KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam bertitah supaya semua lapisan rakyat mengenang kembali jasa wira negara dengan meningkatkan semangat patriotisme dan cintakan negara.
Baginda bertitah, sejarah membuktikan sumbangan tenaga para pahlawan negara yang telah dicurahkan semasa memerangi anasir-anasir subversif dan petualang negara, memang tiada tolok bandingnya.
"Mengambil sempena pengisytiharan Hari Pahlawan pada tanggal 31 Julai setiap tahun, marilah kita mengambil kesempatan ini menghargai jasa-jasa pahlawan kita yang telah terkorban dan masih berkhidmat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan di kalangan tentera, polis dan mereka yang lain.
"Sesungguhnya, pasukan keselamatan telah memainkan peranan yang amat penting dalam membantu negara mencapai kemajuan dan kemakmuran selama ini," titah baginda pada sambutan Hari Pahlawan Tahun 2010 di Dataran Merdeka di sini semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Baginda bertitah, semangat sanggup berkorban demi negara, perlulah dipupuk sepanjang masa di samping berusaha untuk menyumbangkan sesuatu yang berguna demi keamanan negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: