Friday, August 6, 2010

Manjakan diri tanpa was-was




SUDAH menjadi rutin warga kota menghilangkan stres dan penat bekerja dengan memanjakan diri di spa-spa. Apatah lagi kewujudan pelbagai spa yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan menyebabkan spa kini boleh ditemui di mana-mana sahaja.

Katakan apakah konsep spa yang anda inginkan, pasti terdapat spa yang memenuhi kehendak dan cita rasa anda.

Namun, pernahkah anda mendengar mengenai spa berkonsepkan Islamik yang menekankan Amalan Spa Islamik (ISP)?

Pada hari ini hampir tidak ada satu sistem yang boleh djadikan panduan untuk sesuatu perniagaan berbentuk spa. Sistem atau tatacara ini penting untuk diterjemahkan dalam bentuk prosedur operasi standard (SOP) supaya ia dilakukan mengikut syarak.

Idea mengenai spa berkonsepkan Islam itu dicetuskan oleh seorang bekas guru yang sangat mencintai bidang kecantikan dan penjagaan diri.

“Sebelum ini saya sangat gemar mengunjungi spa tetapi kebanyakannya tidak memberikan keselesaan sewajarnya kerana saya kadangkala ragu-ragu terhadap produk yang digunakan sama ada halal atau tidak.

“Malah, saya sendiri pernah membuka sebuah salon unisex pada tahun 1990 tetapi tidak dibangunkan secara Islam dengan lengkap. Bermula dari situlah saya mula belajar dan merujuk kepada pihak yang berkenaan untuk merangka SOP ke arah mewujudkan spa berkonsepkan Islamik. Pada tahun 2000 saya membuka sebuah spa berkonsepkan Islamik yang kemudian berjaya didaftarkan pada tahun 2007,” kata pemilik butik kecantikan Ainaa-Ailaa Sdn. Bhd., Norulnaha Abdul Razak yang tetap anggun walaupun sudah berusia 51 tahun.

Ikut syariat Islam


RUANG khas untuk kanak-kanak sementara menunggu ibu menjalani rawatan.


Sama seperti spa-spa yang lain, spa berkonsepkan Islamik juga menyediakan pelbagai rawatan kecantikan, urutan dan sebagainya, cuma persekitarannya sedikit berbeza jika dibandingkan dengan spa-spa yang biasa.

“Di sini, semua pekerja wanita diwajibkan bertudung dan menutup aurat selain diajar bagaimana berkomunikasi dengan pelanggan secara santun seperti yang ditekankan Islam. Malah, tempat rawatan untuk lelaki dan wanita juga diasingkan.

Pelanggan lelaki akan diuruskan oleh pekerja lelaki, manakala pelanggan wanita pula diuruskan oleh terapis wanita.

“Bukan itu sahaja, semua produk yang digunakan di spa ini dihasilkan melalui kaedah IMP (Islamic Manufacturing Practice) yang mendapat pengiktirafan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” ujarnya.

Tambah Norulnaha, kandungan produk bukan sahaja halal tetapi cara menghasilkan produk itu sendiri harus berlandaskan Islam.

“Sebelum produk-produk dihasilkan, para pekerja membaca doa dan ayat-ayat suci al-Quran. Malah, ia tidak dilakukan oleh sembarangan orang tetapi dalam kalangan para Hafiz yang menuntut di Mesir.

“Walaupun perkhidmatan yang disediakan mengamalkan konsep Islam, spa ini terbuka kepada mereka yang bukan Islam untuk mendapatkan rawatan kecantikan,” katanya.

Destinasi sekeluarga


NORULNAHA (kiri) mendapat ilham membuka sebuah spa Islamik untuk memberikan lebih keselesaan kepada umat Islam untuk menjalani rawatan spa tanpa ragu-ragu.


Anak kelahiran Melaka itu memberitahu, spa yang diuruskannya bukan sahaja tertumpu kepada rawatan wanita semata-mata, bahkan menekankan kepada rawatan sekeluarga yang membolehkan semua ahli keluarga beristirehat seharian di situ.

Sebagai contoh, apabila si ibu menjalani rawatan, anak-anak boleh bermain di ruangan khas yang disediakan tanpa mengganggu ibu, sementara si bapa pula boleh menjalankan rawatan di tingkat atas.

Dalam pada itu, spa itu juga menyediakan surau bagi membolehkan pelanggan menunaikan solat jika menjalani sesi rawatan yang lama.

“Spa ini bukan sahaja menawarkan pelbagai pakej kecantikan seperti pakej permaisuri, bidadari, sari ratu, harum kasturi dan mayang sari, malah, turut menyediakan perkhidmatan membuang susuk oleh mereka yang pakar. Tidak ketinggalan khidmat mencari jodoh secara Islam, mandi bunga dan rawatan jiwanis (jiwa dan rohani).

“Menyentuh mengenai hiasan dalaman pula, spa kami lebih bertumpu kepada penggunaan kraf dengan acuan budaya Malaysia melalui penggunaan anyaman Orang Asli, penggunaan buluh, anyaman kayu, seludang kelapa dan pelbagai lagi tanpa dimasukkan elemen luar terutama hiasan patung dan penggunaan lilin,” katanya yang mendapat sokongan suami dan empat anak-anaknya.


BUTIK kecantikan Ainaa-Ailaa menyediakan persekitaran rawatan yang selesa.


Akademi kecantikan

Oleh kerana sifat tidak lokek berkongsi ilmu kecantikan Norulnaha juga menyediakan akademi kecantikan bagi mereka yang berminat.

Melengkapkan minatnya yang mendalam dalam bidang kecantikan wanita itu turut memiliki barisan produk kecantikannya sendiri dengan memegang jenama Nu’della. Beliau melantik bekas isteri penyanyi rock, Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 35, sebagai duta produk bagi tempoh dua tahun.

“Saya tertarik dengan konsep spa yang dipraktikkan di sini dan bercadang untuk membuka spa sebegini di Ipoh. Saya juga mengalu-alukan rakan kongsi bagi menjayakan spa berkonsepkan Islamik ini.

“Kini saya cuba membina hidup baru ke arah bidang keusahawanan. Masalah yang dihadapi menjadikan saya lebih kuat untuk menangani masalah akan datang. Yang lalu biarkan berlalu. Jika tiada pengalaman pahit mungkin saya tidak melangkah sejauh ini untuk anak-anak,” ujar Maizawati yang kini giat menjalankan perniagaan produknya iaitu Madu Maiza dan Maiza Collection.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: