Friday, August 27, 2010

RM60,000 habuan sebulan

KESIBUKAN di pintu masuk Jeti Pulau Ketam dengan mereka yang hendak pulang ke Indonesia atau memasuki negara ini.
KESIBUKAN di pintu masuk Jeti Pulau Ketam dengan mereka yang hendak pulang ke Indonesia atau memasuki negara ini.
Penguat kuasa di Jeti Pulau Ketam disogok bantu pendatang tanpa izin Indonesia bolos

PELABUHAN KLANG: RM60,000 sebulan! Itulah sogokan yang diterima sesetengah anggota dan pegawai imigresen di Jeti Pulau Ketam di sini hingga menyebabkan pintu masuk negara di pelabuhan itu mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.Setiap anggota penguat kuasa itu dipercayai dibayar kira-kira RM2,000 sehari untuk ‘peranan’ mereka memudahkan urusan keluar dan masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada dokumen.Selain pegawai imigresen, anggota dan pegawai agensi penguat kuasa lain, termasuk Jabatan Laut, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Polis Marin dan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) dikatakan turut menerima habuan daripada sindiket jika ada kes membabitkan bidang kuasa agensi terbabit.

Intipan Berita Harian juga mendapati Jeti Pulau Ketam kini dikuasai sepenuhnya oleh empat sindiket yang kebanyakan anggotanya adalah warga Indonesia, tetapi didalangi rakyat Malaysia.

Khidmat sindiket itu digunakan oleh agensi pekerja asing untuk membawa masuk atau menghantar pulang pekerja haram mereka dengan membayar sejumlah wang kepada rangkaian sindiket terbabit di luar kawasan jeti.

Modus operasi sindiket itu ialah warga asing bermasalah menghubungi anggotanya dikenali sebagai chalo di jeti dan chalo akan berunding dengan pelanggan sebelum menentukan jumlah pembayaran yang perlu dibuat.
Sindiket memalsukan cop imigresen itu dipercayai mempunyai orang hubungan pada semua peringkat pemeriksaan di Jeti Pulau Ketam dengan sogokan harian dan bulanan.

Sindiket itu yang memiliki cop palsu imigresen akan cop pasport pekerja asing yang memasuki negara ini secara haram atau tinggal melebihi tempoh dibenarkan, selepas menerima sejumlah bayaran seolah-olah pendatang haram itu adalah pekerja sah.

Menurut sumber, cop pasport itu akan menunjukkan pekerja asing yang menggunakan khidmat mereka sudah keluar dan memasuki semula negara ini secara sah, walaupun hakikatnya dia tidak pernah keluar dari negara ini.

“Sebagai contoh, rakyat Indonesia yang masuk ke Malaysia pada Julai 2007 sebagai pelancong dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan. Jika mahu pulang selepas tempoh itu mereka akan dikenakan kompaun RM1,000 hingga RM3,000 oleh Jabatan Imigresen.

“Bagaimanapun, sindiket itu boleh buat cop tipu tarikh keluar dan masuk. Mereka akan cop pasport pelanggan menandakan dia sudah keluar akhir Julai 2007 dan kemudian cop semula kemasukannya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ogos 2010, misalnya.

“Dengan adanya cop keluar-masuk itu, individu terbabit dapat pulang ke negaranya dengan selamat tanpa perlu bimbang ditahan tinggal melebihi tempoh,” katanya.

Sumber itu juga berkata, semua urusan sogokan sama ada tunai atau akaun bank hanya dibuat wakil dilantik dan dipersetujui sindiket dan pegawai penguat kuasa.

Tinjauan Berita Harian di jeti itu juga mendapati orang kanan sindiket boleh bergerak bebas di pejabat imigresen Jeti Pulau Ketam, walaupun ada tanda larangan orang luar memasuki premis itu.

Malah, orang kanan itu juga dilihat bebas mengambil cop pegawai imigresen untuk cop pasport pelanggannya, manakala pegawai terbabit hanya menandatanganinya.

Sumber berkata, pegawai imigresen di kaunter keluar-masuk pula akan melakukan pemeriksaan pasport secara serius seperti biasa, bagi mengelak disyaki.

“Bagi pelanggan yang tiada dokumen langsung atau dikenali sebagai kambing, mereka diberi pasport individu lain dan pegawai imigresen akan bertanya beberapa soalan dan kemudian cop dokumen itu, tetapi sebenarnya ia dicop pada kertas kosong,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: