Saturday, August 7, 2010

Ganti puasa waris yang mati


mereka yang keuzuran dan bermusafir pada bulan Ramadan dibolehkan berbuka puasa tetapi perlu menggantikannya pada hari yang lain. - Gambar hiasan


Soalan
Apakah hukum menggantikan puasa bagi waris yang telah meninggal dunia?

Jawapan

Firman Allah SWT: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Jelas dalam ayat ini, Allah SWT mewajibkan puasa ke atas orang beriman, yang pastinya mereka yang beriman akan langsung menyahut seruan Allah yang berisi perintah melakukan puasa sepanjang Ramadan.

Dalam ayat-ayat yang berikutnya Allah memberikan rukhsah (kelonggaran) bagi mereka yang yang bermusafir atau yang uzur boleh meninggalkan puasa pada bulan Ramadan dan digantikan puasa yang tertinggal pada bulan-bulan yang mendatang.

Apa yang pasti, berpuasa Ramadan akan menjadikan kita ummah yang bertakwa kepada Allah SWT. Takwa sahaja yang dapat melahirkan masyarakat yang berwibawa yang ada nilai-nilai positif dan etika yang beranjakkan paradigma.

Umat yang hidupnya ada motif yang jelas, iaitu apa sahaja yang dilakukan pasti ada kesannya sama ada di dunia mahupun di akhirat. Allah SWT telah berjanji bahawa dengan menghayati ibadah puasa dengan penuh keinsafan dan kesabaran pasti mengundang kepada kekuatan dalam (spiritual) dan kekuatan luaran (fizikal).

Oleh yang demikian pastikan puasa tidak ditinggalkan, kerana biarpun ada kelonggaran diberi oleh syarak tetapi pastinya berpuasa itu lebih baik daripada berbuka.

Kalau umat ini menyedari dan mengetahui akan kelebihan dan kehebatan zahir dan batin Ramadan pasti akan mengharapkan supaya sepanjang tahun menjadi Ramadan.

Tetapi apa yang berlaku di sebaliknya, "cepatnya Ramadan", "bila nak habis Ramadan" dan pelbagai keluhan yang lain.

Justeru, janganlah mencari alasan untuk tidak berpuasa, kerana belum tentu tahun depan kita berpeluang menikmati keindahan Ramadan dan merebut rahmat dan maghfirah-Nya.

Adapun puasa ganti bagi orang yang telah meninggal dunia oleh waris menjadi perselisihan di kalangan ulama fiqh.

l Pendapat al-Syafieyyah dalam pendapat yang kuat. Sekiranya ada yang meninggal dunia maka terpulang kepada diri wali sama ada mahu dibayar puasanya dengan berpuasa untuknya ataupun membayar fidyah.

Hal ini termasuklah puasa nazar. Pendapat ini disokong oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah.

l Ibn Hazim al-Zakiri berpendapat, tidak dibayar fidyah untuk puasa daripada orang yang meninggal dunia, akan tetapi ambil sebahagian hartanya untuk mengupah orang untuk berpuasa bagi hari-hari yang dia tidak berpuasa.

Pandangan ini juga merupakan pandangan Ali Thal, Said bin al- Musayyub dan al-Awzarie, Thaus, Hammad bin Sulaiman, al-Zuhli dan al- Hasan al-Bakri dan Qatadah.

l Pendapat al-Hanabilah pula, sekiranya puasa yang ditinggalkan puasa nazar maka harus bagi ahli keluarga (waris) mengqadakan (menggantikan ) puasa yang tertinggal disebabkan oleh uzur syarie. Sekiranya puasa yang ditinggalkan itu puasa wajib maka tidak diharuskan mengqadanya oleh ahli warisnya.

l Mazhab al-Malikiyah dan al-Hanafiah tidak dipuasakan bagi yang telah meninggal akan tetapi dibayar fidyah bagi hari-hari yang ditinggalkan dengan syarat diwasiatkan terlebih dahulu.

Sekiranya tidak diwasiatkan 'wali' boleh melakukan tebusan dengan memberi makan sebagai ganti fidyah.

Memandangkan puasa yang ditinggalkan oleh seseorang yang meninggal tidak boleh digantikan dengan berpuasa bagi pihaknya, maka lebih awla tidak dipuasakan oleh orang lain ketika masih hidup.

Pendapat mazhab al-Syafieyyah yang disokong oleh Imam al-Nawawi merupakan pendapat dan pandangan yang menghimpunkan dua keadaan, iaitu, sama ada digantikan puasa ahli keluarga yang meninggal dunia atau membayar fidyah.

Maksudnya, ahli waris masih berpeluang untuk melakukan kebajikan kepada arwah dari kalangan ahli keluarga. Kalau tidak mampu menggantikan puasa ahli keluarga yang telah meninggal bolehlah dibayar fidyah sahaja.

Mungkin pada masa sekarang membayar fidyah tidak menjadi masalah. Apa pun, puasa yang ditinggalkan oleh ahli keluarga masih ada peluang untuk ditunaikan berdasarkan pandangan mazhab al-Syafieyyah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: