak mengimpikan semua itu. Tetapi saya bekerja dalam bidang ini bukan untuk mengejar anugerah atau pengiktirafan. Tekad saya, ikhlas bekerja dan buat yang terbaik dan sehabis baik,” katanya yang kini menjerat banyak emosi dengan siri terbaru, Syurgamu Ramadan di TV3.

Selepas Cinta Balgis, siri Syurgamu Ramadan sekali lagi menjadi drama air mata buat Eira. Bezanya kali ini, kata pemain karakter Marlia itu, dia menjadi wanita yang kuat, keras hati tetapi menderita kerana kedegilan daripada seorang ibu.

“Saya ini sudah macam pelakon air mata pula, memang kebelakangan ini nampak macam saya memainkan watak yang hampir sama, baik dan hidup menderita. Tetapi penderitaan Marlia dan Balqis jauh berbeza. Balqis adalah wanita yang agak lembik, sering menangis hidupnya dalam pencarian terhadap suami.

“Menjadi Marlia, penderitaan yang dihadapi olehnya seolah-olah berdepan dengan pembunuh senyap. Air mata Marlia tidak tumpah sebaliknya hanya bergenang di kelopak mata. Sampai ke akhir hayat dia tidak sempat bertemu ibunya,” bicara Eira tentang watak yang sedang bertamu di mata semua.

Realitinya, buah hati pelakon Azad Jazmin, 34, itu percaya karakter wanita berhati besi seperti Datuk Halimatun lakonan Ellie Suriati Omar itu wujud.

“Tetapi, saya harap tidak akan menjadi seperti Marlia. Bagi saya, restu keluarga itu paling penting. Kahwin lari atau bernikah di sempadan rasanya sudah ketinggalan zaman. Hidup tidak menjadi senang, tengoklah Marlia,” kata Eira yang tidak mahu mencanang banyak tentang isi hatinya mengenai cinta dan perkahwinan.

Biarlah hanya dirinya dan Azad sahaja yang tahu ke mana arahnya keseriusan hubungan mereka. Bila sampai masa dan ketika, pasti berita gembira akan dikongsi bersama semua.

Selepas Aidilfitri nanti, Eira menjangkakan album sulungnya yang diterbirkan oleh komposer ternama Adnan Abu Hassan akan menemui peminat. Menyifatkan nyanyian sebagai rezeki terpijak, tawaran itu datang selepas lagu tema Cinta Balqis, Istana Cinta yang di nyanyikannya mendapat respons luar jangkaan.

Peluang yang dianggap sebagai bonus itu mungkin mendatangkan peluang baru terhadap dirinya. Diterima atau tidak, berjaya atau kecundang, belum mencuba belum tahu, kata Eira.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: