PETALING JAYA: Dari tahun 2005 sehingga Jun tahun ini, jumlah hutang individu yang disytiharkan muflis atau bankrap di negara ini adalah sebanyak RM71.36 bilion, kata Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Beliau berkata, jumlah yang ditadbir urus oleh organisasi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu membabitkan seramai 81,908 individu bankrap daripada 218,561 kes kebankrapan berdaftar.
“Hutang RM71.36 bilion itu merupakan nilai keseluruhan hutang yang telah difailkan oleh pemiutang dengan Jabatan Insolvensi Malaysia.
“Ini termasuk jumlah hutang yang dimaklumkan oleh pihak petisyen dan pemiutang-pemiutang lain dalam kes kebankrapan,” katanya kepada mStar Online, di sini.
Abdul Karim berkata, jumlah hutang individu bankrap pada tahun lalu adalah berjumlah RM928 juta manakala jumlah hutang dari Januari sehingga Jun tahun ini RM12.39 bilion.
“Kira-kira 40 peratus golongan bankrap mempunyai hutang dengan lebih daripada satu organisasi atau pemiutang,” ujarnya.
Antara jenis hutang yang gagal dilunaskan si bankrap adalah sewa beli kenderaan, pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, pinjaman perumahan dan kad kredit.
Dalam pada itu, dari tahun 2005 sehingga Jun tahun ini, jumlah hutang individu bankrap yang sudah dilunaskan kepada pemiutang atau dividen adalah sebanyak RM281.99 juta.
Bagaimanapun Abdul Karim berkata, jumlah dividen itu amat kecil berbanding dengan jumlah hutang keseluruhan iaitu hanya kira-kira 0.39 peratus.
Jelasnya, keadaan itu disebabkan oleh beberapa faktor berikutan terdapat tiga jenis individu bankrap iaitu peminjam utama, penjamin sosial dan penjamin korporat.
“Bukan semua individu bankrap itu mempunyai pekerjaan atau aset yang membolehkan mereka untuk melunaskan hutang.
“Jika mereka tidak mempunyai sumber kewangan, bagaimana hendak membayar hutang? Ini menyukarkan agihan dividen kepada pemiutang malah melambatkan proses untuk mengeluarkan mereka daripada kebankrapan,” ujarnya.
Beliau menambah, ada di antara individu bankrap hidup atas ihsan anak-anak mereka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Daripada 81,908 individu bankrap itu, Abdul Karim berkata, 4.66 peratus merupakan penjamin sosial manakala penjamin korporat 5.32 peratus.
“Jumlah dividen yang diagihkan kepada pemiutang pada tahun lalu sebanyak RM85.6 juta dan RM48.62 juta bagi Januari sehingga Jun tahun ini,” katanya.
Mengenai pelepasan kebankrapan dari tahun 2005 sehingga Jun 2010, seramai 11,223 individu bankrap diberikan pelepasan atas perintah mahkamah dan 9,523 individu dengan kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: