Sunday, August 1, 2010

Ainul enggan diketawakan




DIA enggan memanjangkan cerita. Cukup-cukuplah kemampuan vokal yang sedang dipertaruhkan mengundang banyak skeptikal umum. Lirik single pertamanya yang berjudul The Old Him pula ditagih kepada jejaka tertentu ia ditujukan.

Hanya Ainul Aishah yang tahu, kepada siapa lirik itu hendak dilampiaskan. Sama ada kepada Noh Hujan atau siapa pun jejaka itu, ia cuma satu luahan daripada jiwanya.

Wanita muda berkulit sawo matang ini hadir memenuhi undangan Sensasi Bintang tanpa rungutan. Tepat pukul 9 pagi, kelibatnya sudah memasuki Studio Utusan. Di mindanya, dia seram, bukan kerana kesunyian pagi yang tidak banyak penghuni sahaja bahkan bercampur-campur dengan persoalan yang bermain-main melintasi akal.

Adakah skil nyanyiannya sekali mahu dihuraikan, gosip lewat hari kelmarin atau selunak mana suaranya?

Akuinya sedikit sayu, dia pernah diperlekehkan sebagai pelakon suam-suam kuku, kini mencuba pula bidang nyanyian yang belum menampakkan sebarang kredibiliti.

Dalam senyum, Ainul mematangkan hujah. Menuntut penilaian pemilik tubuh kecil molek itu terhadap banyak bisikan yang menyuarakan pandangan, dia tertawa kecil sebelum menuturkan prinsip.

"Saya lihat keadaan itu tidak betul. Bagi saya, tindakan yang menghargai karya atau kerja artis-artis yang popular sahaja adalah salah.

"Setiap individu yang menjadi artis ada misi tersendiri. Saya di sini kerana mahu melakukan pekerjaan yang saya suka."

Pertanyaan-pertanyaan lazim: Bolehkah Ainul menyanyi, selunak mana suaranya dan menyanyi untuk apa? Lantas, soalan 'klise' itu dipinjam dan disuakan sekali lagi ke wajah persis bintang Bollywood itu.


SEJAUH MANA Ainul mampu berlari di pentas nyanyian, itu yang mahu disaksikan pemerhati industri seni. Bagi wanita muda ini, dia menelan setiap kritikan dan skeptikal masyarakat kerana percayakan kata hati, bakat dan keinginan yang lama terpendam. Kemampuan untuk tampil dengan buah tangan sendiri sudah selesai diusahakan, tinggal lagi bagaimana impian itu mahu dilunaskan menjadi satu pencapaian membanggakan.


Meneguhkan penjelasannya, aktres Histeria dan Nana Tanjung ini menambah bicara: "Itu suatu yang lucu. Mereka tidak faham dan tidak nampak bahawa bidang ini (lakonan dan muzik) sebenarnya besar.

"Saya tidak kisah dengan cakap-cakap orang di luar sana kerana saya sedar bukan senang orang baru seperti saya mahu diterima. Silakan untuk berikan sebarang komen, negatif atau positif, saya kena terima.

"Bagi saya, untuk menjadi seorang penyanyi, tidak semestinya seseorang itu harus dilengkapi dengan vokal yang sempurna, yang penting tersendiri.

Siapakah The Old Him

"Saya gemar penyanyi seperti Liyana Fizi, nyanyiannya bersahaja tetapi sangat sedap didengar.

"Seingat saya, setiap kali selepas mengadakan persembahan malah semasa majlis pelancaran baru-baru ini, ada juga yang datang mengucapkan tahniah kepada saya," katanya yakin.

Sebagai tunas baru yang hendak bercambah menjadi penyanyi, Ainul sedar banyak kepayahan harus ditempuh.

Bermula dengan kerenah mencari penerbit yang cukup memenatkan ditambah pula dengan prosedur mencari ruang untuk ke udara dari corong radio, itu antara pengalaman yang dilaluinya untuk dikenali sebagai penyanyi pada usia 25 tahun.


BANYAK lagi ilmu muzik yang hendak digali, itu tekad Ainul.


Menerokai jati hatinya, kisah The Old Him pun menyelinap masuk. Lagu ditulis ketika hati merawan itu dipertaruhkan Ainul menjadi perintis bergelar penyanyi.

Di sebalik lagu itu terpalit pula sebuah kisah kononnya ia ditulis Ainul buat bekas lelaki di hatinya, vokalis Hujan yang bernama Noh.

Sensitiviti terusik, sejenak diam mengumpul kekuatan, dia menjawab:

"Saya perempuan jadi saya tidak mahu diketawakan. Cukup-cukuplah dengan apa yang telah tertulis. Saya tidak mahu memanjangkan isu berkenaan. Kenyataan itu bukan datangnya daripada mulut saya.

"Tolonglah, selepas ini saya tidak mahu dikaitkan dengan sesiapa. Saya menghormati kehidupan orang lain dan mengharapkan perkara yang sama untuk diri sendiri. Saya kena jaga diri saya, saya tidak mahu diketawakan."

Katanya, perkara itu menjadi isu apabila satu kenyataan dikeluarkan oleh orang terdekat dengan dirinya.

"Saya tidak mahu memberikan sebarang komen," katanya yang kembali dirangkul emosi ceria.

Jadi penyanyi lebih puas

Tergambar semula keseronokan diri mengecap nikmat bergelar penyanyi apabila mula didatangi lamaran persembahan korporat. Pelakon siri Permai dan Spa Qistina ini menjelaskan dia bukan sekadar mencuba-cuba untuk menjadi penyanyi.


MENYEBUT nama pun dia enggan, Ainul tidak mahu nama vokalis kumpulan Hujan (Noh) menggugat perjalanan muziknya yang baru hendak berputik.


"Saya serius mahu menjadi penyanyi, tapi saya tahu sukar untuk meyakinkan pihak luar tentang bakat dan kemahuan saya.

"Sungguh, saya menyanyi bukan kerana seronok-seronok. Jika single pertama ini gagal pun, saya masih akan mengeluarkan single seterusnya.

"Saya ingat kata-kata Imran Ajmain, dia sendiri dikenali ramai setelah keluar dengan single ketiganya, Seribu Tahun.

"Kalau tidak mencuba, sampai bila pun kita tidak tahu sejauh mana kemampuan kita," syukur katanya juga kerana penangguhan penggambaran drama bersiri Bola Cinta dan Idola Kecil The Series memberi ruang kepadanya untuk fokus terhadap karier nyanyian.

1 comment:

  1. bila pula dia becinta ngan Noh? antara dia n LJ..rasanya LJ teu lagi tak tau nanyi.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: