Friday, August 6, 2010

Wajah baru Cads


PERSEMBAHAN istimewa oleh penghuni Cads untuk para sukarelawan.


BERMULA dengan kempen menggalakkan orang ramai memberi sumbangan sisa lebihan cat yang tidak digunakan, AkzoNobel, sebuah syarikat pengeluar cat terbesar dunia kemudian tampil dengan idea kreatif apabila melaksanakan khidmat komuniti terbaru Dulux Paint Bank.

Kempen yang dilancarkan AkzoNobel pada Jun lalu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pembuangan cat menerusi kaedah yang sewajarnya.

Cat yang dikumpulkan digunakan untuk mengecat dan menceriakan rumah-rumah kebajikan terpilih.

Ekoran itu, Cads, sebuah pusat NGO (badan bukan kerajaan) yang menempatkan kanak-kanak istimewa menjadi rumah pertama menerima sumbangan amal melalui kempen itu.


MAYA KARIN turut menyumbang tenaga mengecat dinding rumah Cads di Persiaran Ledang, Kuala Lumpur.


Pusat yang menjadi kediaman kira-kira 21 orang pelajar berusia antara 5 hingga 14 tahun yang memerlukan pendidikan khas seperti autisme dan Sindrom Down.

Selain Cads di Kuala Lumpur, tiga lagi rumah kebajikan yang akan menerima sumbangan yang sama ialah Rumah Kanak-kanak Sinar Suria, Pahang, Persatuan Perlindungan Kanak-kanak Pulau Pinang dan Pertubuhan Kanak-kanak Spastik Johor.

"Kempen amal seumpama ini memberi peluang kepada kami untuk membawa perubahan kepada masa depan generasi muda terutama kanak-kanak istimewa yang memerlukan perlindungan dan perhatian.

"Kami dapat mencorak dan menceriakan kehidupan kanak-kanak istimewa itu menerusi palitan warna-warna cat yang menarik di kediaman mereka," kata Pengarah Urusan, ICI Paints Malaysia Sdn. Bhd., CW Goh.


SEORANG sukarelawan sedang mengecat alat permainan di rumah Cads.


Menurut Goh, kempen tersebut juga membantu membina dan memberi kesedaran kepada komuniti mengenai sumbangan amal yang akan membantu menjamin masa depan kanak-kanak berkenaan. Apabila pusat-pusat kebajikan seperti ini dibantu, maka ia juga dapat menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa.

Dalam pada itu, seramai 70 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan AkzoNobel dan pertubuhan alam sekitar, Eco Knights terlibat dalam aktiviti amal itu.

Mereka sanggup meluangkan masa lapang pada hujung minggu untuk membantu mengecat semula bahagian dalam dan luar pusat kebajikan berkenaan.

Turut hadir pada aktiviti amal itu, Duta Dulux, Maya Karin yang tidak ketinggalan meringankan tangan memegang berus cat. Katanya, keinginan untuk menyumbang kepada masyarakat sentiasa ada dalam jiwanya, terutama kepada rumah-rumah kebajikan dan pusat kanak-kanak istimewa.


AKTIVITI amal di Cads tambah meriah apabila sukarelawan Eco Knights turut membuat persembahan muzik menggunakan peralatan kitar semula.


"Aktiviti amal seperti ini memberikan khidmat yang tidak ternilai untuk rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik.

"Saya kagum melihat usaha mereka dalam menyumbang kepada yang memerlukan walaupun ia sederhana," jelas Maya.

Sementara itu, Pengetua Cads, Azura Abdul Aziz berkata, pusat itu memerlukan kira-kira RM1,300 untuk kos seorang pelajar iaitu sebahagian daripadanya dibantu melalui derma daripada syarikat korporat, pertubuhan NGO dan orang ramai.

Dengan kempen mengecat semula itu, pusat tersebut akan memperoleh ruang-ruang baru antaranya ruang tamu, gimnasium, bilik terapi dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: